Thursday, January 5, 2012

Mencipta trend melalui aksesori


Adeline (kanan) dan Nicole Tan bergabung idea menghasilkan Minz.


KREATIVITI dan minat dua beradik, Adeline dan Nicole Tan hampir sama iaitu mencipta rekaan baru dan unik untuk dijadikan aksesori.

Lalu dengan bakat dan sumber yang ada mereka menterjemahkan minat tersebut dalam bentuk perniagaan yang serius.

Justeru pada 2004 mereka sepakat mempopularkan Minz sebagai jenama aksesori yang lain daripada yang lain dan tanpa dipengaruhi aksesori sedia ada di pasaran.

"Sebenarnya apa yang kami hasilkan ini ialah sebagai melengkapi kekurangan penawaran aksesori yang telah sedia ada di pasaran sekarang.

"Pada mulanya kami buat aksesori untuk dipakai sendiri. Secara suka-suka kami muat naik aksesori yang dipakai dalam laman sosial kami.

"Apabila kawan-kawan lihat mereka tertarik dan meminta kami membuat aksesori sama yang kami pakai.

"Dari situ kami terfikir mengapa tidak dijadikan ia satu perniagaan supaya lebih ramai dapat memiliki rekaan kami," kata Adeline Tan.

Menurut Adeline, pemilihan nama Minz itu adalah daripada awalan huruf nama mereka empat beradik.

"Jenama ini juga melambangkan kasih sayang yang kuat antara kami kerana Minz juga terhasil daripada latar belakang kekuatan kami masing-masing.

"Minz menawarkan eklektik fesyen dan aksesori yang kebanyakannya dibuat sendiri," katanya.

Menurut Adeline, aksesori yang dihasilkan memfokuskan kepada gaya seseorang itu berfesyen.

Ia bukan sekadar aksesori biasa sebaliknya pemakai akan berasa yakin, ceria dan bebas menampilkan keupayaan mereka.

Untuk menghasilkan sesuatu rekaan biasanya mereka mengambil masa berjam-jam malah ada yang makan masa berhari.

Pendek kata ia bergantung kepada sejauh mana komplikasi aksesori yang hendak dihasilkan.

Untuk melihat dan mendapatkan lebih banyak koleksi Minz, orang ramai boleh layari laman web www.minz.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: