Saturday, December 4, 2010

Tiket ke pasaran antarabangsa

IMPIAN...Mila bercita-cita melangkah  ke persada antarabangsa.
IMPIAN...Mila bercita-cita melangkah ke persada antarabangsa.

ORANGNYA bertubuh kecil, namun impian yang tersemat di jiwa Noorsyarmilla Jirin atau Mila sangat besar.

Ini kerana demi mengembangkan karier nyanyiannya ke luar negara, Mila, 23, sanggup berkorban apa saja termasuk kewangan.


Tanpa ditaja sesiapa, Mila ke Newcastle, England pada Oktober lalu menyertai pertandingan suku akhir Open Mic UK.

Kini, berkat semangat dan kegigihannya Mila gembira terpilih berentap di separuh akhir pertandingan nyanyian itu pada 11 Disember ini.

  • Foto

  • Foto

    TERPILIH...Mila bakal pentaskan persembahan muzikal Rhythms...

Bakal berlangsung di Dewsbury Town Hall di Yorkshire, United Kingdom (UK), Mila mengharapkan tuah mengiringinya kerana dia enggan pulang dengan tangan kosong. Bagi gadis kecil molek ini dia mahu berentap hingga ke acara kemuncak.

Open Mic UK adalah pertandingan muzik terbesar di UK untuk penyanyi dan artis solo.

Lebih 8,000 peserta diuji bakat untuk pertandingan itu tahun lalu. Pemenang utama akan ditawarkan kontrak rakaman dan pembiayaan hampir RM150,000.


Bersandarkan pepatah Melayu, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, Mila berkata dia akan sedaya-upaya merebut peluang disediakan.

Ujarnya, menang atau kalah adat bertanding, yang pasti bersaing di peringkat akhir.


"Jika saya berjaya, secara automatik layak ke Grand Finale Open Mic UK di O2, London pada 15 Januari 2011.

"Saya harus melakukan sebaik mungkin memandangkan peluang ini bukan mudah. Ia sangat mencabar dan saya perlu berusaha gigih."Jujur, saya akui matlamat sebenar adalah mara ke peringkat akhir. Baru buruan untuk misi ini dirasakan lengkap dan sekiranya dinobatkan sebagai juara, itu satu bonus untuk saya. Justeru, saya takkan pernah berhenti berusaha sehingga berjaya," katanya.


Menurut anak kelahiran Teluk Kumbar, Pulau Pinang ini, seandainya tewas dia tetap reda dengan ketentuan takdir dan barangkali mungkin belum rezekinya untuk melangkah ke pentas antarabangsa. Apa yang pasti, dia puas kerana sudah mencuba.

Bertanding di peringkat saringan pada Ogos lalu, Mila berkata selagi belum kemuncak pertandingan ini, jiwanya lara dan resah memikirkan nasib diri.

Ini kerana, dia memiliki impian besar untuk diri dan karier. Dalam soal ini, siapa yang tak mahu maju.


"Apapun, menyertai pertandingan ini adalah pengalaman sangat berharga kepada saya. "Ini kerana ketika bertanding pada peringkat suku akhir dulu, saya berentap dengan peserta peringkat wilayah. Itu pun sudah membuatkan saya sangat gementar.


"Inikan pula peringkat separuh akhir. Bagi saya, semua peserta bertanding mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri. Mereka bukan hanya bersuara unik, malah kebanyakannya mahir bermain pelbagai alat muzik. Jadi, cukup mencabar," katanya.


Mila berkata dia sekadar mampu mempertaruhkan kekuatan vokalnya. Dalam pertandingan membabitkan kategori itu, juara akan membawa pulang hadiah lumayan berupa wang tunai dan rakaman lagu single untuk diedarkan di seluruh UK.

MILA jayakan Rhythms...
SELAIN berhadapan debaran kencang untuk bersaing di Open Mic UK, beberapa hari lagi, Mila juga aktif memenuhi aktiviti seninya di tanah air. Sebaik pulang dari UK, Mila mempersiapkan dirinya untuk menjayakan persembahan muzikal Rhythms...


Persembahan anjuran Kementerian Pelancongan Malaysia itu berlangsung selama tiga malam dari 17 hingga 19 Disember ini di Dewan Tunku Abdul Rahman (TAR), Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), jam 8.45 malam. Kemasukan penonton percuma.


Mila berkata persembahan muzikal Rhythms... dijayakan itu berkonsep penerokaan pelancongan 1Malaysia menerusi muzik dan tarian. Ia bertujuan mempromosi Malaysia kepada pelancong asing untuk menarik mereka berkunjung ke sini.


"Di negara ini, bukan saja unik kerana masyarakatnya berbilang kaum, tetapi berlainan agama dan budaya. Jadi, kekuatan budaya pelbagai bangsa ini wajar dipersembahkan kepada pelancong asing supaya mereka lebih kagum pada Malaysia.


"Masyarakat tempatan juga boleh datang menyaksikan persembahan muzikal ini kerana ia mencerminkan perpaduan kaum di Malaysia.

"Tidak dinafikan penat, tetapi ini juga adalah sumbangan saya kepada negara. Diharap penonton akan terhibur.


"Persembahan muzikal ini, pertama kali saya sertai. Ia dimuatkan dengan tujuh segmen untuk memperkenalkan Malaysia kepada pelancong asing dan rakyat tempatan.

"Saya juga diberi peluang menghiburkan penonton dengan dua lagu," katanya.


Menurut Mila, persembahan muzikal itu dijangka akan berlangsung selama 45 minit. Menyentuh mengenai penerbitan album, Mila berkata dia hanya perlu merakamkan lagu terakhir untuk album kedua yang akan menemui peminat tidak lama lagi.


"Saya harap album ini dapat dipasarkan pada awal Januari 2011. Ia memuatkan 10 lagu yang mana lima daripadanya single baru dan lima lagi ialah lagu lama yang diberi nafas baru. Saya mengambil langkah ini demi kepuasan peminat," katanya mengakui tiada masa untuk berlakon drama.

Baru-baru ini, Mila muncul dalam telefilem Lori Dara vs Duda Popular di Astro.


>PROFIL:
NAMA: Nursharmila Jirin
PANGGILAN KOMERSIAL: Mila
TARIKH LAHIR: 23 Disember 1987
USIA: 23 tahun
TEMPAT LAHIR: Teluk Kumbar, Pulau Pinang
KELUARGA: Anak sulung
PENDIDIKAN: Sekolah Menengah Teknik Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Air Hitam, Pulau Pinang
KARIER: Penyanyi, Pelakon
PENCAPAIAN: Juara Akademi Fantasia 5 (AF5), Artis Baru Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007, Menang Lagu Terbaik dan Anugerah Khas Juri di Discovery 2008 - 17th International Pop Music Festival di Bulgaria
ALBUM: Persis Mutiara
FILEM: Apa Kata Hati dan Lu Pikirlah Sendiri The Movie
DRAMA/TELEFILEM: Kau Dan Aku, Lori Dara vs Duda Popular

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: