Friday, January 20, 2012

Lakonan dalam Songlap dapat pujian

KIAN MENYERLAH...meskipun tidak  kerap muncul di layar perak namun setiap lakonannya meninggalkan impak tersendiri.
KIAN MENYERLAH...meskipun tidak kerap muncul di layar perak namun setiap lakonannya meninggalkan impak tersendiri.

PERNAH sekali Allahyarham Yasmin Ahmad bersuara: “Syafie itu ikhlas orangnya. Lihat saja wajah serta matanya itu. Sungguh redup dan manis. Itu sudah cukup kuat untuk saya memimpinnya menjadi seorang pelakon yang berjaya satu hari nanti.”

Kata-kata Yasmin itu nyata bukan cakap kosong apabila hari ini melihat Mohd Syafie Naswip semakin menyerlah dalam bidang lakonan. Boleh dikatakan dalam kelompok pelakon remaja baru, Syafie antara yang paling menyerlah.

  • Foto

    BERBAKAT...Syafie tidak henti berusaha dalam mengukuhkan lagi empayar lakonannya.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Bertemu dengan Syafie di Balai Berita, Bangsar, baru-baru ini adalah detik yang menyeronokkan. Meskipun sibuk dengan jadual harian mahupun komitmen pembelajaran dalam Tingkatan 6, Syafie masih mampu mencari ruang untuk datang dalam fesyen remaja yang ceria, sesuai dengan usianya.

Mendengar ceritanya dan meneliti setiap jawapan yang dilontarkan, jelas ia menggambarkan bintang filem Mukhsin, Talentime dan Songlap ini ada wawasan tersendiri dalam bidang seni mahupun bidang sampingan. Harus juga dipuji dia juga bercakap dengan nada yang merendah diri yakni tidak bongkak.


“Saya hanyalah orang biasa. Saya sebenarnya masih segan-segan untuk berkongsi cerita kalau tidak ada yang bertanya. Memang beginilah perangai saya sejak kecil. Ini kerana sejak dulu, saya sentiasa merasakan diri saya banyak kekurangan. Jadi saya selalu mengharapkan agar semua orang memberikan saya ruang untuk memperbaiki mutu lakonan saya agar menjadi anak seni yang benar-benar bagus,” katanya.


Seperkara yang jelas, gara-gara lakonan yang berkesan dalam filem Mukhsin, sejak dulu lagi Syafie sudah sinonim dengan panggilan Mukhsin, terutamanya di kalangan warga kerja produksi filem.

Apa yang membanggakan, profil Syafie pernah diangkat ke tahap yang memuaskan apabila filem Mukhsin berjaya menghadiahkan gelaran Pelakon Kanak-Kanak Terbaik menerusi Festival Filem Malaysia Ke-20.

Di samping itu, filem lakonan Syafie bersama Shaheizy Sam, Songlap, baru melabuhkan tirainya di pawagam. Ramai memuji lakonan Syafie bersama Sara Ali dan Shaheizy Sam.

Bagi Syafie, semua pujian yang dibentangkan kepadanya selama ini adalah hadiah daripada kerja kuat serta kesungguhannya berlakon.

Jauh dalam sudut hatinya, apa yang dicapai Syafie selama ini adalah menerusi laluan pintu yang dibuka Yasmin yang selesa dipanggil ‘Mak’ saja.

Kini sejak ketiadaan Yasmin, anak muda berusia 19 tahun ini sedar dia perlu semakin kuat memacu ke depan dan tidak seharusnya meletakkan kesedihan atau kekecewaan yang berbaki itu sehingga menyekat kemaraan bakatnya.

“Awal-awal dulu memang saya pernah sedih atau ‘down’. Apabila dikhabarkan yang Mak sudah tiada lagi di dunia ini, saya rasa macam hilang tempat hendak mengadu. Dialah penguat semangat dan tempat rujukan saya. Namun difikirkan semula, sampai bila harus saya bersedih? Jadi saya kena ‘move on’ berfikiran positif,” katanya yang pernah membintangi beberapa drama hebat termasuk Takbir Suci 2, Jidin, Ampunkan Dosaku dan Demi Masa. Kesemua lakonannya meninggalkan impak kepada penonton TV.

Tambah anak tunggal ini lagi, dia ada tanggungjawab yang besar untuk dikejar.

“Alhamdulillah setakat ini bakat saya masih dipandang. Masih ramai yang percaya dan datang memberikan tawaran. Maklumlah melihat pada persaingan pada hari ini, bimbang juga orang akan terlepas pandang namun semua itu hanya persepsi saja.
Sejak Mukhsin dan Talentime, saya masih terima banyak undangan walaupun kena juga berfikir soal pelajaran.

“Bagaimanapun saya seboleh-bolehnya akan menapis dulu setiap tawaran yang datang bagi mencari kepuasan sebenar sebagai pemain watak. Saya tidak mahu konsep ‘asal boleh’ dalam menerima tawaran lakonan tanpa memikirkan kekuatan watak dan plot cerita.

“Namun saya bukanlah terlalu memilih atau sombong. Cuma sebagai anak seni yang masih bertatih, saya inginkan kualiti dan sebuah karya yang betul-betul memberikan kepuasan.

“Saya kena kurangkan sedikit kerjaya lakonan dalam tempoh dua tahun ini memandangkan saya sibuk dengan pengajian di Tingkatan 6. Saya ingin habiskan dulu pelajaran seperti mana yang diharapkan mak dan abah kandung saya.

“Insya-Allah sebaik tamat pengajian nanti barulah saya akan kembali fokus kepada kerjaya lakonan secara total,” katanya yang mengimpikan watak penuh emosi dan sesuatu yang mustahil dilakukan dalam kerjayanya.

Pemegang gelaran Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin 2007 menerusi drama Ilham Suci ini turut diusik mengenai hal peribadinya.

Adakah Syafie sudah ada kekasih hati?

“Saya terlalu muda dan masih pakai ‘uniform’ sekolah. Banyak lagi perkara lain yang saya kena utamakan. Saya juga tidak pernah terjebak dengan cinta monyet di sekolah. Serius saya katakan, sayang saya hanyalah kepada kedua-dua ibu bapa, pelajaran yang menjamin masa depan serta kerjaya lakonan yang masih baru,” katanya yang ingin melanjutkan pelajaran di dalam jurusan pengarahan filem.



TRIVIA SYAFIE

  • Syafie hanya menggunakan motosikal saja untuk ke mana-mana termasuk hadir ke Balai Berita untuk sesi fotografi.

  • Sekarang Syafie sedang sibuk mempersiapkan diri bagi menempuh peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dalam aliran Sastera di sebuah sekolah menengah di Gombak Setia.

  • Jika tiada rezeki dalam dunia lakonan, Syafie ingin menjadi seorang ahli perniagaan. Kerana itu juga dia sedang memperlengkapkan diri dengan pengetahuan perniagaan.

  • Syafie juga adalah Pengerusi Kelab Teater di sekolahnya dan pernah membintangi beberapa pementasan termasuk P Ramlee The Musical.

  • Ketika merangkul anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin 2007 menerusi drama Ilham Suci, Syafie sebenarnya menewaskan ramai pelakon senior termasuk Rosyam Nor, Rusdi Ramli, Nasir Bilal Khan dan Norman Hakim.

  • Syafie juga ingin melakonkan peranan lelaki ‘psiko’.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: