PUTRAJAYA: Persoalan benarkah pelakon Vanidah Imran akan menjadi pengacara Nona terjawab apabila dia disahkan menggantikan Maya Karin dalam rancangan itu bermula 2 Januari depan.
Pengurus Penerbitan Program Wanita dan Projek Khas, Siti Hatija Yusof berkata pemilihan Vanidah adalah menepati cita rasa penonton yang mahu melihat nilai wanita Melayu dalam rancangan tersebut.
“Kami telah menjalankan tinjauan terhadap orang ramai tentang kriteria yang mereka mahukan sebagai pengacara Nona.
“Maklum balas yang kami terima ialah mereka mahukan ciri-ciri wanita Melayu dan mempunyai latar belakang yang baik dan mempunyai karakter tersendiri” ujarnya.
Katanya, pemilihan Vanidah dibuat sebulat suara setelah sesi uji bakat yang turut disertai beberapa selebriti dan personaliti TV3.
“Dari uji bakat yang dibuat, kami dapati Vanidah paling menepati kriteria yang kami cari. Kami yakin dengan personaliti dan karakter yang ada dalam dirinya dia mampu menarik perhatian penonton,” katanya.
Dalam pada itu, Siti Hatija turut menafikan dakwaan bahawa pengacara lama, Maya Karin telah menjatuhkan rating Nona berbanding semasa dikendalikan oleh personaliti TV3 sebelum ini.
“Maya tidak menjatuhkan rating, ketika dia mengacarakan Nona rating masih sama iaitu 1.5 juta penonton setiap episod. Cuma jangkaan untuk dia menarik lebih ramai penonton terlalu tinggi.
“Kita juga buat percubaan untuk mendewasakan Nona menjadi lebih “urban” tetapi maklum balas yang diterima, ramai yang mahu Nona kekal ciri kemelayuan,” jelasnya.
Bagi Vanidah, dia gembira dan tidak pernah menyangka berpeluang menjadi pengacara Nona. Dia menyifatkannya bagaikan mimpi menjadi kenyataan.
“Saya pernah berangan-angan untuk menjadi pengacara Nona terutamanya ketika Normala Shamsuddin mengacarakan rancangan ini.
“Dan saya tidak menyangka rezeki ini ditawarkan selepas 20 tahun saya dalam industri ini,” katanya.
Bagaimanapun, dia tidak menafikan akan mengalas tanggungjawab yang besar bagi mengembalikan zaman kegemilangan Nona.
“Pertama kali ditawarkan saya seronok tapi perasaan gementar juga timbul, banyak persoalan yang bermain dalam fikiran saya sama ada boleh atau tidak untuk memikul tanggung jawab ini.
“Bagaimanapun saya seorang yang berani berhadapan dengan cabaran. Saya akan cuba untuk buat yang terbaik,” katanya.
Dia juga mengakui terpaksa mengurangkan aktiviti lakonan bagi memberi tumpuan sepenuhnya dan terlibat secara langsung dalam penggambaran yang dijalankan.
“Saya sudah tolak semua tawaran untuk berlakon drama berepisod, saya mahu tumpukan kepada program ini dan kalau boleh mahu turun padang sekali dalam penggambaran setiap episod,” ujarnya yang menganggap tawaran mengacarakan ini tepat pada masanya.
Bercerita tentang pengalaman lima episod yang telah dijalankan, Vanidah memberitahu dia semakin selesa dan yakin mengacarakan rancangan berprestij itu.
“Hari pertama memang gementar dan agak takut, tetapi selepas episod kelima ini saya semakin yakin,” katanya.
Dalam pada itu, segmen lama yang masih lagi dikekalkan ialah seperti Fesyen, Perkahwinan, dan Kecantikan, di mana segmen ini masih sinonim dengan rancangan tersebut.
Perkahwinan misalnya, antara segmen yang diminati dalam Nona akan memperlihatkan pendekatan dan sentuhan baru dalam mengeksploitasi dunia perkahwinan itu sendiri.
Nona 2011 turut menampilkan beberapa segmen baru seperti Rahsia Lelaki, Masakan, Koleksi Kegemaran yang akan memantapkan lagi perjalanan program tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: