|
|
BRENTWOOD, Amerika Syarikat (AS) - Sikap tekun dan tidak berputus asa dalam menimba ilmu akhirnya membuahkan hasil kepada seorang pelajar perempuan tidak berumah, Samantha Garvey.
Baru-baru ini, Garvey, 17 dan keluarganya ditawarkan menduduki sebuah kediaman tiga bilik oleh pentadbiran daerah ini, negeri New York pada kadar sewa yang amat rendah.
Tawaran tersebut dibuat selepas dia berjaya mara ke peringkat separuh akhir pertandingan sains berprestij Intel di AS.
Sebelum ini, mereka tinggal di sebuah pusat perlindungan untuk golongan tidak berumah di sini. Selain kediaman, pelbagai pihak turut menghulurkan derma bagi meringankan beban keluarga miskin berkenaan.
"Ini adalah perkara paling hebat yang pernah berlaku kepada diri saya," kata Garvey dalam satu sidang media bersama ibu bapa dan dua adik- beradiknya serta beberapa ahli politik tempatan kelmarin.
"Inilah apa yang kami mahukan selama ini," tambahnya.
|
|
Dia adalah antara 300 remaja di seluruh AS yang berjaya mara ke separuh akhir pertandingan sains berkenaan pada minggu ini. Finalis pertandingan tersebut pula akan diumumkan pada akhir bulan ini.
Garvey yang merupakan pelajar senior Sekolah Tinggi Brentwood bercita-cita untuk menjadi seorang ahli sains marin. Dia sudah memohon untuk memasuki Universiti Yale dan Brown untuk meneruskan pelajaran ke peringkat ijazah.
Gadis berkenaan diusir bersama keluarganya dari kediaman mereka menjelang tahun baharu selepas bapanya tidak mampu membayar ansuran bulanan rumah mereka.
Bapa Garvey, Leo bekerja sebagai pemandu teksi manakala ibunya, Olga tidak dapat bekerja selepas terbabit dalam kemalangan kereta pada Februari lalu.
Menurut broker hartanah tempatan, sebuah kediaman dengan tiga bilik tidur di lokasi berkenaan berharga sekitar AS$291,000 (RM911,702) manakala sewanya pula adalah sekitar AS$1,800 (RM5,639) sebulan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: