Wednesday, January 4, 2012

Menu autentik Melayu di Pegaga

ROSSA sempat singgah di Pegaga untuk mencuba sajian Melayu yang ditawarkan.


ENAK. Itulah perkataan yang terpacul daripada mulut penyanyi terkenal dari seberang, Rossa mengenai makanan yang dihidangkan di Restoran Pegaga, Hulu Kelang, Selangor.

Singgah di situ untuk sesi penyerahan trofi yang dimenanginya pada Anugerah Industri Muzik edisi ke-18 lalu, Rossa mencuba kesemua hidangan yang disediakan seperti nasi lemak, ayam berempah, udang masak lemak dan pencuci mulut.

“Makanan yang paling saya suka adalah sago (gula Melaka). Sangat enak sekali malah, saya ambil dua biji,” ulasnya ringkas dengan loghat Indonesia.

Pegaga merupakan sebuah restoran baharu yang menggunakan konsep menyediakan makanan tulen Melayu dan hidangan pastri dengan ruang dan dapur berbeza. Di bahagian pastri, ruang tersebut dikenali sebagai d’postre.

Dekorasi direka menggunakan sepenuhnya rona putih di kedua-dua bahagian tetapi, dengan kemasan warna hijau untuk pegaga, manakala untuk d’postre pula berwarna biru.

Untuk ruangan Pegaga, ia dibiarkan tidak berhawa dingin dan d’postre pula sebaliknya tetapi, pengunjung boleh duduk di mana-mana sahaja serta boleh merasa kedua-dua jenis hidangan.

“Tujuan kedua-dua konsep ini digabungkan kerana kita mahu pelanggan sentiasa mengunjungi Restoran Pegaga. Waktu makan malam dan tengah hari, mereka boleh mengambil hidangan Melayu.


MENGGUNAKAN tukang masak terlatih Pegaga menjanjikan pengalaman gastronomi lengkap.


“Waktu di antaranya pula, mereka boleh mencuba pastri dan bakeri yang disediakan oleh kakitangan kami yang kesemua mempunyai pengalaman bekerja di hotel terkemuka,” kata Ketua Chef Zabidin Ibrahim, 39.

Dapur terbuka

Dibuka secara rasmi pada 1 November tahun lalu, menurut Chef Zabidin, kos paling besar yang dilaburkan adalah pada bahagian dapur. Bagaimanapun, dia menolak untuk memberitahu jumlah kos keseluruhan.

Menggunakan konsep dapur terbuka, ia adalah lambang pada bidang profesional para pekerja Pegaga iaitu masakan sekali gus memberikan gambaran kepada pelanggan terhadap tahap kebersihan yang menjadi praktis mereka.

Selain itu, peralatan yang digunakan juga berteknologi tinggi. Paling mahal adalah pembuat kopi berjenama Casadio Navaza Bean.

Para pelanggan yang datang ke Restoran Pegaga perlu memilih ikan dahulu dan mereka bakal dirunding mengenai jenis masakan yang sesuai dengan pilihan yang dibuat.

Kepada pelanggan yang menyangka kaedah begitu akan menyebabkan hidangan lambat sampai ke meja, jangan risau kerana Chef Zabidin memberi jaminan bahawa semua hidangan yang dipesan hanya akan mengambil masa lebih kurang 15 minit untuk dimasak.


PEGAGA menyajikan menu pencuci mulut tempatan dan Barat.


“Konsep ini membolehkan para pelanggan menghargai setiap hidangan yang disajikan di hadapan mereka,” terangnya lagi.

Lauk-pauk yang menjadi saranan Chef Zabidin termasuklah asam rebus dan sejenis masakan dari utara Semenanjung Malaysia yang dipanggil dengan nama gulai kalut.

Gulai kalut adalah sejenis masakan kari yang menggunakan banyak asam keping. Di Kedah, lauk tersebut sering dimakan ketika waktu malam dan pagi.

Walaupun memiliki hiasan dalaman yang kemas dan kelihatan eksklusif tetapi, harganya masih lagi berpatutan dan semua golongan masyarakat mampu untuk menikmatinya. Harga untuk setiap hidangan adalah antara RM15 hingga RM20.

Sementara itu, rakan kongsi Chef Zabidin, Datin Normila Sulaiman, 51, berkata, pada mulanya mereka mahu membuka sebuah restoran yang bersifat high end.

“Akhirnya, selepas perbincangan kami membuat keputusan untuk membuka sebuah restoran yang bersifat kelas pertengahan supaya semua orang boleh mencubanya.

“Malah, kami turut mempunyai hidangan roti canai dalam senarai menu yang berharga RM2,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: