GOMBAK: Stesen penyiaran Astro mengambil pendekatan untuk menyelamatkan remaja bermasalah dengan menerbitkan sebuah program realiti Misi 12.
Pengurus kumpulan saluran premium Astro, Nizam Sani berkata, Misi 12 merupakan sebahagian inisiatif stesen itu untuk memberi peluang kepada remaja yang dipilih menjadi seseorang yang lebih baik dalam kehidupan.
"Kami bukan ingin mengubah cara hidup para peserta, tetapi menyediakan platform bagi menjana daya kreatif dan kemahiran sekali gus mereka dapat menyerlahkan bakat terpendam.
"Bagaimanapun tujuan utama kami adalah untuk mengukuhkan emosi mereka supaya dapat memperoleh kemahiran hidup secara praktikal dan bermatlamat agar dapat membentuk jati diri masing-masing," katanya pada sidang akhbar program Misi 12 di Nur Laman Bistari Resort, Hutan Lipur Sungai Tua di sini, Khamis.
Uji bakat telah diadakan pada 31 Disember tahun lalu di beberapa lokasi dan seramai 12 peserta merupakan kalangan remaja menganggur, mempunyai latar belakang pendidikan yang rendah, kurang berkeyakinan diri serta mempunyai masalah sosial.
Tambah Nizam lagi, pihaknya percaya dengan memberi ilmu, bimbingan, nasihat dan motivasi menerusi Misi 12, bukan sahaja para peserta mendapat kesedaran, tetapi juga para penonton dapat membantu masalah sosial yang semakin menular di negara ini.
Program tujuh episod yang dihoskan oleh Fahrin Ahmad ini bakal menampilkan 12 peserta daripada masing-masing enam lelaki dan lima wanita yang telah menjalani uji bakat pada 31 Disember tahun lalu.
Para peserta tersebut adalah Mohamad Shafwan Abdul Saleem, 19, Muhammad Subky Halib, 23, Nur Shukree Arrif Sazali, 19, Muhammad Indera Mulia Muhammad, 24, Mohammad Anaz Mat lasim, Mohd. Hazmin Zamri, 19 dan Raja Mohd Azlan Raja Jafar, 23,
Turut menyertainya Nor Ain Amin Nudin, 19, Fatin Azira Rohaizad, 21, Nur Atiqah Sarimbi, 23, Syahirah Saad, 22 dan Nadia Rahmat, 23.
Dalam program tersebut, kesemua peserta akan dipecahkan kepada tiga kumpulan di bawah pengawasan tiga orang ikon yang bertindak sebagai mentor iaitu Pengurus Besar Mercedes Benz Malaysia, Datuk Soke Clement Soo, Pengurus Besar Tayangan Unggul Sdn. Bhd, Gayatri Su-Lin Pillai dan Pengarah Coffee Scene Sdn Bhd (Bangi Kopitiam), Ooi Kim Chong.
Kehadiran ikon-ikon tersebut bukan sekadar memantau perkembangan setiap peserta, berkongsi nasihat dan memberikan galakan motivasi tetapi juga sebagai sumber inspirasi kepada mereka.
Dalam pada itu, personaliti Nazril Idrus akan membimbing mereka menerusi kelas ekonomi, Dr. Deleila Hatun (kelas tatarias), Dr tengku Ismadi (kelas motivasi), Nur Syuhada' Ridzuan (kelas Bahasa Inggeris), Muhammad Faisal Ahmad (kelas pengucapan awam) dan imam Muda Aran (kelas agama).
Markah akan diberikan secara individu berdasarkan kemampuan mereka menyelesaikan tugasan dan cabaran yang diberikan dalam kumpulan.
Ia akan dikumpulkan sehingga minggu ketujuh untuk menentukan peserta dan kumpulan yang berjaya mengumpul markah tertinggi.
Walaubagaimanapun, tiada penyingkiran yang akan dilakukan sepanjang tujuh minggu program ini berlangsung.
Misi 12 akan disiarkan pada setiap Selasa, pukul 9 malam bermula 7 Februari menerusi saluran Astro Ria (104).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: