Thursday, December 2, 2010

Moral celaru 2012


BARISAN pelakon 2012 terdiri daripada barisan anak muda yang mencintai dunia pementasan.


APABILA diuar-uarkan bahawa dunia bakal berhadapan dengan kejadian malapetaka besar pada tahun 2012 seiring dengan ramalan hari kiamat kalendar kaum Maya, ramai yang mula mempercayainya.

Namun, sebahagian lagi percaya kejadian malapetaka bukan sebagai pengukur ‘kiamat’ tetapi kejadian keruntuhan akhlak sosial yang menimpa muda-mudi sebagai indikatornya.

Menggunakan idea itu sebagai asas, pengarah teater moden Tamil tempatan, S. Tanabalan atau nama popular beliau, ST Bala yang terkenal dengan teater masterpiece, Sambanthan, kini tampil dengan satu lagi persembahan, 2012.

“Ia satu lagi percubaan baru kerana dalam drama ini, saya mengaplikasikan teater eksperimental. Ia tidak akan menggunakan apa-apa bahan bantuan tetapi hanya menggunakan lampu dalam latar gelap,” katanya memulakan bicara.

Teknik yang sama, pernah digunakan Bala dalam sebuah teater tiga tahun lalu, Antha Oru Nimidam. Kejayaan teater tersebut serta penerimaan penonton terhadap drama eksperimental sekali lagi digunakan sebagai platform untuk menyampaikan teater 2012.

Bercerita tentang teater itu, Bala berkata ia akan dipersembah menggunakan tenaga pelakon seramai 15 orang dengan setiap seorang akan membawa sekurang-kurangnya dua atau lebih kecuali bagi watak utama.

Para pelakon teater itu termasuklah K. Banu, A. Devarajan, R. Ganesh, K. Indrani, K. Meena, B. Navindran, G. Nithya, V. Nityawathy dan A. Rajandran. Ia turut dijayakan P. Ravikumar, R. Sandilyan, R. Shamini Dwi, N. Subah Rao, R. Thiagarajan dan T. Tanabalan, iaitu anak Bala sendiri.

“Ia menceritakan tentang seorang lelaki muda yang kecewa dan marah dengan segala kejadian di sekeliling. Bermula daripada pelbagai kegiatan jenayah jalanan, salah laku seksual, pekung dunia politik wang dan sebagainya, watak utamanya Arivalagan bertindak kepada kejadian itu dengan memukul, mencederakan dan membunuh mereka yang terlibat.

“Walau bagaimanapun, Arivalagan bukan tampil sebagai penjenayah tetapi sebagai seorang pesakit mental yang menceritakan kisah gelapnya kepada seorang doktor wanita di hospital,” kata Bala yang turut mempersembahkan pra tonton teater 2012 itu.

Setiap plot mempunyai satu kisah dan karakter tersendiri sebagai imbasan lampau. Hanya plot bagi watak utama, Arivalagan dan doktor serta persekitaran di hospital dikekal sebagai kejadian semasa.

“Drama ini membawa mesej kehidupan moden masyarakat masa kini. Bukan itu sahaja, ia juga memuatkan pelbagai karakter yang mungkin akan membuatkan anda berasa dekat kepada watak itu,” katanya yang bagaimanapun mengehadkan tontonan teater itu untuk penonton 18 tahun ke atas sahaja.

Jelas beliau, dialog-dialog yang diaturkan berkonsep terbuka dan langsung bagi mengekalkan elemen semula jadi.

Teater 2012 sudah mula dipersembahkan sejak semalam dan akan berakhir 5 Disember ini. Ia dilangsungkan di Auditorium Taman Budaya Kuala Lumpur pada pukul 8.30 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: