![]() |
| Jahitan manik kecil dan besar pelbagai warna menyerlahkan kaftan yang berwarna gelap. |
WALAUPUN kaftan mempunyai potongan yang ringkas dan mudah, sulaman yang dijahit di atas kaftan menjadikan rekaan ini masih diminati.
Memasuki tahun 2012, kaftan masih lagi diminati oleh semua golongan wanita kerana keselesaan memakainya.
Sulaman pada kaftan menjadikan baju ini nampak eksklusif dan bukan lagi sekadar baju untuk dipakai di rumah.
Malah kaftan tidak segan untuk dipakai ke majlis-majlis rasmi dan makan malam.
Sulaman cantik dan kemas dengan corak-corak yang menarik ditambah dengan jahitan manik menjadikan kaftan masih lagi pilihan kebanyakan wanita yang gemarkan fesyen yang ringkas namun menarik.
Selain sulaman pada bahagian dada, sulaman turut dibuat pada bahagian tangan bagi menambah keindahannya.
Anda tidak perlu lagi memakai rantai kerana sulaman di bahagian dada sudah cukup cantik dan menarik perhatian yang melihat.
Wanita Muslimah juga amat sesuai menggayakan kaftan kerana potongan kaftan yang longgar dan berlengan panjang serta menutup aurat.
Selain sulaman, keindahan kaftan terletak pada jenis fabrik yang digunakan.
Fabrik yang lembut dan nipis seperti syifon dan sutera amat sesuai dan menjadikan kaftan nampak mahal dan cantik pada tubuh si pemakai.
Kaftan juga sesuai dipakai oleh semua jenis bentuk badan sama ada yang bertubuh berisi atau langsing.
Selain kaftan longgar, terdapat juga kaftan yang mempunyai tali di bahagian dalam pinggang yang boleh menampakkan kerampingan.
Gayakan bersama kasut bertumit tinggi dan tas tangan kepit serta dandanan rambut yang kemas, pastinya penampilan anda tampak menawan dan menyerlahkan kelembutan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: