|
|
SENTUHAN berani pemilik kediaman ini dapat dilihat sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke unit kondominiumnya.
Palitan warna gelap dan disuai padan dengan rona kontra terang seperti merah dan putih ternyata mampu menyuntik suasana hiasan dalaman yang cukup hebat.
Biarpun nampak sedikit gothic glam, garapan pesona hitam yang dominan dianggap berjaya mencipta kesepaduan di antara ruang dan perabot apatah lagi ia merupakan warna kegemaran pemilik kediaman ini, Teh Kok Feng@Edi Teh.
“Saya memang sukakan warna hitam.
“Untuk lari daripada tanggapan hitam itu gelap dan suram, saya suaipadankan warna tersebut dengan perabot yang datang daripada pelbagai jenis warna terang.
“Ternyata eksperimen saya berjaya malah hitam membantu menaikkan lagi seri warna perabot yang dipilih,” ujarnya.
Baru 10 bulan menetap di situ, pengetua sebuah taman didikan kanak-kanak (tadika) di Kepong ini senang memilih gaya moden dan kontemporari dalam menata rias kediamannya.
Kedudukan perabot yang betul bukan sahaja menjadikan kediaman ini kelihatan kemas bahkan ia secara tidak langsung mencipta interaksi praktikal yang harmoni di keseluruhan ruang rumah.
Memasuki sahaja kediaman yang mempunyai tiga bilik ini, tetamu terlebih dahulu akan bertemu dengan ruang dapur.
“Memandangkan dapur terletak di bahagian hadapan, saya perlu pastikan ia sentiasa bersih dan kemas kerana secara tidak langsung ia akan memberi tanggapan keseluruhan tentang rumah ini,” katanya yang memilih kemasan plaster dengan corak kasar tetapi bertekstur licin.
Dapur tersebut turut dilengkapi dengan peti sejuk dan kabinet daripada warna gelap dan dapur memasak berkembar.
Sejurus keluar dari ruang memasak, kaki menghala ke ruang tamu bersebelahan yang dipisahkan dengan binaan dinding konkrit.
Tiada televisyen
Tidak sarat dengan hiasan perabot, Edi sebaliknya memilih menghias ruang tamu yang berkongsi dengan ruang makan itu dengan kemasan minimal namun cukup praktikal.
“Di ruang makan saya sengaja letakkan kotak kayu memanjang dwifungsi yang boleh dijadikan hiasan dan juga menyimpan barang.
“Di belakangnya pula ditempatkan kabinet laci bertingkat juga khas untuk meletak barang.
“Saya suka tempat penstoran tertutup supaya ruang nampak lebih kemas,” katanya yang membelanjakan kira-kira RM50,000 untuk mengubah suai kediamannya.
Mengalih pandangan ke ruang tamu, Edi memilih sofa hitam mewah sebagai tarikan utama di ruang tersebut.
Untuk mengelak ia kelihatan polos, hamparan permaidani abstrak hitam putih dan lampu berdiri ala trompet berwarna biru firus diletakkan bagi menyuntik sedikit kelainan warna.
Bertentangan sudut di ruang yang sama, Edi meletakkan sebuah kerusi rekaan maharaja daripada warna putih gading.
Percaya kepada keupayaan warna untuk menghidupkan suasana kediaman, Edi lebih gemar bermain ekspresi diri dengan warna daripada berbelanja besar untuk membeli perabot.
“Saya mahukan kediaman yang bersih, kemas dan teratur. Saya tidak mahu ia sarat dengan perhiasan kecil, gantungan bingkai-bingkai gambar ataupun almari kabinet,” katanya yang tidak memasang televisyen di kediamannya kerana tidak suka menonton.
Dengan lampu siling berbentuk obor-obor, Edi memberitahu, dia suka menghabiskan waktu malam di ruang tersebut kerana simbahan cahaya yang terhasil daripada lampu unik tersebut memberi biasan yang cukup cantik di siling.
“Di rumah ini, saya gunakan lapan lampu utama yang kesemuanya membiaskan cahaya yang lebih redup untuk membangkitkan suasana lebih santai dan tenang,” katanya.
Selain ruang tamu, penataan rona hitam putih dan kelabu turut diaplikasikan di kamar tidur dan ruang dapur.
“Untuk memberi sedikit warna di bilik tidur, saya letakkan kabinet kecil berwarna merah terang untuk menyimpan barangan peribadi.
“Corak belang zebra dipilih sebagai gaya pelengkap kemasan pada langsir dan juga cadar,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: