![]() |
| Suasana malam di atas kapal persiaran lebih memukau dengan sinaran lampu yang indah. |
CRUISE Tasik menawarkan satu pengalaman makan malam yang unik ketika anda menaiki kapal persiaran yang diberi nama Daun, Kelah dan Sebarau.
Dengan kapasiti tempat duduk sehingga 60 orang dalam majlis makan malam, pelayaran itu juga menawarkan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan untuk kegunaan majlis sosial ataupun korporat.
Kapal persiaran tersebut juga boleh digunakan untuk majlis persendirian seperti perkahwinan, majlis makan tengah hari, minum petang dan makan malam yang turut disertakan dengan kemudahan karaoke dalam kapal persiaran tersebut.
Pelayaran tradisional
Pengunjung boleh merasai pelayaran tradisional menggunakan perahu "Dondang Sayang" yang turut menawarkan pakej perjalanan romantik sambil melihat Putrajaya.
Perahu tersebut direka mengikut rekaan tradisional iaitu Payang dan Kolek. Kedua-duanya boleh dinaiki empat hingga enam orang dalam satu masa selain diiringi dengan muzik Dondang Sayang.
Kedua-dua jenis perahu itu yang digunakan untuk berulang-alik di perairan Putrajaya merupakan replika sebenar bot-bot memancing tradisional yang digunakan di Semenanjung Malaysia.
Rekaan perahu Kolek mempunyai lengkungan kayu di bahagian luar manakala Payang mempunyai rekaan kayu lurus yang direka bagi memenuhi keperluan laut lepas.
Bahan tempatan digunakan dalam pembinaan kedua-dua jenis perahu tersebut. Badan dibuat daripada kayu keras, Chengal Mas yang boleh ditemui dalam hutan hujan tropika.
Setiap potongan kayu dipilih mengikut kualiti dan menjadi antara tarikan yang mempesonakan di tengah tasik Putrajaya.
Kapal pelayaran penumpang
Bagi pengunjung ataupun pelancong yang ingin melihat dengan lebih dekat lokasi di Putrajaya bolehlah mencuba menaiki kapal persiaran yang diberi nama Belimbing dan Daun.
Kapal persiaran tersebut yang sepenuhnya berhawa dingin dibina khususnya untuk membawa penumpang-penumpang belayar ke sekitar Tasik Putrajaya.
Kapal persiaran tersebut dinamakan Belimbing, sempena nama penyu belimbing dan ia direka khas dengan tingkap-tingkap melengkung dari tempat letak tangan sehingga ke siling bagi memaparkan pandangan yang lebih jelas.
Selain hidangan ringan yang disediakan, panduan pelayaran turut diberikan oleh pegawai pelancongan Cruise Tasik di dalam kapal berkenaan.
Kedua-dua kapal persiaran itu juga direka untuk memberikan keselesaan yang maksimum kepada pengunjung ketika penjelajahan selain ciri-cirinya yang lebih mesra terhadap alam sekitar.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: