Monday, December 6, 2010

TOUGHBOOK bantu rawat pesakit

Hospital Memorial Matsushita yang terletak di Moriguchi, Osaka ditubuhkan bertujuan menyelamat dan meningkatkan kualiti kesihatan masyarakat di kawasan sekitarnya.

Pada tahun lalu, ia berubah menjadi hospitak tanpa kertas dengan memperkenalkan carta elektronik melalui penggunaan komputer mudah alih Panasonic yang direka khusus bagi industri penjagaan kesihatan- TOUGHBOOK CF-H1.

Komputer mudah alih itu membolehkan kesan, dos ubatan pesakit direkodkan dan dirujuk dengan mudah selaras dengan peningkatan penjagaan kesihatan oleh jururawat.

Hospital berkenaan bekerjasama dengan institusi perubatan lain dalam menyediakan penjagaan perubatan yang mengambil kira situasi dan keadaan setiap pesakit yang dirawat.

Pengarah Hospital Memorial Matsushita, Dr. Tetsuro Yamane berkata, pihaknya berhasrat menjadikan hospital berkenaan sebuah tempat di mana pesakit sangat berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan selain layanan terbaik,.

"Kami berikrar memberikan perkhidmatan terbaik sehingga pesakit berkata kami gembira dirawat di Hospital Memorial Matsushita," katanya semasa ditemui semasa sesi lawatan Panasonic ke hospital berkenaan.

Disebabkan tidak ada hospital kerajaan di tiga bandar iaitu Moriguchi, Kadoma dan Neyagama, menyebabkan peranan yang dimainkan oleh hospital berkenaan amat besar.

Pada 2006, piawaian nisbah satu jururawat kepada tujuh pesakit telah dilaksanakan dan pada 2009 carta elektronik mula diperkenalkan.

Sebagai pemimpin dalam rawatan kesihatan maju serta mendapat pelbagai anugerah, Hospital Memorial Matsushita dinobatkan sebagai hospital asas di Osaka yang menyediakan rawatan kanser terbaik dan mendapat kepercayaan warganya.

Pada tahun lalu, carta elektronik dilaksanakan sepenuhnya di hospital berkenaan dan sistem pembantu jururawat telah diperbaharui seluruhnya.

Penggunaan komputer mudah alih TOUGHBOOK CF-H1 bagi industri penjagaan kesihatan mengubah persekitaran di hospital.

Sebelum itu, jururawat menggunakan pembantu digital peribadi (PDA) yang dibawa ke wad dengan fungsi terhad dan tidak berkesan bagi meningkatkan produktiviti.

PDA tidak diintegrasikan dengan carta elektronik serta tidak boleh menguruskan imej dan hanya boleh merekodkan data nombor dan digunakan bagi pengesahan dos ubatan.

Selain itu selepas memasukkan maklumat yang ada di wad, data tidak boleh disambungkan sehingga ke komputer meja yang terletak di stesen jururawat.

Masalah bertambah rumit apabila PDA kehabisan kuasa bateri.

Penolong Pengarah Hospital Memorial Matsushita, Fumiyo Sakai berkata, penggunaan TOUGHBOOK CF-H1 yang direka khusus bagi bidang perubatan dapat mengatasi masalah yang dihadapi semasa menggunakan PDA.

Malah Pengurus Jabatan Akauntan, Hospital Memorial Matsushita, Shinji Katoh berkata, beliau sendiri amat teruja semasa kali pertama melihat TOUGHBOOK pada peringkat pembangunan.

"TOUGHBOOK dilengkapi dengan segalanya daripada pembaca kod bar , kamera dan Bluetooth. Sehingga kini tiada komputer yang khusus bagi persekitaran perubatan seperti ini.

"Sebelum ini saya menggunakan TOUGHBOOK dalam tugasan jadi saya tahu betapa ia tahan lasak dan kalis air.

"Jadi ini adalah satu salah satu keluarga TOUGHBOOK yang direka khusus bagi penjagaan kesihatan," katanya.

Dalam persekitaran jururawat, kawalan kebersihan dilakukan dengan baik, misalnya tidak terdapat pengumpul habuk dan kebersihan dalam papan kekunci dikekalkan.

Justeru TOUGHBOOK tidak terdapat ruang bagi mengumpul habuk dan mudah dilap hanya dengan alkohol menjadikannya lebih mudah digunakan selain jangka hayat bateri yang lebih lama.

Di Hospital Memorial Matsushita, sejumlah 60 TOUGHBOOK CF-H1 telah digunakan di Unit Jagaan Rapi (ICU), dan penjagaan ginjal, panduan nutrisi serta di wad-wad.

"Bagi jururawat muda yang hidup dalam era permainan video dan telefon mudah alih, mereka mudah menerima teknologi baru.

"Malah jururawat yang lebih berusia juga mudah menggunakan dan sehingga kini mereka semua menggunakannya dengan mudah," kata Sakai.

Sebelum ini semasa menggunakan komputer riba, jururawat terpaksa membawa komputer riba ke katil pesakit tetapi dengan TOUGHBOOK CF-H1 jururawat dapat memasukkan data semasa meninjau pesakit.

"Pesakit juga boleh melihat maklumat yang dipaparkan di skrin tanpa perlu bergerak," kata Sakai.

Lebih menarik apabila jururawat juga boleh menggunakan papan kekunci dengan selesa selepas meletakkan TOUGHBOOK di tempatnya dan lebih banyak maklumat dapat direkodkan.

Justeru maklumat boleh diakses dari mana-mana lokasi sama ada tepi katil pesakit mahu pun di stesen jururawat dan boleh dirujuk semula tidak seperti PDA.

Disebabkan jururawat lebih mudah berkongsi data, maka ia memudahkan doktor memantau sebarang perubahan pada pesakit.

Salah satu perkara yang menarik mengenai CF-H1 ialah ia mempunyai dua biji bateri tambahan dan pengguna tidak perlu mematikan komputer bagi menukar bateri.

Sakai berkata, disebabkan bateri boleh dicas semasa diletakkan di tempatnya yang khas, jururawat tidak perlu mencari dan menyambungkan wayar.

Dengan itu katanya, jururawat akan lebih fokus kepada pesakit dan dapat bekerja dengan lebih baik bagi mencapai penjagaan kesihatan berorientasi kumpulan.

"Penjagaan kesihatan berorientasikan kumpulan di mana maklumat dan isu mengenai perancangan penjagaan dikongsi di kalangan jururawat dan pesakit.

"Ini memberikan keyakinan kepada pesakit kerana mereka dapat mengetahui apa yang berlaku dengan melihat sendiri di skrin CF-H1 dengan keterangan dari jururawat," katanya.

Tidak mustahil di masa akan datang pesakit yang terlantar dapat melihat skrin CF-H1 dan mendapat penjelasan mengenai keadaan mereka serta diberikan penerangan mengenai nutrisi, perubatan serta pemulihan.

Misalnya, lebih mudah melihat perubahan aras gula dalam darah dengan mempamerkannya dalam bentuk graf yang berwarna-warni berbanding nombor.

Ini menjadikan CF-H1 bukan hanya peralatan untuk merekod perubatan dan ubatan tetapi juga sebagai media perhubungan.

Justeru, hospital berkenaan akan memperkenalkan CF-H1 kepada pesakit luar dan merancang menggunakannya sebagai pemeriksaan kesihatan yang diuruskan oleh jururawat.

Dengan membawa teknologi maklumat (IT) ke dalam persekitaran hospital ia di jangka akan menjadi penanda aras kecekapan kerja dalam bidang perubatan.

Selain itu CF-H1 bukan saja terhad kepada hospital tetapi juga penjagaan kesihatan di rumah dan pemeriksaan berdasarkan lawatan.

Jika CF-H1 dijadikan elemen bagi penjagaan kesihatan komuniti, jururawat boleh menjalankan pemeriksaan di rumah secara terperinci tanpa bimbang sebarang keciciran maklumat.

Sistem berkenaan memastikan setiap institusi perubatan boleh berkongsi maklumat pesakit secara individu.

CF-H1 juga bakal menjadi pemain utama dalam perubatan era baru yang lebih terperinci.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: