Wednesday, January 4, 2012

Inovasi karyawan batik

HELAIAN batik yang diperagakan tidak dijadikan pakaian, sebaliknya ia hanya dililitkan pada tubuh peragawati yang memperagakannya.


DI Galeri Seri Indon, Kuala Lumpur hasil karya lima pereka cipta diperagakan baru-baru ini. Saban tahun, Galeri Seri Endon menganjurkan pertunjukan batik untuk menggalakkan para karyawan mencurahkan inovasi dan idea mereka melalui pertandingan Piala Seri Endon yang masuk tahun kesembilan dianjurkan.

Pertandingan itu bertujuan mencungkil idea dan mencetuskan motif-motif baharu dalam kalangan karyawan batik. Selain itu, mereka juga diberi peluang mengilhamkan idea dan corak batik yang selaras dengan cita rasa peminat masa kini.

Motif batik-batik yang diperagakan oleh lima pereka cipta itu memang menarik dan segar.

Motif bunga

Ramai dalam kalangan peminat batik di Malaysia yang masih sukakan motif bunga-bungaan baik yang moden mahupun tradisional. Motif sebegini antara yang paling kerap digunakan sejak dahulu lagi untuk karya fabrik batik sama ada yang ditekap, dilukis atau dicanting.

Pada majlis peragaan batik di galeri itu, kali ini ada juga pereka yang menggunakan motif bunga yang diubah suai dari aspek saiz dan warnanya.

Bunga-bungaan yang besar dan pilihan warna yang terang menghidupkan rekaan yang diperagakan kali ini supaya kelihatan lebih chic untuk menambat hati kalangan pemakai generasi muda.

Pengerusi Yayasan Budi Penyayang Malaysia, Nori Abdullah, yakin usaha yayasan dapat merangsang pemasaran hasil karya pemenang-pemenang Piala Seri Endon.

“Galeri Seri Endon ini merupakan inkubator yang bertujuan membantu pemenang-pemenang Piala Seri Endon terutamanya bakat-bakat baharu dan pembuat batik memasarkan hasil karya mereka,” jelas Nori.

Sambutan terhadap batik yang diperagakan begitu menggalakkan dan ramai yang memilih untuk membeli motif dan warna batik pilihan yang diminati selepas ia diperagakan.

Jaludin Zaini, 49, yang berasal dari Bumi Kenyalang dan lebih mesra dikenali sebagai Udyn merupakan seorang daripada lima orang pereka yang menyertai acara perarakan batik itu.

Mempunyai butik batik yang dinamakan Pua Indah di Rawang, Selangor Udyn berani bermain dengan konsep semula jadi.

Hasil rekaannya yang diperagakan ternyata nampak ‘hidup’ memandangkan warna-warna yang digunakan boleh dianggap segar selain motifnya yang berani walaupun tidak garang.

Beliau pernah memenangi tempat ketiga dalam Pertandingan mereka cipta Batik Piala Seri Endon beberapa tahun lalu.

Batik yang dihasilkannya kali ini turut berunsur remaja dan sesuai untuk dipakai generasi muda, biar untuk bersantai sekalipun.

Kata Udyn: “Hutan hijau penuh dengan hidupan unik dan ada pelbagai warna yang hidup serta asli. Warna flora dan fauna dalam hutan amat saya minati.

“Ia menjadi inspirasi utama kepada rekaan saya kali ini.”

Teman seperjuangan Udyn, Jamilah Shukri yang juga anak jati Sarawak turut terpilih untuk mempamerkan batik yang diterapkan unsur-unsur warisan negeri asalnya sebagai motif utama untuk pertunjukan kali ini.

Hasil yang diperagakan kali ini disiapkan bersama adiknya Norlia yang setahun lebih muda.

Warna-warna yang disuntik Norlia ternyata menyerlah keaslian ronanya, kerana ia dekat dengan alam semula jadi iaitu warna bumi dan kayu pokok serta corak terperinci yang timbul.

Warna tanah

Walaupun kebanyakan warna tanah lebih gelap, namun ia dianggap sebagai pelengkap kepada elemen flora yang berwarna-warni.

Jamilah, 58, pernah menyertai pertandingan merekacipta batik dan turut dinobatkan pemenang tempat ketiga pada tahun 2007.


PEREKA-PEREKA batik mengabadikan kenangan bersama Nori (lima dari kiri) di Galeri Seri Endon baru-baru ini.


“Saya dapati pelanggan kini lebih suka warna yang diilhamkan daripada tanah, jadi rekaan saya turut lebih memberatkan warna-warna yang mudah dipasarkan seperti ini.

“Warna fabrik pua kumbu, hasil tenunan asli negeri Sarawak menggunakan warna-warna dalam kategori yang sama.

“Selebihnya, saya gunakan warna hijau dalam ketebalan yang berbeza untuk menyuntik elemen kesegaran pada warna dan corak batik yang dihasilkan,” jelas Norlia ketika ditemui pada penghujung pertunjukan.

Dia juga cenderung menggunakan motif bercorak bulat daripada hasil tradisional atau asal etnik Orang Ulu dan diubah mengikut cita rasa semasa. Semuanya digunakan pada blok untuk memastikan motifnya konsisten. Motif sebegini tidak dapat dilukis,” jelas Norlia yang baru pulang dari Cape Town, Afrika Selatan pada masa itu.

Helaian batik yang diperagakan tidak dijadikan pakaian, sebaliknya ia hanya dililitkan pada tubuh peragawati yang memperagakannya.

Aksesori turut dipadankan untuk menaikkan seri lilitan batik selain menyerlahkan keayuan pemakainya secara semula jadi.

Warna-warna yang digunakan juga menjadi faktor penyeri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: