KUALA LUMPUR - Seorang warga asing yang bekerja sebagai pembantu peniaga di Pasar Keramat, di sini, mati ditikam seorang lelaki bermotosikal tidak dikenali di Lorong Keramat Dalam 7, semalam.
Achmat Rizal, 40, diserang dari belakang, cedera parah di badan dan mati di tempat kejadian.
Kejadian kira-kira jam 7 pagi itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja dan disaksikan beberapa peniaga.
Saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Rahmah, 71, berkata, insiden itu berlaku terlalu pantas dan dipercayai mangsa tidak menyedari kehadiran suspek.
Menurutnya, dia melihat suspek menunggang motosikal dengan laju dan berhenti berhampiran mangsa sebelum mengayunkan satu objek ke arah mangsa.
“Mangsa terus rebah. Banyak darah keluar dari bahagian perut. Sejurus selepas itu mangsa tidak bergerak lagi,” katanya kepada Sinar Harian.
Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Zakaria Pagan ketika dihubungi berkata, terdapat dua kesan tikaman di perut dan pinggang mangsa.
“Polis percaya kejadian ini bermotifkan dendam berdasarkan tindakan tikam dan lari. Kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat, dapat menyalurkannya bagi membantu siasatan,” katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat. Kejadian itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: