
Ada yang mengatakan, tanpa Yasmin Ahmad, Sharifah Amani sukar mendapat peluang berlakon dengan produksi lain. Apa pun tanggapan orang terhadap si kecil molek ini, dia hanya tersenyum.
Baginya, dia masih aktif dalam seni lakonan. Kecil-kecil cili padi. Sharifah Amani atau lebih mesra dengan panggilan Amani telah berjaya mencabar dirinya sebagai pengarah. Filem Sangkar merupakan filem eksperimen untuknya. Selain mengarah Amani turut berlakon di samping pelakon lain seperti Beto Khushairy, Othman Hafsham dan juga ibunya Fatimah Abu Bakar.
Tidak hanya itu, kini anak kedua daripada empat beradik ini maju setapak lagi apabila disunting oleh sebuah syarikat luar negara iaitu produksi dari Jepun.
Gadis berusia 24 tahun ini, menggapai peluang di depan mata bagi melebarkan lagi sayapnya.
“Saya sangat teruja apabila dapat tawaran berlakon dengan produksi ini. Sebelum ini saya sedikit kecewa apabila filem karya Yasmin tidak dapat disiapkan. Filem yang bertajuk Wasurenagase ini terhenti seketika. Dengan peluang ini, ia seolah-olah membuka kembali ruang saya untuk terus mencuba bakat saya di luar negara,” katanya.
Diajukan soalan mengenai peranannya di dalam filem ini, Amani akui ia tidak begitu sukar untuk melakonkan watak sebagai pelacur. Biarpun begitu, Amani mengakui mempunyai masalah bahasa kerana warga Jepun itu tidak fasih berbahasa Inggeris.
“Memang susah sebab pada awalnya tak tahu macam mana nak selitkan dialog saya. Saya cuma dapat mengagak sahaja. Menjadi pelacur dalam filem ini membuatkan saya begitu teruja,” katanya yang mempunyai 33 babak di dalam filem ini.
“Saya tak tahu sama ada saya ini antara watak penting atau tidak kerana saya ada lebih 30 babak dalam filem ini. Saya rasa seronok kerana dapat menarik dua orang kawan saya untuk sama-sama terlibat dalam filem ini iaitu Bront Palare dan Isma Yusoff,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: