|
|
JUARA program realiti Vokal Bukan Sekadar Rupa (Vokal) kesal apabila ada pihak mempertikaikan kemenangan yang diraih pada pertandingan akhir 25 Disember lalu.
Asmidar dikatakan tidak layak memenangi hadiah utama program itu kerana dia berwajah cantik sedangkan ia kontra dengan syarat utama penyertaan pertandingan.
Dakwaan tersebut juga sekali gus menafikan usaha keras Asmidar memperkenalkan bakatnya dalam pertandingan nyanyian yang dianjurkan buat pertama kali oleh TV3 itu.
“Cantikkah saya? Mereka silap sebab Asmidar di pentas nyanyian memang lain dengan di luar. Saya biasa saja. Tanpa solekan tebal, pakai baju T dan bebas ke mana dengan keluarga dan rakan.
“Mungkin teknik solekan buat saya kelihatan istimewa masa persembahan. Baju glamor berkelipan juga membuatkan orang nampak saya berbeza,” jelas wanita berusia 26 tahun ini.
Dia juga menjawab isu berpakaian seksi pada konsert akhir Vokal atas pilihannya.
“Saya tak punya kuasa dalam bab pakaian sebab semuanya ditetapkan oleh TV3. Mungkin pihak TV3 mahu saya ubah imej yang selama ini lebih berat ke arah tradisional.
“Sepatutnya, saya yang perlu berfikir dalam tentang perkara ini dan mungkin juga sudah tiba masanya saya ubah kepada imej moden,” katanya jujur.
Apakah Asmidar selesa dengan pemilihan imej barunya itu nanti? Ada senyuman terpalit di wajah anak kedua daripada empat beradik ini sebelum berkata: “Saya selesa dan cuba untuk sesuaikan diri. Jujurnya, saya memang suka dengan imej elegan dan ini masih boleh diubah sedikit demi sedikit. Memang sebelum ini saya tidak pandai untuk mencari imej sesuai kerana tak nak keluar dari zon selesa.”
Apakah perancangan juara Bintang Asli Remaja Wanita Kebangsaan tahun 2006 ini selepas hampir sebulan keluar dari Vokal?
“Saya aktif menyanyi dan giat promosi single Biar Sampai Ke Bintang yang dah mula tarik minat stesen radio untuk menyiarkannya. Saya berharap andai ada tawaran daripada syarikat rakaman yang berminat dengan bakat saya.
“Saya sangkal pendapat orang yang cakap saya lewat menempah nama sebagai artis walhal sejak dari kecil lagi saya sudah menyanyi,” kata Naib Juara Bintang RTM 2001 yang dinobatkan sewaktu berusia 15 tahun.
Mengulas tentang strategi untuk menawan hati peminat seni tanah air tanpa bersandarkan rupa semata-mata, Asmidar memberitahu dia yakin masyarakat sudah bijak menilai kualiti penyanyi tempatan.
“Mentaliti orang kita dah berubah, mereka dah terima penyanyi ‘berwajah biasa’ asalkan lagunya bagus. Saya yakin dengan bakat dan rezeki yang ada boleh buat orang terus sokong seseorang penggiat seni hingga akhir hayat mereka,” katanya di hujung perbualan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: