SENASKHAH buku lirik lagu sudah siap diletakkan di tempat khasnya. Instrumen seperti gitar, gitar bass, keyboard dan dram juga sudah disusun di pekarangan halaman rumah pengantin. Sebentar lagi, sebuah kumpulan kugiran bakal menghiburkan tetamu dengan persembahan mereka.
Kelihatan tetamu sudah mula membanjiri rumah pengantin. Deejay yang diupah tuan rumah daripada tadi sibuk menghiburkan tetamu yang hadir dengan celotehnya di samping selingan lagu perkahwinan popular nyanyian Allahyarham Puan Sri Saloma, Selamat Pengantin Baru.
Waktu-waktu puncak begini, memang sudah menjadi tanggungjawab kumpulan kugiran memulakan tugas mereka. Para pemuzik dan penyanyi dilihat bersedia dengan instrumen masing-masing. Lalu, sebuah lagu lama bertajuk Diam-Diam Jatuh Cinta yang dipopularkan oleh Ramlah Ram menjadi pilihan pertama dan memenuhi segenap ruang.
Sedar tak sedar, hampir 30 buah lagu sudah dipersembahkan. Senarai lagu daripada genre pop yeh-yeh, rock kapak, balada, irama Malaysia, semuanya habis dikumandangkan kepada tetamu yang datang. Apa yang penting, tetamu terhibur dengan lontaran suara dan muzik sebuah kumpulan kugiran majlis perkahwinan.
Suasana begini begitu sinonim dengan mana-mana kumpulan kugiran yang bergerak bebas di negara ini. Justeru, tidak ada bezanya jika dibandingkan dengan pengalaman sebuah kumpulan kugiran yang dikenali sebagai The Junkrik yang bergerak di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor ini.
Cabaran kugiran
The Junkrik dianggotai oleh Noorliza Fizra Mohd. Rasol, 19; Noor Hanafiah Mohd. Hamdan, 30; Mohd. Sahrulnizam Nagoor, 27; Aminuddin Ab. Mutalib, 33; Mohd. Noor Azri Jamaluddin, 34 dan Muhammad Khairil Marsam, 29.
Junkrik adalah perkataan Jawa yang bermaksud cengkerik. Kata salah seorang anggotanya, Muhammad Khairil, dia tidak merasakan nama itu pelik kerana ia merujuk kepada bunyi-bunyian.
Baginya yang penting bukanlah nama kumpulan tetapi komitmen terhadap kumpulan itu sendiri.
“Tidak semua mampu memberi komitmen penuh kepada kumpulan kugiran perkahwinan. Hanya mereka yang be nar-benar berminat sahaja yang akan bertahan kerana objektif utama bukanlah mencari keuntungan,” katanya ketika ditemui di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Ini kerana untuk satu-satu persembahan secara purata sesebuah kumpulan kugiran akan mengenakan bayaran sekitar RM750.
Pemain keyboard The Junkrik itu berkata,, mereka yang tidak pernah terlibat dengan kugiran perkahwinan mungkin menganggap kerja itu mudah. Tanggapan tersebut salah kerana tidak seperti kumpulan muzik komersial, mereka tidak terikat kepada sebarang genre lagu.
“Kumpulan kugiran perkahwinan perlu mempelajari semua genre lagu terutama lagu-lagu irama 80-an dan 90-an seperti lagu-lagu slow rock yang sering mendapat sambutan hangat tetamu majlis perkahwinan.
“Lagu-lagu rakyat juga menarik minat ramai tetamu. Oleh itu, tugas kugiran majlis perkahwinan bukanlah semudah yang disangka,” katanya.
Kenyataan itu disokong vokalis The Junkrik, iaitu Noorliza Fizra yang merupakan ahli termuda kugiran berkenaan. Justeru, lagu-lagu rakyat, era 80-an atau dirujuk juga sebagai lagu-lagu lama menjadi cabaran buatnya.
“Sejak menganggotai kugiran ini, saya perlu banyak berlatih lagu-lagu lama yang kebanyakannya wujud sebelum saya lahir lagi. Tetapi ia tidaklah sesukar mana sekiranya seseorang itu memang mempunyai minat yang mendalam dalam muzik.
“Tambahan pula, vokalis kumpulan tidak perlu menghafal lirik lagu sepenuhnya kerana persembahan biasanya berpandukan lirik-lirik lagu yang disiapkan dalam bentuk naskhah,” ujarnya.
Dalam pada itu, tidak seperti kumpulan penyanyi komersial, anggota kumpulan kugiran majlis perkahwinan mestilah bersedia untuk menjadi bidan terjun sekiranya penyanyi utama atau vokalis terlambat atau tidak dapat menghadirkan diri akibat kecemasan.
Mohd. Sahrulnizam memberitahu, kejadian bidan terjun adalah perkara biasa bagi sebuah kumpulan kugiran. Dia yang bermain gitar bass juga tidak mempunyai masalah sekiranya terpaksa menggantikan tempat vokalis sekiranya terdesak.
“Banyak cabaran menyanyi dan membuat persembahan dalam majlis perkahwinan. Tetapi, kumpulan kugiran tidak berasa tertekan dengan jangkaan tetamu kerana persembahan kugiran lebih rileks dan tidak bimbang sekiranya berlaku kesilapan kecil,” katanya.
Kenangan zaman kecil
Bagi mereka yang tidak tahu bermain alat muzik, ada alasan tersendiri sehingga terjebak dengan kumpulan kugiran walaupun sedar akan cabarannya selain imbuhan yang diterima tidaklah seberapa.
Bagi vokalis kumpulan kugiran Trilogik pula, Noorhafiza Mohd. Yusuf, 25, menyanyi dalam sebuah kumpulan kugiran perkahwinan dapat mengembalikan memori silam yang begitu indah untuk dikenang, lebih-lebih lagi kenangan zaman kecilnya.
“Sejak kecil, saya selalu masuk pertandingan nyanyian yang dianjurkan komuniti tempatan dan menyanyikan lagu-lagu yang popular ketika itu. Jadi, apabila terbabit dengan kumpulan kugiran kini, lagu-lagu lama tidak asing bagi saya dan dalam masa sama dapat mengimbas kenangan manis dahulu,” katanya.
Sehubungan itu katanya, kugiran dan irama 60-an, 70-an dan 80-an tidak dapat dipisahkan. Selain itu, tidak semua orang dapat menyanyikan lagu genre lama dengan baik, sekali gus menjadi tanggungjawab golongan muda yang gemarkan muzik berkenaan untuk memperkenalkannya kepada generasi baru.
“Sekiranya kita membawakan lagu-lagu lama dengan baik dan membuatkan tetamu terhibur dan bergembira, irama muzik tersebut dapat meresap ke dalam diri generasi baru dengan mudah,” katanya yang baru menyertai kumpulan itu tiga bulan lalu.
Pasangan duet Noorhafiza dalam kumpulan kugiran berkenaan, Irwan Shahrulnizam Zulkaffili, 26, pula memberitahu, dia terlibat secara tidak sengaja apabila mengikut Noorhafiza menyertai uji bakat kumpulan itu.
“Saya menggemari genre muzik dangdut berbanding genre lain. Muzik dangdut menjadi salah satu genre yang digemari tetamu majlis perkahwinan kerana muziknya yang rancak dan menghiburkan.
“Lagu-lagu dangdut mahupun lagu-lagu lama mempunyai nilainya yang tersendiri. Kadang-kadang lirik lagu-lagu tersebut menggelikan hati dan apabila menyanyikannya perasaan gembira dapat dikongsi bersama,” jelasnya.
Trilogik dipimpin dua beradik ipar iaitu Jalil Ahmad, 38 dan Mohd. Azlan Ahadun, 26, yang bertindak sebagai pemain gitar serta gitar bass. Mereka turut membuka sebuah studio muzik di Bandar Seri Permaisuri, Kuala Lumpur.
Azlan memberitahu, kumpulan Trilogik jarang menyampaikan lagu-lagu baru dan lebih tertumpu kepada lagu-lagu lama. Bagaimanapun, tujuan mereka tetap sama iaitu menyampaikan lagu-lagu yang dapat menerbitkan suasana gembira.
“Pada setiap majlis, sebanyak 20 hingga 30 lagu akan dinyanyikan dan diselang-seli dengan celoteh deejay. Oleh itu, setiap ahli kugiran tidak akan berasa tertekan untuk membuat persembahan berterusan tanpa henti.
“Kebanyakan mereka yang menyertai kugiran adalah mereka yang benar-benar berminat dengan muzik dan ingin mengisi masa lapang, bukanlah untuk mencari keuntungan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: