SEMPENA sambutan Hari Bapa hari ini, tentunya pelbagai cara tersendiri dipilih untuk meraikannya.
Apa kata pada hari istimewa ini kita mengajak bapa melakukan pemeriksaan kesihatan. Mungkin dalam usianya yang meningkat, dia mempunyai penyakit yang tidak diketahui.
Bagi anda yang tidak pernah dengar tentang prostat, hari ini anda perlu memberi kesedaran kepada insan yang bergelar bapa bahawa statistik penyakit tersebut kian meningkat.
Prostat sering dipandang remeh dengan alasan bahawa simptom-simptomnya hanya hanya berkaitan orang tua.
Sebanyak 98 peratus daripada keseluruhan kes prostat dikesan berlaku pada kaum lelaki yang berusia 55 tahun ke atas.
Manakala purata umur kaum lelaki yang kebiasaannya dikenal pasti menghidapi kanser prostat adalah lebih kurang umur 68 tahun.
Bagaimanapun, disebabkan kelenjar prostat mengalami pengembangan dan perubahan dari tahap baligh lagi, adalah digalakkan agar lelaki berumur 50 tahun ke atas menjalani pemeriksaan saringan kanser prostat setahun sekali.
Bagi kaum lelaki yang mempunyai sejarah kanser prostat di dalam keluarga, mereka dinasihatkan supaya membuat saringan tersebut pada usia 45 tahun.
Prostat merupakan kelenjar di pangkal pundi kencing lelaki dan mengelilingi salur kencing yang juga dikenali sebagai urethra.
Saiznya sebesar kacang walnut sementara fungsinya adalah menghasilkan cecair yang beralkali untuk air mani.
Seperti kelenjar yang lain, beberapa masalah dan penyakit boleh timbul dalam kelenjar prostat . Penyakit dan masalah yang utama adalah Benign Prostatic Hyperplasia - BPH (Pembesaran Kelenjar Prostat ) dan kanser prostat .
Pembesaran Kelenjar Prostat
“BPH adalah pembesaran kelenjar prostat yang disebabkan oleh rangsangan hormon testosterone. Pertambahan saiz prostat sebegini dapat dilihat di kalangan lelaki berumur 50 tahun ke atas.
‘‘Mengikut perangkaan, kelaziman BPH adalah lebih daripada 50 peratus di kalangan lelaki pada umur 60 tahun sementara di kalangan lelaki berumur 85 tahun ke atas, kelaziman BPH adalah lebih daripada 90 peratus,” ujar Ketua Perkhidmatan Urologi dan Jabatan Urologi Hospital Selayang, Datuk Dr. Rohan Malek.
Tambah Dr. Rohan, bilangan kes BPH di Malaysia kian meningkat dengan bertambahnya bilangan warga emas.
Pada ujian saringan Kempen Kesedaran Prostat Peringkat Kebangsaan 2004, lebih 50 peratus daripada lelaki yang disaring didapati mempunyai gejala ini.
Kebiasaannya, saiz kelenjar prostat yang besar daripada normal akan menyebabkan salur kencing yang melalui kelenjar tersebut sempit. Mereka yang mempunyai masalah ini akan kerap mengalami kesukaran membuang air kecil.
Tanda-tanda akibat BPH
* Aliran kencing yang kurang baik (poor stream)
* Kerap membuang air kencing (frequency),
* Tidak dapat mengosongkan pundi kencing selepas membuang air (incomplete emptying)
* Air kencing menitik dari kemaluan selepas selesai membuang air (terminal dribbling).
* Pesakit juga akan mengalami nokturia iaitu perlu bangun dari tidur pada waktu malam untuk membuang air kecil.
Masalah BPH yang tidak dikawal, menurut Dr. Rohan akan menyebabkan salur kencing tersumbat dan pesakit tidak dapat membuang air kencing secara normal. Malah ia boleh menyebabkan risiko buah pinggang menjadi bengkak dan gagal berfungsi (renal failure). Penyakit lain yang sinonim akibat penyakit ini ialah pembentukan batu karang dan hernia.
Dr. Rohan berkata demikian pada sidang akhbar mengumumkan kajian epidemiologi cross-sectional untuk mengenal pasti kelaziman (BPH) dan pengesanan kanser prostat baru-baru ini.
Menyentuh tentang rawatan BPH, Dr. Rohan memberitahu, pengesahan penyakit memerlukan sejarah kesihatan pesakit dan tanda-tanda penyakit digunakan untuk mengkategorikan sama ada keadaan serius atau tidak.
Kebanyakan diagnosis penyakit boleh dilakukan menerusi ujian rektal digital (DRE) atau pemeriksaan darah dengan antigen khusus prostat (PSA).
“Kebanyakan kes BPH dapat dirawat dengan kaedah perubatan. Pembedahan diperlukan sekiranya tanda-tanda tidak dapat dikawal lagi dengan ubat atau sekiranya terdapat komplikasi seperti batu karang,’’ katanya.
Pembedahan yang biasa dijalankan adalah transurethral resection of prostate (TURP) di mana bahagian prostat yang menyebabkan salur kencing menjadi sempit dibedah untuk membolehkan air kencing mengalir dengan elok semula. Pembedahan ini dijalankan secara endoskopi di mana teropong khas (endoskop) dimasukkan ke dalam salur kencing dan membolehkan kelenjar prostat dibedah dengan hanya menggunakan alat endoskopi.
Terdapat komplikasi yang mungkin terjadi akibat pembedahan ini termasuk pendarahan, masalah pancutan air mani (retrograde ejaculation) serta mati pucuk.
Dalam pada itu wujud kaedah-kaedah baru rawatan termasuk penggunaan tenaga gelombang mikro untuk memusnahkan tisu prostat (transurethral microwave thermotherapy) serta laser protectonomy tetapi memerlukan kos yang tinggi.
Kanser prostat
Kanser prostat terjadi apabila sel-sel prostat mengalami mutasi dan bertambah tanpa terkawal. Pada peringkat awal, kanser prostat tidak menyebabkan apa-apa tanda yang ketara berbanding BPH.
Di Malaysia, barah prostat mewakili 7.4 peratus daripada kes-kes barah di kalangan lelaki . Terdapat sejumlah 735 kes yang dilaporkan dan didaftarkan, menjadikannya jenis barah keempat paling biasa di kalangan kaum lelaki. Lazimnya, barah prostat membesar dengan perlahan. Kajian bedah siasat menunjukkan bahawa ramai lelaki berumur (dan kadangkala lelaki muda juga) yang mati akibat penyakit-penyakit lain, juga menghidapi barah prostat yang tidak pernah mendatangkan masalah semasa hayat mereka .
“Kanser prostat dikesan melalui ujian saringan PSA Apabila saiz prostat bertambah, ia akan menyebabkan tanda-tanda yang serupa dengan BPH seperti kesusahan keluar air kencing, aliran kencing yang lemah, kencing kerap serta nokturia. ‘‘Dalam pada itu, mungkin akan terdapat darah yang keluar bersama air kencing pesakit. Pada ketika ini, kanser prostat boleh dikesan secara pemeriksaan dubur kerana ciri-ciri strukturnya yang berbiji-biji kasar serta keras,” ujar Presiden MUA dan Ketua Unit Urologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Azad Hassan Abdul Razack.
Pada peringkat akhir, sel-sel kanser prostat boleh merebak melalui aliran darah ke organ-organ lain seperti tulang, terutamanya tulang paha, serta ke paru-paru.
Seseorang pesakit akan mengalami sakit pada tulang serta masalah bernafas. Sekiranya tulang belakang juga terlibat, tekanan terhadap saraf tunjang akan menyebabkan seseorang itu lumpuh pada kedua-dua kaki.
Tambah Prof. Azad, kanser ini boleh dirawat secara pembedahan dengan mengeluarkan seluruh kelenjar tersebut (radical prostatectomy). Terbaru tentang rawatan ini, pembedahan juga boleh dijalankan dengan bantuan robot.
Berdasarkan prosedur ini, radioterapi (sinaran X) juga boleh digunakan untuk merawat kanser prostat dengan memusnahkan sel-sel kanser.
Ia juga digunakan untuk merawat mereka yang mempunyai sel-sel kanser yang telah merebak ke tulang paha dan tulang belakang.
“Rawatan perlu dilakukan awal sebelum simptom menjadi parah. Justeru itu, pemeriksaan awal tentang kanser ini perlu dilakukan awal khususnya golongan lelaki yang berumur 50 tahun ke atas,” katanya.
Kajian BPH dan barah prostat
Didorong oleh kekurangan data mengenai corak gejala saluran kencing bawahan (lower urinary tract symptoms - LUTS) di kalangan kaum lelaki di Malaysia, kajian tersebut telah dibentuk untuk mengumpul maklumat mengenai BPH dan barah prostat bagi memahami dengan lebih baik mengenai pesakit-pesakit yang mempunyai risiko mendapat penyakit-penyakit ini.
Kajian oleh MUA ini telah dilancarkan bagi mengenal pasti kelaziman BPH dan pengesanan barah prostat di kalangan kumpulan pengesanan sasaran dalam masyarakat di Lembah Klang.
Populasi sasaran tersebut terdiri daripada bukan sahaja penduduk di Lembah Klang, malah termasuk juga mereka yang berada di Selatan Perak, Pahang Barat dan Negeri Sembilan Utara.
Kajian ini akan menganalisis data yang diperoleh daripada lapan pusat pemeriksaan di sekitar Lembah Klang. MUA berharap untuk mendapatkan 3,000 peserta dari kedua-dua latar belakang kota dan luar bandar, serta daripada kumpulan etnik yang berbeza bagi kajian ini. Memandangkan kelaziman penyakit-penyakit prostat adalah lebih tinggi di kalangan lelaki yang lebih tua, kajian tersebut akan tertumpu kepada lelaki berumur 50 tahun ke atas.
Mereka yang menepati profil kelayakan digalakkan untuk mengunjungi pusat-pusat pemeriksaan yang berdekatan rumah mereka. Pemeriksaan percuma akan dijalankan setiap hujung minggu dalam bulan Julai di Hospital Selayang, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Hospital Serdang, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Buloh.
lagi info tentang kanser prostat di SIHAT SELALU - Kanser Prostat : Lelaki Jangan Malu
ReplyDelete