|
|
BESUT - Belum sempat kebas apa-apa, tangan pula putus dilibas.
Demikian nasib malang yang menimpa seorang pencuri berusia 28 tahun ketika cuba memecah masuk rumah milik pengusaha ternakan ikan kolam di Kampung Pengkalan Gaduh, Limbongan dekat sini semalam.
Kejadian pukul 3.30 pagi itu menyebabkan pergelangan tangan kiri suspek putus selepas dilibas dengan sebilah parang oleh pemilik rumah berusia 49 tahun berkenaan.
Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Kamarudin Mohd. Zakaria berkata, mangsa yang tersedar dari tidur ternampak kelibat suspek yang cuba menceroboh rumahnya.
Katanya, sebaik keluar sambil membawa parang, mangsa kemudian telah diserang dengan besi oleh suspek. Besi itu digunakan suspek untuk mengumpil tingkap rumah mangsa.
"Mangsa yang dapat mengelak kemudian telah melibas suspek dengan parang. Suspek pula menahannya dengan tangan.
"Akibatnya, tangan kiri suspek terputus dari paras pergelangan. Lelaki dari Setiu, itu kemudian melarikan diri manakala tangannya ditinggalkan di situ," katanya yang memberitahu mangsa terus menghubungi polis.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: