Wednesday, December 8, 2010

Pengasas WikiLeaks ditangkap


PENGASAS WikiLeaks, Julian Assange (dalam bulatan) menaiki kereta ke Mahkamah Majistret Westminster, Lon don semalam.


LONDON - Pengasas laman web WikiLeaks, Julian Assange ditangkap polis Britain semalam dengan menggunakan waran tangkap pihak berkuasa Sweden pada 18 November lalu kerana disyaki terbabit dalam jenayah rogol wanita di Sweden.

Assange yang berusia 39 tahun dan berasal dari Australia menyerah diri di sebuah balai polis di sini.

Dia ditangkap selepas lebih 250,000 kabel diplomatik Amerika Syarikat (AS) didedahkan di laman webnya.

Pendedahan itu mencetuskan kekecohan kepada dunia kerana maklumat sulit tersebut melibatkan tingkah laku para pemimpin dunia selain perancangan rahsia beberapa buah negara.

Laman web WikiLeaks turut menjadi sasaran penggodam bagi mengelak orang ramai mengakses laman itu untuk membaca kandungan maklumat sulit tersebut.

"Assange ditangkap oleh polis London pada pukul 9.30 pagi waktu tempatan dengan menggunakan waran tangkap Eropah (Sweden) dan dia dihadapkan ke mahkamah Majistret Westminster di London (semalam)," kata satu kenyataan polis London.

"Dia dituduh pihak berkuasa Sweden berhubung satu kesalahan melakukan paksaan, dua kesalahan mencabul dan satu kesalahan rogol, semuanya didapati dilakukan pada Ogos 2010," tambah kenyataan sama.

Bekas penggodam komputer itu yang kali terakhir muncul di khalayak pada November lalu menafikan semua tuduhan ke atasnya.

Dia memberitahu, semua tuduhan tersebut berpunca daripada satu pertelingkahan berhubung seks suka sama suka melibatkan dirinya dengan dua wanita selain mempunyai motif politik.

Assange kini terpaksa bergelut dengan sistem perundangan Britain bagi mengelak diekstradisi ke Sweden.

Beberapa peguamnya berkata, Assange seboleh-bolehnya mahu mengelak daripada dihantar pulang ke Sweden kerana bimbang dia akan diserahkan kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS).

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Pertahanan AS, Robert Gates yang berada di Afghanistan semalam menyifatkan penangkapan itu sebagai 'berita baik'.

Sementara itu dalam satu kenyataan di laman sosial Twitter, WikiLeaks menyatakan: "Penangkapan ketua pengarang kami, Julian Assange pada hari ini tidak akan menjejaskan operasi kami, kami akan terus mendedahkan lebih banyak kabel diplomatik pada malam ini seperti biasa."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: