Monday, January 9, 2012

Mface guna populariti artis


DATIK AC MIZAL menggunakan populariti 60 rakan artis yang lain menarik pengguna menggunakan laman sosial Mface selain mahu membantu menambah pendapatan rakan artis yang memiliki syer dengan laman tersebut.


SEIRING dengan perkembangan teknologi yang berlaku pada masa ini, penggunaan laman sosial dilihat sebagai medium utama serta menjadi alat komunikasi yang paling popular.

Bermula dengan era MySpace dan Friendster, kini laman sosial yang menjadi pilihan ramai adalah Facebook dan Twitter dengan pengguna yang sudah mencecah jutaan orang tanpa mengenal usia.

Laman sosial Facebook misalnya yang kini sudah memiliki sehingga 500 juta pengguna di seluruh dunia sehingga menjadikan pengasasnya Mark Zuckerberg sebagai antara manusia yang terkaya di dunia.

Melihat kepada perkembangan yang luar biasa itu, kini muncul pula laman sosial terbaharu ciptaan anak tempatan iaitu Mface yang diasaskan dan dipengerusikan oleh seorang pengacara popular iaitu Datuk AC Mizal.

Dalam satu majlis pelancaran yang berlangsung di Hotel Doubletree by Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini, pengacara berkenaan berkesempatan untuk menjelaskan tentang laman sosial yang dihasilkannya itu.

Kosmo!: Boleh ceritakan sedikit tentang laman sosial ini?

DATUK AC MIZAL: Mface adalah sebuah laman sosial terbaharu dengan konsepnya yang hampir sama dengan kebanyakan laman sosial yang lain. Apa yang membezakannya cuma reka bentuk paparan laman antara sesuatu laman web itu. Namun, saya yakin Mface yang bermaksud Malaysian Face ini mampu menjadi tarikan kepada para pengguna di negara ini.

Bagaimana boleh timbul idea untuk menghasilkan Mface?

Sebenarnya idea ini mula ditimbulkan bersama seorang individu iaitu Tedy Teow yang juga rakan kongsi dan pengasas bersama laman sosial Mface. Saya akui kewujudan laman sosial ini adalah ilham daripada laman Facebook yang mana fungsinya pengguna boleh mengemaskini status, maklumat terkini dan gambar dengan orang ramai.

Dengar kata anda turut mengundang 60 orang artis untuk menjayakan Mface ini?

Inilah satu lagi kelainan yang cuba dilakukan untuk membezakannya dengan laman sosial yang lain. Apa yang ingin saya tekankan, 60 orang artis yang saya undang ini adalah pemilik bersama serta rakan kongsi kepada Mface.

Setiap artis yang diundang, secara automatik mereka akan diberikan sebanyak 100,000 unit syer. Jika pengguna Mface nanti sudah mencecah satu juta pengguna, ia akan disenaraikan di bursa saham Malaysia.


ANTARA 60 selebriti yang kini menyertai Mface, laman sosial yang diilhamkan dari laman sosial Facebook, khusus untuk rakyat Malaysia.


Bagaimana pemilihan artis ini dilakukan?

Kebanyakan artis yang terpilih adalah terdiri daripada rakan-rakan yang pernah bekerjasama dengan saya sebelum ini serta artis yang mempunyai peminat mereka yang tersendiri. Antara artis-artis tersebut seperti Afdlin Shauki, Zizan Razak, Amyza Adnan, Ezlynn, Linda Rafar dan Diana Rafar, Kumpulan Forteen, Serina Redzuan, Azza Elite dan ramai lagi.

Selain menggunakan populariti mereka untuk menjayakan Mface ini, saya juga memang berhasrat untuk membantu mereka menambahkan sumber pendapatan. Sekiranya laman sosial ini disenaraikan nanti, sudah tentu mereka mempunyai pendapatan sampingan berdasarkan setiap syer yang mereka miliki itu.

Apa pula kelebihan yang pengguna dapat sekiranya mereka mendaftarkan diri dengan Mface?

Untuk mendaftarkan diri sebagai pengguna Mface, sesiapa sahaja boleh mendaftar di laman sesawang www.mface.me tanpa dikenakan sebarang bayaran. Apa yang menariknya, kepada mereka yang aktif menggunakan laman sosial ini mereka diberi markah-markah tertentu.

Kemudian pada setiap minggu seorang pengguna yang mendapat markah tertinggi berpeluang untuk memenangi hadiah iPad 2. Ia adalah salah satu promosi yang kami jalankan dan akan berterusan selama tempoh enam bulan.

Bagaimana dengan tahap keselamatan untuk laman sosial ini?

Sememangnya pihak kami mahukan Mface bersih daripada segala unsur-unsur yang kurang baik seperti menggunakannya untuk memaki dan mengaibkan orang atau perkara yang membabitkan politik.

Buat masa ini, kami mempunyai beberapa orang petugas yang akan sentiasa membuat pemantauan sebagai langkah keselamatan. Sekiranya ada pengguna meletakkan status yang tidak sepatutnya, secara automatik status tersebut akan terus dipadamkan.

Adakah Mface mampu untuk menjana sumber pendapatannya sendiri?

Dalam kebanyakan laman sosial yang ada, penjenamaan adalah yang paling menjadi keutamaan. Dengan jenama yang kuat sudah tentu ia akan meningkatkan lagi jumlah 'traffic volume' yang menunjukkan sosial tersebut sering digunakan dan dilawati.

Untuk sumber pendapatan, semuanya kini bergantung kepada syarikat yang mahu mengiklankan produk-produk mereka menerusi Mface. Semakin ramai yang guna Mface, tidak mustahil iklan yang diperoleh menjadi semakin meningkat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: