Saturday, January 21, 2012

Bola keranjang bantu Jamal kekal sihat


Jamal dan bola keranjang tidak dapat dipisahkan.


MELIHATKAN pergerakan pantas dan juga kelincahan penyampai radio stesen nombor satu tanah air, Sinar FM ini, siapa sangka, umur lelaki ini sebenarnya sudah menjengah 48 tahun.

Namun bagi Jamal atau nama sebenarnya, Abdul Jamal Jamaluddin, umur bukanlah penghalang baginya untuk terus bermain bola keranjang.

Mula terlibat dengan sukan berkenaan sejak di bangku sekolah lagi, Jamal mengakui sukan tersebut banyak memberi kebaikan kepada dirinya.

“Kalau nak diikutkan, jika umur sudah sebaya dengan saya, mesti pelbagai penyakit akan mula datang.

“Alhamdulillah, buat masa ini, saya masih lagi sihat dan juga mampu bermain bola keranjang seperti biasa.

“Selain itu, saya tidak merokok dan kurang makan makanan berkarbohidrat. Nasi pun saya hanya makan dua kali sahaja dalam seminggu,” jelasnya.

Bukan sahaja menjaga pemakanan, Jamal juga gemar mengubah setiap aktiviti yang dilakukannya menjadi senaman.

“Contohnya, ketika hendak menaiki tangga. Biasanya, saya akan melangkah dua anak tangga sekali gus.

“Ini sebenarnya dapat membantu mengekalkan ketahanan lutut dan dalam masa yang sama, ia sebenarnya turut menjadikan gaya hidup kita lebih sihat,” katanya lagi.

Selain memberi manfaat daripada segi kesihatan, menurut Jamal, sukan bola keranjang juga membantu mengeratkan tali persahabatan antara kaum.

“Biasanya, individu yang bermain bola keranjang bersama kami terdiri daripada pelbagai kaum.

“Seronok jugalah apabila dapat mengenali antara satu sama lain. Barulah 1Malaysia,” katanya sambil melakukan senaman memanaskan badan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: