Bingung belum tiba giliran

JERAM – Rata-rata penduduk yang juga warga emas di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Jeram bingung memikirkan nasib mereka berikutan masih belum dipanggil menyertai program Jom Shopping meskipun didakwa antara peserta terawal mendaftar.

Wakil penduduk, KT Lim berkata, peserta yang berdaftar di bawah Skim Mesra Usia Emas (SMUE) itu sering mengadu kepadanya berikutan masih belum berpeluang untuk menyertai program Jom Shopping.

Menurutnya, mereka terdiri antara yang terawal berdaftar berdasarkan nombor pada borang yang telah disediakan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM Dun Jeram).

“Saya minta kerjasama pihak PKM Dun Jeram supaya menyemak semula borang pengadu kerana kebanyakan peserta yang berpeluang menyertai program Jom Shopping rata-ratanya individu yang baru mendaftar.

“Saya berharap sangat isu ini dapat perhatian pihak berkenaan kerana tidak mahu hasrat warga emas yang sememangnya menantikan tawaran membeli belah tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Terdahulu, isu ini pernah diperjelaskan Pegawai Khas II Ahli Parlimen Kuala Selangor, B Sivabalan dan pihaknya memberitahu isu terbabit mungkin timbul kerana kebanyakan Dun mempunyai sistem masing-masing.

“Untuk makluman, program Jom Shopping ini hanya diadakan setahun sekali dan penduduk perlu bersabar sementara menunggu nama mereka dipanggil untuk kumpulan seterusnya,” katanya yang turut menafikan nama yang dipilih mengikut senarai kegemaran atau individu tertentu.

Beliau berkata, penerangan yang jelas perlu dilakukan pegawai bertanggungjawab mengenai program ini khususnya kepada mereka yang telah menerima tawaran.

“Jika penduduk memerlukan maklumat lanjut, mereka boleh terus ke Pejabat Kerja Ahli Parlimen Kuala Selangor atau menghubungi petugas di talian 0332896575 atau menghubungi Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Malawati di talian 0332811911.

“Sekiranya mereka berada di kawasan Jeram dan Ijok, boleh menghubungi PKM Dun Jeram di talian 0332640864 dan PKM Dun Ijok di talian 0332792468 untuk mendapatkan info terkini berhubung pendaftaran SMUE atau senarai nama untuk kumpulan seterusnya,” katanya.