Tuesday, December 7, 2010

Sajian Maal Hijrah RTM

MAAL Hijrah tertulis kemas di dalam lipatan sejarah Islam di mana bermulanya penghijrahan kaum Muslimin dari Kota Mekah ke Madinah pada tahun 622 Masihi.

Perpindahan bersejarah itu berlaku pada 1 Muharram dan merupakan hari pertama di dalam Takwim Hijrah.

Di sini bermulanya konsep pengorbanan atau perpindahan sewaktu situasi Muslimin Mekah meninggalkan halaman kediaman mereka semata-mata mencari keredaan Allah dengan memulakan kehidupan baru di kawasan yang asing bagi mereka.

Berkat mengharungi dugaan dan cabaran, para Muslimin Mekah dan Madinah akhirnya bersatu membentuk satu pakatan Islam yang hebat berdekad lamanya.

Keindahan Islam yang dibawa lantas telah membangunkan kehidupan Muslimin daripada pelbagai sudut juga kendiri lantas dapat dipraktikkan sehingga zaman teknologi serba canggih kini.

Menyedari keunikan serta konsep yang diamalkan di dalam Islam, Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menyediakan tiga dokumentari khas untuk dipaparkan buat umat Islam sepanjang hari ini, Selasa, 7 Disember 2010 bersamaan 1 Muharram 1432 Hijrah di TV1.

Kelebihan sistem pajak gadai Islam yang telah mula diperkenalkan di bank-bank dan institusi-institusi kewangan di Malaysia dipaparkan melalui Dokumentari Khas Maal Hijrah: Ar-Rahnu pada pukul 11.30 pagi.

Rancangan yang diterbitkan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) menerangkan perihal Ar-Rahnu iaitu pajak gadai Islam yang menggabungkan konsep-konsep syariah Ar-Rahnu, Al Wadiah Yad Dhamanah dan Al Qard. Ar-Rahnu dari sudut syarak merujuk kepada satu barang yang berharga dijadikan sebagai sandaran yang terikat dengan hutang bercagar yang boleh dibayar dengannya sekiranya hutang tersebut tidak dapat dijelaskan.

Sebuah dokumentari khas yang mengetengahkan Kasih Seorang Rasul bersiaran menjelang pukul 12.05 tengah hari. Rancangan ini akan mengupas keperibadian mulia Nabi Muhammad S.A.W yang perlu menjadi ikutan umat Islam.

Namun, tidak lengkap sekiranya sambutan Maal Hijrah tahun ini tidak diakhiri dengan rancangan yang dapat memberi panduan kehidupan khusus kepada penonton TV1. RTM menyajikan sebuah program khas Maal Hijrah pada pukul 6.30 petang dengan dokumentari khas bertajuk Halal dengan kerjasama oleh pihak Jakim.

Dokumentari ini akan memberi penerangan mengenai produk-produk serta barangan-barangan halal 1Malaysia yang dapat diguna pakai oleh semua golongan masyarakat termasuk bukan Islam.

Selain dokumentari, RTM turut menyajikan telefilem khas bertemakan Maal Hijrah. Menerusi TV2, pada pukul 10 malam, ikuti sebuah telefilem berjudul Tempatkan Dia di Syurga yang berkisar tentang seorang wanita bernama Salmah. Dia terpaksa meringkuk dalam penjara selepas secara tidak sengaja tertikam Zakir ketika bergaduh.

Dua tahun berlalu, Salmah dibebaskan daripada penjara dan mencari anaknya, Saliza yang telah diamanahkan kepada jirannya yang hanya dikenali sebagai Mona.

Hancur luluh hati Salimah mengetahui anaknya telahdiperangkap untuk dijadikan pelacur. Apakah tindakan Salimah untuk mendapatkan anaknya kembali?

Telefilem ini dibintangi Tasha Aziz, Hasnul Rahmat, Fauzi Nawawi, Siti Surya Suryani, Shaharudin Thamby dan Fadilah Mansor.

Sementara itu Rozita Che Wan, Remy Ishak, Sabrina Ali, Rashidah Jaafar, Kismah Johar dan Zaibo muncul menerusi telefilem berjudul Masihkah Ada Sinar pada pukul 2 petang, di saluran TV 2.

Telemovie ini mengisahkan Hawati seorang guru berstatus bujang dan berumur akhir 30-an yang terpaksa menanggung empat orang anak-anak adiknya yang masih bersekolah apabila adiknya menemui ajal bersama suami dalam sebuah kemalangan jalan raya.

Lebih malang lagi anak saudaranya menghidapi penyakit jantung berlubang. Hawati pula merupakan penyakit kencing manis yang kronik serta tekanan darah rendah.

Kekasihnya, Mazlan juga seorang guru berhasrat melamarnya, namun dihalang ibu Mazlan. Ikuti telefilem yang penuh dengan keinsafan ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: