ALOR SETAR - Taktik seorang peniaga menyembunyikan cakera video digital (DVD) lucah dalam bilik khas di belakang premis kedai, akhirnya terbongkar sebelum sempat diedar kepada pelanggan tetap.
Ketua Cawangan Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Kedah/Perlis, Zainal Abidin Othman berkata, kegiatan berkenaan dipercayai sudah beroperasi sejak empat tahun lalu.
Menurutnya, sewaktu serbuan dibuat oleh 13 anggota penguatkuasa KDN Kedah/Perlis termasuk tujuh dari Johor mendapati suspek lelaki berumur 21 tahun sedang menjaga premis sewa berkenaan di Taman Semarak, Kulim, sekitar jam 5.30 petang pada 2 Januari 2012.
“Ketika operasi "cross border" itu, kita berjaya merampas 780 keping DVD lucah dengan anggaran nilai pasaran RM11,700 yang mengandungi pelbagai tajuk pada bahagian kulit depannya.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 5 (1) Akta Penapisan Filem 2002 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 5 (2) dengan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya kepada media di pejabat KDN Kedah/Perlis, di sini semalam.
Zainal Abidin berkata, tindakan menyerbu premis berkenaan dibuat sebagai salah satu cara membanteras pengedaran DVD dalam kalangan pelajar sekolah serta mengurangkan gejala sosial terhadap mereka.
“Dalam operasi yang sama, kita merampas 7280 DVD yang tidak mempunyai kelulusan perakuan atau sijil B pada salinan kedua bagi tujuan pengedaran dengan nilai pasaran keseluruhan bernilai RM36,400.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 18 (1) Akta Penapisan Filem 2002, jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 18 (4) dengan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM30,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Zainal berkata, mereka yakin kegiatan pengedaran DVD berkenaan sering menyasarkan kelompok remaja lingkungan 21 tahun untuk menjadi pengedar bagi mengelakkan dikenakan hukuman berat di mahkamah.
“Kita juga percaya sindiket pengedaran ini mempunyai rangkaian dengan beberapa pengedar DVD lain di pasar malam sekitar negeri ini. Kerkemungkinan DVD itu dicetak sendiri atau diperolehi dari pengedar lain.
“Premis ini turut menggunakan rak berpintu yang boleh dilipat untuk menyusun DVD di bahagian hadapan serta belakang bagi memudahkan pelanggan membuat pilihan,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan rekod terdahulu premis itu pernah diserbu beberapa kali sebelum ini dan tindakan tegas turut dikenakan terhadap pemiliknya.
“Suspek yang ditahan sudah dilepaskan dengan jaminan polis dan kita masih meneruskan siasatan untuk mengesan pemilik premis sebelum pertuduhan dilakukan di mahkamah dalam masa terdekat,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: