Wednesday, December 8, 2010

Wanita perlu 3S


Heng Seai Kie (kanan) dan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Wan Hasmah Wan Mohd. (dua dari kiri) menunjukkan tapak tangan sebagai simbol menentang keganasan terhadap wanita, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


SETIAP hari 10 wanita di negara ini menjadi mangsa keganasan sama ada secara fizikal mahupun emosi. Secara global pula sekurang-kurangnya satu daripada tiga wanita di dunia mengalami penderaan.

Apa yang menyedihkan pelakunya adalah seseorang yang dikenali dan paling hampir dengan mangsa.

Jumlah keganasan terhadap wanita yang diperoleh itu adalah yang dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Angka itu sebenarnya jauh lebih tinggi kerana banyak kes tidak dilaporkan.

Insiden seperti ragut, rogol, gangguan seksual dan keganasan rumah tangga berlaku akibat ekspresi kekuasaan lelaki yang melihat dirinya berkuasa dalam segala aspek ke atas wanita yang sering dianggap insan lemah.

Berbanding keganasan dalam bentuk lain, kekerasan terhadap wanita adalah isu kompleks yang wujud disebabkan ketidakseimbangan gender.

Justeru Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat baru-baru ini melancarkan kempen Katakan Tidak - Bersatu Tamatkan Keganasan Terhadap Wanita bertujuan menyedarkan semua pihak sama ada lelaki atau wanita untuk bersama-sama memainkan peranan bagi menangani jenayah masyarakat ini.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, berhubung kempen ini, kementerian menekankan kepada usaha 3S iaitu Sedar, Sensitif dan Sedia.

Pertama, katanya, semua pihak perlu sedar bahawa keganasan terhadap wanita masih wujud sama ada secara terang atau tersembunyi.

Ujarnya, maksud tersembunyi itu adalah keganasan dalam rumah tangga dan kes sumbang mahram yang lazimnya disorokkan serta tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa kerana melibatkan maruah keluarga.

Menurut Shahrizat, keadaan itu menyebabkan keganasan terus berlarutan, mangsa menderita dalam tempoh yang lama dan akhirnya mengakibatkan kecederaan fizikal, gangguan emosi dan mungkin mental yang serius.

"Isu keganasan terhadap wanita adalah berdasarkan gender yang hanya dapat dicegah sekiranya setiap individu lebih sensitif terhadap persekitarannya seperti di rumah, tempat kerja, sekolah dan dalam komuniti masing-masing.

"Masyarakat tidak kira wanita, lelaki atau mana-mana peringkat usia perlu sedia bertindak untuk menghentikan keganasan daripada terus berlaku.

"Golongan muda, pemimpin masyarakat dan pihak majikan di sektor awam dan swasta juga perlu bertindak menerusi platform organisasi masing-masing bagi mewujudkan masyarakat yang bebas dari keganasan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Heng Seai Kie pada Pelancaran Kempen Say NO - Unite To End Violence Against Women' di KL Sentral, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pelancaran yang dirasmikan Seai Kie itu dianjurkan sempena Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: