Sunday, January 1, 2012

Jutawan dua beradik


AIDA (kiri) dan Akmar bergabung dalam Millionaire Sisters, syarikat yang berasaskan pelaburan saham amanah.


RASA kagum seakan-akan menjalar dalam diri tatkala mendengar kisah dua beradik bergelar jutawan jelita ini. Bukan sahaja memiliki personaliti menarik bahkan kejayaan mereka begitu mengagumkan.

“Apa yang lebih membahagiakan, kami dapat melihat orang bawahan yang kami didik berjaya seperti kami,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif, Amazing Millionaire Sisters Group, Nor Akmar Hanif, 34.

Akmar dan adiknya, Aida Nurlin Hanif, 30, merupakan jutawan pelaburan berasaskan saham amanah dan insurans terkenal di negara ini.

Walaupun bermula daripada sifar, prinsip tidak mudah mengaku kalah dan bersikap positif membolehkan mereka meraih pelaburan bernilai jutaan ringgit pada usia 20-an lagi.

“Untuk maju dalam perniagaan, anda perlu tanam dalam diri bahawa tiada perkara yang mustahil untuk dicapai.

“Jika kita tahu cara berniaga yang betul dan sanggup bekerja keras, insya-Allah kejayaan akan datang kepada kita,” ujar Aida.

Beliau memberitahu, wang sentiasa ada di luar sana. Apa yang perlu dilakukan ialah mencari jalan untuk sampai kepada sumber kewangan yang betul.

Lima angka

Itulah yang dilakukan Akmar dan Aida hingga mereka berupaya mencatat jumlah pelaburan mencecah ratusan juta ringgit setahun.

“Alhamdulillah, ini rezeki yang saya tidak pernah terfikir sebelum ini. Sebaik sahaja saya menamatkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Sistem Maklumat di Institut Sains dan Teknologi Universiti Manchester di Britain pada tahun 1999, saya sudah bercadang untuk berniaga.

“Saya pernah bekerja dengan duduk di depan komputer dari pukul 9 pagi hingga 5 petang. Tetapi itu bukan cara kerja yang saya inginkan.

“Saya mahu bekerja mengikut masa dan jumlah pendapatan yang saya tentukan sendiri.

“Saya juga enggan terikat dengan peraturan yang merimaskan. Jadi selepas tiga bulan bekerja saya berhenti kerana mahu menceburi bidang perniagaan.

“Kemudian, apabila seorang rakan memperkenalkan saya dengan dunia saham amanah, hati kecil saya terdetik, inilah yang saya cari selama ini,” kata Akmar, anak ketiga bekas Timbalan Pengarah Pelajaran Perak, Hanif Amran.

Berkat kesungguhannya, jualan unit saham amanah Akmar mencecah RM1 juta dalam masa tiga bulan sahaja.

Kemampuannya mengurus dan mengendalikan jualan pelaburan turut meletakkan dirinya sebagai pengurus agensi kumpulan termuda di sebuah institusi kewangan terbesar di negara ini.

Malah, beliau mampu memperoleh pendapatan lima angka atau sekurang-kurangnya RM10,000 sebulan sewaktu berumur 26 tahun.

“Pelaburan seperti ini cuma perlukan modal yang kecil tetapi mampu menjana pendapatan yang di luar imaginasi kita,” kata Akmar.

Selain itu, wanita bujang ini juga berjaya membuka agensinya sendiri pada usia 25 tahun. Pada usia 28 tahun, beliau mampu melahirkan sebanyak 10 Pengurus Agensi Kumpulan (GAMS).

Pencapaian terbesar Akmar ialah sebagai ketua pengurus kumpulan Master Builder iaitu anugerah yang dimenangi empat kali berturut-turut.

Anugerah lain ialah Brand Ambassador, Group Agency Manager Platinum, Top GAM, Master Recruiter, Million Sales Achiever dan Million Dollar Round Table.

Walaupun mempunyai latar belakang akademik yang berbeza, ia bukan halangan untuk Akmar berjaya dalam bidang saham amanah dan insurans.

“Anda tidak semestinya menjadi apa yang anda belajar. Sebaliknya, cara untuk berjaya dalam pelajaran itu perlu diadaptasikan dalam pekerjaan,” katanya.

Tukar baju

Aida yang mengikut jejak Akmar berniaga semasa masih bergelar penuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, cabaran untuk berjaya dalam pengajian dan perniagaan menjadikan dirinya seorang yang kuat bekerja dan berdisiplin.

“Prinsip saya ialah satu-satu pekerjaan mesti dibuat hingga sempurna dan berjaya.

“Ketika menyertai kakak dalam perniagaan ini, saya masih belajar dalam jurusan Sains Aktuari. Saya bangun pukul 5 pagi untuk siapkan tugasan dan ulang kaji pelajaran.

“Pukul 8 pagi, saya berjumpa dengan pelanggan dan pukul 10 pagi saya akan bergegas ke kelas.

“Menukar baju kuliah di tandas adalah perkara biasa ketika itu," katanya yang pada masa itu komited untuk mengutip jualan sebanyak RM20,000 sehari.

Aida turut mengakui, selain kerja keras, pengalaman hidup di sekolah berasrama penuh banyak membantunya.

“Di asrama, saya belajar untuk uruskan masa sendiri dan pada masa yang sama, kita lebih sedar tanggungjawab kita,” kata bekas pelajar Kolej Tunku Kursiah di Seremban, Negeri Sembilan ini.

Kini Aida tersenyum lebar melihat hasil tuaian penat lelahnya selama ini.

“Jika anda tahu strategi berniaga, tidak mustahil anda memperoleh RM100,000 dalam masa 100 hari. Jika saya boleh buktikan, anda juga pasti boleh,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: