SEDANG khusyuk Cik Normah menjamah ubi rebus cicah sambal pada petang Khamis lalu, bersama-sama teman sepejabat, suapan Cik Normah terhenti sebaik saja mendengar cerita mengenai penyanyi lelaki yang pernah menimbulkan kontroversi tidak lama dulu.
Begitupun, Cik Normah terkedu seketika bukannya kerana dia sekali lagi mencipta kejutan, tetapi Cik Normah dikhabarkan, dia kini sudah pun memiliki sebuah rumah mewah bernilai jutaan ringgit di kawasan elit di Lembah Klang.
Cik Normah kagum dengan artis yang seorang ini. Walaupun bukan bergelar juara program realiti, tetapi dek bakat dan kerja kerasnya selama ini, dia mampu meningkat naik bahkan mampu memiliki rumah mewah, kini.
Jangan jadi macam segelintir artis, nama tak segah mana dan nyanyian atau lakonan pun tak sehebat mana, tetapi mampu memiliki kemewahan mengalahkan ahli perniagaan berjaya. Oh ya, mungkin kelompok ini mempunyai lampu ajaib untuk mencapai segala kesenangan itu.
Cerita pasal rumah mewah, Cik Normah dengar, seorang artis wanita yang masih muda dikhabarkan turut memiliki sebuah rumah yang hebat di kawasan Damansara. Boleh digolongkan dalam kategori baru, tetapi nampaknya dia mampu memiliki kemewahan setanding orang yang sudah berpuluh tahun menjalankan perniagaan besar-besaran.
Apapun, Cik Normah harap artis wanita ini tidaklah melakukan perkara yang kurang sihat semata-mata nak mengejar segala kemewahan itu. Lainlah kalau tiba-tiba dia sebenarnya sudah disunting hartawan... Tetapi rasanya belum lagi, sebab tiada pun khabar sebegitu sampai ke cuping telinga Cik Normah ni.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: