ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: …Dan tolong menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah, sungguh, Allah sangat berat seksa-Nya... (al-Maidah: 2).
Islam adalah agama yang mementingkan perpaduan dan sikap saling membantu melaksanakan kebajikan yang mana ia merentasi sempadan geografi.
Usaha murni itu perlu dipupuk di kalangan remaja dan belia supaya apabila dewasa , tugas itu bukan asing kepada mereka.
Baru-baru ini, 28 sukarelawan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) terdiri daripada enam pegawai dan 22 pelajar 'mengorbankan' cuti mereka untuk menjalankan Program Khidmat Masyarakat di Kemboja.
Program Khidmat Masyarakat itu dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat (Censerve) di bawah Pejabat Timbalan Rektor (Ehwal Pelajar) UIAM.
Program yang diberi nama Misi Kemanusiaan Antarabangsa Kemboja itu adalah misi ke-4 anjuran UIAM.
Ia berlangsung selama seminggu mulai 21 hingga 27 November 2010.
Antara tujuan misi kemanusiaan di Kemboja itu adalah melihat dan memantau projek yang telah dilakukan sebelumnya.
Selain itu, ia bagi mengumpul maklumat-maklumat berkenaan keperluan masyarakat di sana. Terutamanya, membantu umat Islam di Kemboja agar mereka menyedari pentingnya pendidikan untuk anak-anak dan generasi muda.
Misi itu juga menyediakan asas untuk kakitangan dan mahasiswa UIAM mengembangkan kemahiran sosial melalui pergaulan dengan masyarakat antarabangsa.
Seterusnya, memahami masalah dan kekurangan mereka serta membina persaudaraan sesama Muslim yang lain.
Pada misi kali ini, UIAM memilih Battambang, iaitu bandar kedua terbesar di Kemboja dengan jumlah penduduk lebih daripada 250,000.
Battambang terkenal sebagai wilayah pengeluar beras terkemuka di negara itu. Selama lebih 500 tahun, ia menjadi pusat komersial utama dari Siam Wilayah Timur.
Pelbagai program dan aktiviti dijalankan sepanjang seminggu program tersebut antaranya berkhatan oleh Ketua Pegawai Perubatan Pusat Kesihatan UIAM, Dr. Dinon Mohd. dan pegawai perubatan Dr. Md. Soep Fadimon.
Turut diadakan adalah pengajaran modul kepada kanak-kanak seperti mewarna, sembahyang dan doa, gotong-royong, mengadakan ziarah di tujuh kampung, memberi bantuan seperti telekung, tasbih, al-Quran serta dana untuk memajukan masjid dan surau terpilih.
Tidak ketinggalan, memberi pendedahan kepada para penduduk betapa pentingnya untuk menjaga kesihatan.
Selain itu, pelajar melakukan tinjauan demografi untuk mengumpul data berkenaan dengan jumlah keluarga, pendidikan, latar belakang pekerjaan, ekonomi serta pegangan agama di sesebuah kampung.
Data yang dikumpul akan digunakan sebagai rujukan misi seterusnya.
Timbalan Pengarah Pusat Khidmat Masyarakat UIAM, Martinelli Hashim berkata, pihaknya akan meneruskan program itu agar dapat membantu umat Islam di Kemboja.
Katanya, diharapkan program itu dapat membantu umat Islam di Kemboja mengubah cara hidup mereka ke arah yang lebih baik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: