BUKIT Margalla yang terletak di Shaharah-e-Islamabad, hujung bandar raya Islamabad, Pakistan merupakan sebahagian daripada landskap gunung-ganang yang mendasari kaki banjaran Himalaya.
Tidak hairanlah, ia sering menjadi tumpuan para pelancong yang mahu menikmati keindahan panorama dan kepelbagaian flora dan fauna yang terdapat di sekelilingnya.
Namun, di sebalik keunikan formasi batuan bukit yang berusia kira-kira 40 juta tahun itu terletak sebuah monumen yang kini menjadi simbol kebanggaan masyarakat Islam di seluruh dunia.
Dikenali sebagai Masjid Raja Faisal, idea pembinaannya bermula ketika pemerintah Arab Saudi ketika itu, Raja Faisal Abdul Aziz mengadakan lawatan ke Pakistan pada tahun 1966. Baginda tertarik dengan cadangan kerajaan negara itu membina sebuah masjid baru berstatus negara.
Tiga tahun kemudian, satu pertandingan telah diadakan untuk memilih arkitek yang bertanggungjawab mereka bentuk masjid berkenaan. Ternyata, sambutannya yang diterima amat menggalakkan. Jawatankuasa pertandingan telah menerima sebanyak 43 kertas cadangan membabitkan ramai arkitek terkemuka dari 17 buah negara.
Arkitek Turki, Vedat Dalokay dipilih sebagai pemenang dalam pertandingan itu. Pembinaannya dimulakan pada 1976 membabitkan kos kira-kira AS$120 juta (RM376 juta) hasil sumbangan kerajaan Arab Saudi.
Ia siap kira-kira 10 tahun kemudian dan dinamakan sempena nama Raja Faisal sebagai menghargai sumbangan dan jasa baginda terhadap pembinaan majid itu.
Sebaik siap, ia diiktiraf sebagai masjid terbesar di Pakistan dan antara yang terbesar di dunia. Pada masa yang sama, ia juga menjadi simbol sebuah negara Islam sejak kemerdekaan republik itu pada 1956 di samping menjadi sebuah mercu tanda baru di Islamabad.
Masjid itu sengaja dibina di kawasan tinggi bagi memudahkan ia dilihat dari jarak beberapa kilometer tidak kira pada waktu siang atau malam. Kehijauan banjaran gunung-ganang di sekitarnya mampu membuatkan sesiapa sahaja berasa kagum dan terpesona melihatnya.
Keunikan masjid itu terletak kepada gabungan elemen moden dan prinsip seni bina Islam sebagai asas pembinaannya. Ia dibina tanpa kubah dan simbol gerbang yang lazim dilihat pada masjid-masjid di seluruh dunia.
Masjid itu dibentuk melalui lapan struktur konkrit yang diinspirasikan daripada bentuk khemah masyarakat Badwi dan kubik Kaabah serta diapit empat tiang menara berunsurkan seni bina Turki di penjurunya.
Seperti konsep sebuah khemah, berat keseluruhan ruang utama yang berbentuk segi tiga di bahagian tengah disokong oleh tiang-tiang menara. Setiap satu tiang ini mempunyai ketinggian 80 meter dan diiktiraf sebagai menara masjid yang tertinggi di Asia.
Ruang utama yang merupakan ruang solat diterangi lampu candelier gergasi yang diimport khas dari Turki. Tatkala melangkah ke bahagian dalam, mata seakan-akan terpaku melihat pelbagai jenis batu marmar dan mozek menghiasi bahagian dindingnya.
Para pelawat yang singgah ke masjid ini juga berpeluang melawat makam bekas Presiden Pakistan, Jeneral Zia-ul-Haq yang terletak berdekatan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: