|
MEMBELI bunga dua kali dalam tempoh seminggu merupakan rutin bagi Sherlyn Lee, 34, sewaktu zaman remajanya. Disebabkan minat terhadap flora itu dia sanggup berhabisan wang sejak berusia 16 tahun lagi.
“Masa sekolah, disebabkan perlu mencari wang untuk membeli bunga, saya mengambil upah daripada ibu untuk melakukan kerja-kerja rumah. Kebiasaannya, saya akan dibayar RM2.50 bagi setiap satu jam, jika saya rajin saya boleh dapat RM7 dalam tempoh sehari. Wang itu akan digunakan untuk membeli bunga,” katanya sambil ketawa.
Tambah anak jati Klang, Selangor berkenaan, harga sekuntum bunga ketika itu sekitar 50 sen hingga 70 sen sekuntum.
Namun, siapa sangka kecintaan Sherlyn terhadap bunga ros akhirnya bukan sahaja membolehkan dia memiliki sebuah kedai bunga ros malah, yang pertama seumpamanya di Malaysia pelanggan boleh mencetak mesej di atas kelopak bunga itu.
Anda boleh menulis perkataan atau mencetak wajah dan kerana itulah kedai Sherlyn diberi nama Speaking Roses yang dibukanya sejak dua tahun lalu.
Semuanya bermula selepas seorang rakan dari Amerika Syarikat menyarankan beliau menjalankan perniagaan Speaking Roses di Malaysia.
Menurut Sherlyn, ketika itu rakannya menceritakan tentang keunikan perniagaan tersebut apabila segala mesej yang terpendam boleh disampaikan melalui penulisan di atas kelopak bunga ros.
“Apabila saya mendengar perkara itu, saya fikirkan ia memang luar biasa dan unik. Tambahan pula belum ada mana-mana syarikat mahupun individu yang membuka perniagaan itu di Malaysia,” jelasnya yang kemudian menghubungi syarikat induk Speaking Roses yang terletak di Utah, Amerika Syarikat.
“Yuran francais kira-kira RM500,000 (AS$165,000) telah dibayar kepada AS Franchaiser. Ia termasuk pakej francais seperti latihan, pakej perisian, bahan-bahan pengiklanan dan peralatan bersama-sama dengan akses penuh kepada perkhidmatan sokongan bagi tempoh lima tahun,” kongsinya.
Mesej daripada ros
Bercerita lanjut mengenai bisnes Speaking Roses, ujar Sherlyn yang juga Pengarah Urusan Speaking Roses, bagi mereka yang ingin menyuarakan perasaan terpendam kini tidak perlu malu-malu lagi.

“Pelanggan hanya perlu memaklumkan kepada kami mengenai mesej yang ingin disampaikan kepada si penerima. Kami akan membantu pelanggan dengan mencetak mesej peribadi mereka di atas kelopak bunga ros,” katanya yang memberitahu mesej tersebut dicetak menggunakan mesin khas.
Tambah Sherlyn, teknik itu sama sekali tidak akan mencacat atau merosakkan bunga terbabit.
“Speaking Roses ini sesuai diberi sempena sambutan hari kekasih, ulang tahun perkahwinan, hari ibu, hari lahir, hari perkahwinan dan boleh dikatakan ia sesuai untuk semua majlis. Ia dijual dari harga RM12 hingga RM18 sahaja untuk sekuntum. Kesemua bunga kami diimport dari negara Belanda, China, Colombia dan Amerika Syarikat,” ujarnya sambil memberitahu belum ada mana-mana syarikat yang menjalankan perniagaan francais itu di Malaysia.
Menurut wanita itu lagi, pihaknya turut mengambil tempahan untuk majlis-majlis yang besar dengan kebiasaannya, tempahan boleh disiapkan dalam tempoh dua minggu.
Menanam pokok ros
Bagi seorang lagi pencinta bunga ros, Hasroha Tabut, 40, yang telah mengusahakan pelbagai jenis tanaman bunga termasuk bunga ros sejak enam tahun lalu, menjaga pokok bunga ros tidak sesukar yang difikirkan kebanyakan orang.
Beliau menjelaskan, tanggapan negatif sesetengah masyarakat mengenai penjagaan pokok bunga ros adalah salah.
“Sebenarnya ia bergantung kepada keprihatinan seseorang itu terutamanya dalam soal penjagaan tanaman. Selain memastikan campuran tanah kompos yang mengandungi sabut kelapa, pasir, sekam dan tanah bakar dengan secukupnya tanaman ini juga memerlukan cahaya matahari dan air yang mencukupi.
“Namun, air berlebihan tidak baik untuk pokok kerana ia akan menyebabkan daun-daunnya menjadi kekuningan,” katanya ketika ditemui di SACC Mall, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Beliau yang turut mempunyai ladang tanaman bunga yang terletak di Rawang mengakui, selain penjagaan yang rapi dari segi tanah, air dan baja bagi mereka yang menanam pokok ini perlulah menanamnya dengan penuh rasa kasih sayang.

“Ros perlu belaian dan orang yang menanamnya perlu ada rasa cinta. Boleh dikatakan setiap hari pokok-pokok bunga ros ini dipantau,” ujarnya lagi.
Hasroha yang turut melakukan kerja-kerja penyelenggaraan taman bunga berkenaan di sekitar Selangor tidak ketinggalan berkongsi beberapa tip yang boleh dimanfaatkan bagi penanam pokok bunga ros.
“Pokok berkenaan perlu disiram dua kali sehari iaitu pagi dan petang dan airnya itu perlu sampai ke tanah agar akar pokok mendapat air secukupnya bukannya hanya terkena pada daun dan bunga.
“Bagi penggunaan baja, saya tidak menggalakkan orang ramai menggunakan bahan kimia kerana ia akan menyebabkan pokok menjadi tidak sihat. Lebih baik jika mereka menggunakan baja yang mengandungi bahan-bahan seperti kulit udang, sayuran dan serbuk soya. Kandungan bahan-bahan organik itu memberi kesan yang baik contohnya daun nampak lebih segar,” ujarnya sambil memberitahu suaminya turut membantu.
Mengulas lanjut mengenai penjagaan tanaman pokok bunga ros, Hasroha berkata, pokok tersebut perlu dicantas selalu dan tanahnya tidak perlu digembur terlalu dalam.
“Pokoknya perlu dicantas sepanjang satu jengkal selepas bunganya gugur. Memang sayang kerana perlu mencantas terlalu panjang tetapi, petua itu akan mempercepatkan lagi pokok itu berbunga,” jelasnya lagi sambil memberitahu dia turut menghasilkan baja khas untuk tanaman pokok bunga ros.
Ketika ditanya mengenai penjualan bunga ros, Hasroha berkata, permintaan terhadap bunga ros tidak pernah putus.
“Sejak mengusahakan tanaman ini, ada sahaja permintaan malah, ia bukan sekadar digunakan dalam majlis perkahwinan dan hari kekasih malah, untuk pelbagai majlis lain,” katanya.
Hasroha menjual pokok bunga ros dari RM5 hingga RM28 namun, harganya bergantung kepada saiz pasu dan pokok tersebut, manakala baja khas yang diekstrak sendiri pula dijual pada harga RM10 sahaja.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: