Wednesday, December 15, 2010

Pasar raya koperasi di setiap negeri bermula 2011


ISMAIL Sabri Yaakob beramah mesra dengan sebahagian peserta Konvensyen Perdagangan Pengedaran Koperasi di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 14 Dis. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menyasarkan penubuhan sebuah pasar raya koperasi di setiap negeri bermula 2011.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini dua buah negeri telah mempunyai pasar raya koperasi iaitu di Tanjung Malim dan juga Kota Kinabalu.

Katanya, tujuan pembinaan pasar raya koperasi itu adalah sebagai pusat pengeluaran barang keperluan harian secara pukal selain dapat menyaingi harga barangan keperluan harian yang dijual di pasar raya besar seperti Tesco dan Carrefour.

‘‘Selain itu, saya juga berharap dapat menggabungkan kesemua 800 koperasi yang berada di seluruh negara untuk mewujudkan sebuah entiti yang berfungsi membekalkan barangan keperluan harian terus dari kilang.

‘‘Ini merupakan strategi serta usaha kami bagi membantu pembangunan koperasi negara supaya mampu menyaingi jenama pasar raya dari luar negara, sekali gus membantu memacu perkembangan ekonomi bumiputera dan negara,’’ katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Perdagangan Pengedaran Koperasi 2010 di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha Kementeriannya, Datuk Daud Tahir; Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Mangsor Saad; Timbalannya, Datuk Md. Yusof Samsudin; Pengerusi Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Dr. Ali Baharom dan Pengarah Maktab Kerjasama Malaysia, Idris Ismail.

Menurut Ismail Sabri, peruntukan untuk dana program Transformasi Kedai Runcit (Tukar) akan ditambah sebanyak RM20 juta berbanding RM10 juta yang diberikan sebelum ini.

Katanya, penambahan tersebut bertujuan memastikan segala perancangan yang dilakukan untuk program itu berjalan lancar.

‘‘Tambahan RM20 juta itu adalah daripada Tabung Pinjaman Modal Pusingan Koperasi yang ditubuhkan oleh SKM sendiri bagi memastikan segala pelan yang dirancangkan untuk pembangunan koperasi runcit negara berjaya dilaksanakan.

‘‘Selain itu, saya juga berharap penggunaan kad Ko-op di kalangan anggota koperasi akan dipertingkatkan kerana jumlah pengunaannya masih rendah berbanding jumlah ahli walaupun banyak kelebihan boleh didapati daripadanya,’’ jelasnya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, senarai harga barang kawalan sempena perayaan Krismas akan diumumkan Jumaat ini kerana masih menunggu kelulusan daripada Kabinet.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: