Tuesday, December 14, 2010

Longyi terpinggir di Myanmar


GOLONGAN muda Myanmar semakin terpengaruh dengan fesyen dan stail dari Barat.


SEMUA mata tertumpu kepada selebriti Chan Chan Clare yang melangkah masuk ke sebuah restoran di Yangon. Penampilannya cukup anggun dalam persalinan dres mini bermanik-manik.

"Maaf, saya terlambat," jelas model dan penyanyi yang berusia 22 tahun itu sambil menempah minuman ringan sebelum meneruskan bicara mengenai trend pakaian di negaranya.

Biarpun sibuk mempromosikan album solo pertamanya yang sedikit sebanyak dipengaruhi oleh penyanyi Celine Dion dan Beyonce, namun Chan Chan masih aktif dalam bidang modeling yang disifatkan sebagai salah satu pekerjaan yang diimpikan oleh setiap wanita warga Myanmar.

Apatah lagi Chan Chan kini dianggap sebagai pencetus fesyen seksi di kalangan anak-anak muda masa kini.

"Golongan wanita gemar memakai skirt pendek. Seperti pemikiran kami yang semakin matang dan meningkat dewasa, kami mula cenderung membelek fesyen-fesyen terbaru. Kami kerap melayari Internet dan teruja melihat begitu banyak fesyen menarik yang ditawarkan dari Barat dan Asia," jelas Chan Chan.

"Jadi sejak tiga tahun lalu kami semakin berani dan berasa yakin untuk menyarung pakaian sebegini. Lagipun, rasanya tiada siapa yang peduli apabila anda memakai seluar pendek.

"Namun bukan semua masyarakat Myanmar dapat menerima kehadiran gaun dan skirt pendek," jelas satu kenyataan yang dipetik menerusi akhbar New Light of Myanmar.

Sehubungan itu, langkah awal perlu diambil bagi mempertahankan budaya dan warisan kita.

Golongan wanita di negara yang diperintah tentera itu semakin obses kepada skirt dan seluar pendek.


LONGYI merupakan pakaian tradisional Myanmar yang semakin dilupakan oleh anak-anak muda.


Secara amnya, Longyi merupakan sejenis kain sarung yang diperbuat daripada kapas atau sutera yang panjangnya dari pinggang hingga ke buku lali.

Pakaian tersebut masih wajib digunakan di sekolah-sekolah tinggi, universiti dan kebanyakan tempat pekerjaan. Wanita ikon perjuangan demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi, misalnya, sering tampil di khalayak ramai dalam persalinan longyi. Longyi yang didatangkan dalam pelbagai warna turut dipakai oleh golongan lelaki tempatan.

Namun generasi muda terutamanya wanita muda di kawasan bandar semakin mengelakkan diri untuk memakai pakaian kebangsaan itu. Mereka semakin galak pada fesyen moden sehingga menolak aspek keprihatinan moral dan budaya.

"Trend fesyen semakin berkembang di Myanmar dan sebab itu mereka selesa memakai skirt pendek. Pada masa yang sama, mereka semakin memahami erti kebebasan. Selain itu, keyakinan diri mereka juga semakin meningkat," ujar Chan Chan.

Evolusi pakaian lelaki

Selain wanita, trend fesyen lelaki di Myanmar turut mengalami evolusi tersendiri. Antaranya stail yang dipengaruhi muzik rock dan fesyen Korea.

Trend itu juga dipengaruhi dengan gelombang budaya Korea Selatan yang melanda Myanmar dan beberapa buah negara Asia lain. Selain fesyen, filem dan drama Korea Selatan juga menjadi perhatian di Myanmar.

"Pada pengamatan kami penampilan masyarakat Korea Selatan cukup menarik dan bergaya," terang Chan Chan yang turut menyatakan item fesyen K-wave seperti skirt mini, jaket, seluar pendek dan legging (sarung kaki) mudah didapati dan popular di Myanmar.

Kegilaan pada produk Korea Selatan nampaknya jelas ketara di negara yang dikenali kerana kemiskinan dan terasing selepas sedekad berada di bawah pemerintahan tentera. Malah, stail dan penampilan selebriti Korea sudah mula berleluasa di sekitar Yangon.

"Masalahnya kini pakaian tradisional Myanmar, longyi bagaikan tidak mampu mengatasi populariti fesyen Korea," ujar pereka fesyen Ma May Myo.


IKON pejuang demokrasi Myanmar, Suu Kyi (kiri) dilihat sering menyarung longyi.


"Wanita muda tempatan gemar dan selesa menyarungkan pakaian yang lebih ringan, unik dan comel. Lagipun sukar untuk mereka bergaya sekiranya memakai longyi."

Ma May, 34, yang mencipta nama di Yangon sejak lima tahun lalu turut memberitahu, permintaan pelanggan untuk busana ala Korea semakin meningkat.

"Situasi sekarang sudah banyak berubah. Kini mereka boleh melihat rekaan dan trend fesyen terkini di luar negara menerusi Internet saja. Keadaan tidak sama seperti dulu," jelas Ma May.

Pada bulan November lalu, ramai pemerhati menjangka keputusan pilihan raya pertama dalam tempoh dua dekad, bakal menyaksikan ketidakadilan kepada undian yang mengekalkan rejim tentera bagi meneruskan pentadbiran.

Namun keputusan itu sedikit pun tidak menjejaskan minat warga Myanmar untuk terus memilih fesyen moden.

Menurut penganalisis Myanmar yang bertugas di Thailand, Aung Naing Oo, walaupun tiada perubahan politik namun ia masih tidak mampu menyekat evolusi fesyen dan keinginan anak muda meniru fesyen dari negara jiran.

"Saya tidak fikir pihak tentera boleh menyekat situasi penularan budaya asing. Generasi baru hari ini mengimpikan sesuatu yang berbeza selepas disekat begitu lama."

Sementara itu, Ma May Myo berusaha melakukan perubahan pada longyi kerana kerajaan Myanmar sudi menaja kumpulan pereka untuk giat dalam mempromosikan pakaian tradisional tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: