Thursday, December 9, 2010

Letupan khianat awal pagi


PENDUDUK melihat sebahagian daripada 17 buah motosikal yang rosak teruk akibat dibakar tiga lelaki di Kota Damansara semalam.


PETALING JAYA - Penghuni di Blok A Flat Kota Damansara di sini semalam gempar apabila mendapati sebanyak lima buah motosikal yang diletakkan di tingkat bawah kediaman itu hangus terbakar manakala 12 lagi rosak teruk disyaki menjadi mangsa perbuatan khianat tiga lelaki.

Jurucakap polis berkata, kejadian berlaku pukul 5.10 pagi dan disedari oleh penghuni flat yang terdengar bunyi letupan. Kerugian dianggarkan bernilai RM60,000.

Katanya, sebelum kejadian, seorang penghuni memberitahu, dia ternampak tiga lelaki berjalan ke arah tempat meletak motosikal flat tersebut dalam keadaan yang mencurigakan.

Difahamkan, polis masih menyiasat sama ada kes itu melibatkan perbuatan khianat.

"Ketiga-tiga suspek kemudian dikatakan telah mencurah sesuatu ke arah motosikal di situ sebelum bertindak menyalakan api.

"Flat itu turut dikawal oleh pengawal keselamatan tetapi mereka mendakwa tidak menyedari ada orang terlibat membakar motosikal tersebut," katanya ketika dihubungi semalam.

Jurucakap berkenaan menambah, polis masih memburu ketiga-tiga suspek yang telah dikenal pasti identitinya itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: