Friday, January 13, 2012

Jamal solo tanpa kekasih


ALBUM terbaharu Jamal, Raja Pop 2 ini disasarkan untuk mengikuti jejak kejayaan album Jamal sebelum ini, Raja Pop yang terjual 150,000 unit.


BIARPUN sudah 33 tahun berada dalam industri seni dengan cerita-cerita buruk yang melanda diri seperti isu dadah, rumah tangga dan terkini berita mengenai keluar Pengasih, Jamal Abdillah atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, 53, masih belum hilang taringnya. Peminatnya masih setia dengan penyanyi yang digelar Raja Pop itu. Malah, tawaran membuat persembahan pentas dan juga konsert tidak putus-putus diterima Jamal.

Atas dasar ingin membalas jasa peminat, baru-baru ini di Pusat Beli-Belah Maju Junction, Kuala Lumpur, Karnival Sehari Bersama Jamal Abdillah buat julung-julung kali dianjurkan.

Pada sebelah malamnya pula, berlangsung satu mini konsert Jamal bersama 300 peminat bertuah. Jamal juga mengambil peluang melancarkan album baharunya iaitu Raja Pop 2 pada hari yang sama.

Sememangnya aura penyanyi itu begitu kuat kerana ada peminat yang sanggup datang jauh dari Terengganu, Perak dan Kedah semata-mata ingin bertemu penyanyi bersuara emas itu.

Jamal mengaku idea untuk menganjurkan karnival dan mini konsert lahir daripadanya dan ia dianjurkan semata-mata untuk menghargai peminatnya.

“Tujuan karnival ini diadakan bukan untuk mengaut keuntungan tetapi menghargai peminat-peminat yang menyokong saya selama ini. Saya bersyukur kerana ia mendapat sambutan yang menggalakkan,” ujarnya ketika ditemui selepas mini konsert bersama peminat dan pelancaran album baharunya, Raja Pop 2 di Dewan Golden Chernoese, Maju Junction, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Baginya, kesetiaan peminat terhadapnya menjadi penyuntik semangat kepadanya untuk terus bertahan dalam kerjaya seni. Tiada istilah bersara bagi Jamal malah dia akan pastikan dirinya terus menghiburkan peminat-peminat dengan rangkaian lagu-lagu baharunya.

Menyentuh mengenai mini konsert Jamal pada malam itu, ternyata kreadibiliti Jamal menyanyi di atas pentas masih hebat seperti dulu. Malah, Jamal juga begitu pandai membuat jenaka dan mengusik salah seorang pemuzik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam yang mengiringi persembahannya pada malam itu.

Tampil kasual dengan persalinan jaket dan seluar, Jamal memulakan persembahannya dengan sebuah lagu lama yang diberi nafas baharu, Tangisan Di Waktu Malam.

Jamal meneruskan lagi persembahan dengan mendendangkan lagu-lagu yang dipetik daripada album baharu Raja Pop 2 termasuk Perasaan, Manis Manja, Lagu Rindu dan Secupak Dua Cupak. Biarpun mengalami gangguan teknikal ketika menyanyikan satu-satunya lagu balada pada malam itu, Rayuan Maut, ia tidak menggugat langsung kemerduan vokalnya itu.

Majlis itu disempurnakan Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Datuk Maglin Dennis D’Cruz, Ketua Pegawai Operasi Maju Holding, Wan Shariman Wan Mohamad dan Pengarah Urusan Warner Music Malaysia, Darren Choy.

Mengulas mengenai album Raja Pop 2, Jamal amat teruja kerana single keduanya yang berjudul Aku Maafkan Kamu bersama penyanyi hip hop terkenal, Malique mendapat sambutan daripada peminat-peminatnya.

Jamal juga mendedahkan lirik Aku Maafkan Kamu lahir daripada ideanya. Malah, ia dihasilkan mengikut kisah sebenar yang berlaku kepada Jamal. Katanya, Malique cuma mencantikkan lagi ayat-ayat dalam lirik tersebut.

“Lagu Aku Maafkan Kamu menceritakan seseorang yang suka memburukkan kita tanpa bukti sebenar. Menghukum kita tanpa usul periksa.

“Lagu ini sangat bermakna kepada saya kerana setiap bait lirik ada kena mengena dengan perjalanan karier seni saya selama ini. Secara jujurnya, banyak sangat dugaan yang saya tempuhi sepanjang bergelar anak seni, dan semua itu diceritakan dalam lagu berkenaan,” ulas Jamal yang tidak mahu mengulas mengenai isu Pengasih biarpun diasak para media.

Mengulas mengenai konsep album baharunya itu, kata Jamal, ia berkonsepkan muzik orkestra dan Jamal mengambil inspirasi daripada kejayaan penghibur antarabangsa, Michael Buble sebagai rujukan untuk susunan muzik dalam album itu.

“Album ini memuatkan sebanyak lapan lagu runut bunyi dan dua lagu baharu termasuklah Bahagia Sementara yang saya buat bersama dengan seorang penerbit lagu senior, Razman. Saya percaya album ini mungkin mengulangi kejayaan pencapaian Raja Pop yang dijual sebanyak 150,000 unit,” tuturnya yakin.

Dalam perkembangan lain, Jamal sempat diusik dengan pertanyaan mengenai dakwaan dia dilihat bersama seorang wanita misteri, baru-baru ini.

“Cerita itu mengarut. Saya mana ada teman wanita lagi dan masih lagi belum berpunya,” katanya berjanji jika tiba masanya dia berjanji tidak akan berahsia mengenai sebarang hubungan dengan mana-mana wanita.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: