Wednesday, January 11, 2012

Drebar teksi urus kerja rumah

SEDIA BERKHIDMAT...Mohd Asyaharim (tiga dari kiri) bersama kakitangan ALM Concierge.
SEDIA BERKHIDMAT...Mohd Asyaharim (tiga dari kiri) bersama kakitangan ALM Concierge.

KUALA LUMPUR: Memberi kemudahan kepada orang ramai yang kesuntukan masa, Syarikat Airport Limo Malaysia (ALM) Concierge Sdn Bhd kini bukan hanya menyediakan perkhidmatan pemandu teksi, malah berfungsi lebih kepada pemandu peribadi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Asyaharim Abdul Latif, berkata setiap pemandu ALM Concierge diberikan latihan khusus bertujuan memberikan perkhidmatan yang pelbagai termasuk membantu menguruskan kerja rumah seperti membeli barangan keperluan dapur dan urusan hospital.


“Menawarkan harga berpatutan dengan penjimatan sehingga 40 peratus berbanding perkhidmatan pemandu peribadi sedia ada, orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan seolah-olah mempunyai pembantu peribadi sendiri.

“Setakat ini kami mempunyai 40 pemandu yang diberi latihan khusus dan berkhidmat sepenuhnya kepada ALM Concierge, manakala 1,200 lagi berkhidmat secara sambilan,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.


Menurutnya, ALM Concierge membelanjakan RM1 juta setiap tahun bagi membolehkan kakitangannya menghadiri kursus termasuk latihan pertahanan diri yang diadakan bersama Ikatan Sukarelawan Rakyat Malaysia (Rela) bagi menghadapi kejadian jenayah khususnya untuk menjaga keselamatan pelanggan sepanjang menggunakan perkhidmatan berkenaan.


Selain menyediakan perkhidmatan pemandu, kakitangan syarikat ini juga berfungsi sebagai perunding pengembaraan, ketua pembantu rumah, menjalankan pemeriksaan kenderaan dan perkhidmatan katering.Selain Lembah Klang, syarikat itu turut menyediakan perkhidmatan perjalanan sekitar Semenanjung. Pelanggan juga bebas memilih untuk menggunakan kenderaan sendiri atau milik ALM Concierge.


Malah, syarikat ini juga akan membuat tempahan ke atas kenderaan lain mengikut kehendak dan keperluan pelanggan.

Orang ramai boleh menghubungi talian 1300888989 atau melayari laman web www.almgroup.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: