Monday, January 2, 2012

Nanas subur di tanah gambut

MENURUT Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) nanas mengandungi vitamin C yang tinggi yang sangat baik untuk kesihatan dan dapat membantu menyembuhkan luka di samping Vitamin B1 dan B2.

Penyediaan tanah

* Bagi kawasan yang baru dibuka, kerja-kerja menebang, menerangkan kawasan dan membuat parit dijalankan.

* Parit perlu dibina untuk mengelak akar terendam sebagai contoh, untuk tanah gambut parit besar dengan ukuran 244 sentimeter (sm) x 910 sm x 152sm dan parit kecil 122 sm x 92 sm x 92 sm dibina melintang parit besar dengan jarak 200 meter tiap satu.

Bahan tanaman

* Pembiakan tampang adalah lebih mudah iaitu dengan menggunakan sulur tangkai, sulur udara, sulur tanah atau jambul nanas.

* Sulur tangkai selalu digunakan dimana sulur-sulur berkenaan akan dicelupkan dalam larutan Bordeux dan ditoskan lalu dibiarkan pangkal sulur ke atas selama dua minggu (campuran Bordeux - 0.4 kg CuSO4 + 0.9 kg Ca(OH)2 dilarutkan dalam 46 liter air).

* Pangkal sulur dipotong dan daun-daun sisik dibuang supaya cepat berakar.

Menanam

* Jarak tanaman yang disyorkan ialah 120 sm x 60 sm x 30 sm (37,000 pokok/ha) dalam dua barisan atau boleh juga 90sm x 60sm x 30sm (43,500 pokok/ha) mengikut kesesuaian.

* Lubang dibuat menggunakan kayu tugal dan tanamkan sulur yang sama saiz pada petak atau kawasan yang sama untuk keseragaman.

* Tanam satu sulur untuk satu lubang dan padatkan tanah keliling sulur supaya ia dapat tegak dan tidak mudah rebah.

Membaja

* Kadar pembajaan NPK 30:1:32 dengan kadar 200 kg/ha pada tiap-tiap peringkat umur tiga, enam dan sembilan bulan adalah disyorkan untuk tanah gambut.

Merumpai

* Merumpai dijalankan dua bulan sekali pada peringkat umur 6 bulan dan selapas itu tiga bulan sekali

Induksi bunga

* Hormon penggalak bunga boleh meningkatkan kematangan pokok, menghasilkan buah yang lebih besar dan serentak.

* Buah nanas dihasilkan pada peringkat umur antara 12 dan 13 bulan dengan menggunakan hormon dan tanpa hormon antara 18 dan 24 bulan.

- Contoh hormon seperti pil ANA (Alpha Naphtyl Acetic) satu biji sepokok atau ethapon (30 ml ethrel + 180 g urea + 18 liter air) disembur 40-50 ml pada pangkal pokok atau tengah pucuk.

Perosak

* Koya memakan pangkal daun, akar dan buah. Daun bertukar warna merah dari hujung daun hingga keseluruhan pokok menjadi layu.

* Teritip menghisap tisu daun, buah dan tangkai menyebabkan bintik-bintik kuning pada daun.

* Hama merah memakan bahagian pangkal daun tua hingga menyebabkan tompok-tompok lekuk berwarna coklat.

* Kawalan bagi serangga di atas adalah dengan menggunakan sulur yang sihat dan racun serangga yang bersesuaian.

Penyakit

* Buah hantu disebabkan oleh bakteria Erwinia chrysanthemi menyebabkan buah menjadi lembik dan reput dan mengeluarkan cecair antara dua tiga minggu sebelum buah masak.

* Reput teras disebabkan oleh bakteria Erwinia chrysanthemi menyebabkan daun di bahagian pucuk menjadi lembut dan reput bermula dari pangkal daun dan merebak ke atas daun.

* Reput perdu oleh kulat Thielaviopsis paradoxa menyebabkan reput di bahagian pangkal pokok nanas.

* Mata dalam disebabkan oleh kulat Penicillium funiculsom menyebabkan dinding ovari anak buah diliputi lapisan berongga, merebak ke arah empulur berwarna coklat gelap dan keras.

* Penyakit ini dapat dikawal dengan menggunakan benih sulur yang sihat, buang pokok yang berpenyakit dan amalan kultura yang betul.

Memungut hasil

Hasil boleh dikutip selepas 18 bulan ditanam.

Buah boleh dipetik sekurang-kurangnya satu matanya berubah ke warna kuning. Anggaran hasil tanaman pertama adalah lebih kurang 42 tan/ha dan untuk tanaman kedua (ratoon) 27 tan/ha mengikut jenis kultivar nanas. Potensi hasil Josopine (35 tan/ha), Moris (35 tan/ha) dan N36 (45 tan/ha).

Penggredan buah nanas

Buah nanas boleh digredkan berdasarkan saiz buahnya iaitu Klas A (12-12.7 sm), Klas B(11 -12.0 sm) dan Klas C (9-11.0 sm)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: