Wednesday, December 8, 2010

Pelajar Curtin Sarawak terima Anugerah SPE 2010


BARISAN dari kiri, Raja Diana, Shahul Hameed, Freddie Panau, Dr. Jeroen Groenenboom, Kelvin Hii, Teh Yen Swan dan Prof. Lau Hieng Ho bersama Anugerah SPE 2010 yang dimenangi pada Persidangan Kejuruteraan dan Sains Teknologi Universiti Curtin 2010 di Miri, baru-baru ini.


MIRI 7 Dis. - Pelajar jurusan Aplikasi Geologi dan Kejuruteraan tahun akhir Universiti Curtin Sarawak (Curtin Sarawak) mencuri tumpuan dalam Persidangan Kejuruteraan dan Sains Teknologi Universiti Curtin (CUTSE) 2010 dengan membentangkan sebanyak 62 kertas kerja teknikal.

Dengan tema Inspiring Tomorrow's Engineers and Geologist, kertas kerja yang dibentangkan meliputi pelbagai disiplin antaranya elektrikal dan kejuruteraan komputer; kejuruteraan kimia; kejuruteraan sivil dan pembinaan; kejuruteraan mekanikal; aplikasi geologi serta perkembang terkini projek, inovasi dan penemuan penyelidikan.

CUTSE yang diadakan selama dua hari mulai 29 hingga 30 November lalu itu dianjurkan oleh Sekolah Sains dan Kejuruteraan Curtin Sarawak dengan kerjasama Institut Jurutera Malaysia (IEM) cawangan Miri sejak 2006.

Bagi tahun ini, persidangan meliputi perbincangan topik berkaitan kejuruteraan dan aplikasi geologi dengan empat sesi untuk pembentangan.

Empat pembentang yang diundang ialah Mohamad Sulong dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Thony Badak (Sarawak Shell Berhad), Ng Kam Loong (X-Fab Sarawak) dan Prof. Zainuddin Abdul Manan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Persidangan kali ini turut menyaksikan penyampaian anugerah berprestij iaitu Society of Petroluem Engineers (SPE) untuk Kertas Teknikal Terbaik termasuk wang tunai RM4,000 untuk setiap keempat-empat pelajar.

Anugerah dan wang tunai disampaikan oleh Pengerusi SPE Sarawak, Dr. Jeroen Groenenboom kepada Raja Diana dan Shahul Hameed (aplikasi geologi), Kelvin Hii dan Teh Yen Swan daripada kejuruteraan mekanikal.

Berucap pada majlis pembukaan, Timbalan Pro Naib Canselor, Profesor Alistair Inglis berkata, beliau berpuas hati dengan pembabitan pelajar tahun akhir dan para pembentang yang bertungkus lumus menjayakan persidangan itu.

''Pihak Curtin berharap usaha pelajar ini diteruskan pada persidangan akan datang untuk memperkaya mereka dengan ilmu dan pengalaman pembelajaran efektif.

''Pada masa yang sama, ia juga mempersiapkan mereka untuk menghadapi dunia pekerjaan yang sebenar dan sudah pasti mencabar," katanya.

Pengerusi penganjur yang juga Ketua Jabatan Kejuruteraan Sains Kimia dan Sekolah Kejuruteraan, Freddie Panau berkata, persidangan kali ini membuktikan komitmen Curtin Sarawak untuk mencapai status cemerlang dalam pembelajaran kejuruteraan dan sains.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: