Thursday, December 9, 2010

Kutip 1.6 juta kotak minuman


GURU dan pelajar SK Cochrane dan SK Ampang Campuran bergambar sebelum memulakan lawatan ke kilang SHA Paper Mill.


BENAR kata peribahasa, kalau melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Ini kerana kajian membuktikan betapa sebahagian daripada didikan yang diberikan pada usia kanak-kanak akan menentukan cara pemikiran mereka dalam menempuh alam remaja dan dewasa.

Justeru, Tetra Pak (Malaysia) Sdn. Bhd. memikul tanggungjawab sosial untuk mendidik pelajar-pelajar sekolah rendah dengan perasaan cinta kepada alam semula jadi melalui kitar semula.

Apa yang membanggakan program Nurture for Nature yang dijalankan bagi menggalakkan para pelajar untuk lebih proaktif terhadap isu-isu alam sekitar menyaksikan sebanyak 1.6 juta kotak minuman terpakai berjaya dikumpulkan.

Program yang turut mendapat sokongan Kementerian Pelajaran dan Institut Penyelididikan dan Perhutanan Malaysia (FRIM) itu menggambarkan kehebatan semangat generasi baru yang menyahut seruan kerajaan untuk menerapkan tabiat kitar semula dalam kehidupan seharian.

Pengarah Komunikasi dan Alam Sekitar Tetra Pak, Terrynz Tan berkata, jumlah kotak yang berjaya dikumpulkan sekiranya disusun dalam satu barisan mampu menyambungkan Kuala Lumpur sehingga Ipoh.

Sehubungan itu katanya, sekolah-sekolah yang berjaya mengumpul jumlah kotak terpakai tertinggi menerima hadiah berupa wang tunai dan lawatan sambil belajar ke kilang SHA Paper Mill yang memproses semula kotak minuman di Shah Alam selain lawatan ke Skytrex Adventure Park di Bukit Cahaya.

"SK Sri Kelana memenangi hadiah utama dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 dan lawatan sambil belajar di atas usaha gigih mereka mengumpul bilangan kotak terpakai terbanyak sepanjang program berlangsung bermula Ogos lalu.

"Tempat kedua ialah SK Ampang Campuran dan ketiga SK Cochrane Perkasa. Kedua-dua sekolah membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 dan RM2,000 serta lawatan sambil belajar," katanya pada lawatan ke SHA Paper Mill baru-baru ini.

Terrynz Tan memberitahu, sebanyak 50 buah sekolah mengambil bahagian tahun ini berbanding 25 buah sekolah tahun lalu.


PARA pelajar gembira dapat melihat proses pembuatan kertas menggunakan kotak terpakai.


"Peningkatan jumlah sekolah jelas menunjukkan bahawa kanak-kanak semakin prihatin dengan isu-isu persekitaran dan menyedari bahawa mereka juga dapat memainkan peranan dalam memulihara alam sekitar tanpa mengira usia," katanya.

Dalam pada itu, di samping peraduan kitar semula, aktiviti utama program Nurture to Nature turut meliputi ceramah alam sekitar.

"Tetra Pak juga membantu sekolah-sekolah yang mengambil bahagian dengan menubuhkan papan kenyataan Tetra Pak di mana para pelajar dapat membaca mengenai isu alam sekitar dan mengikuti proses kutipan sepanjang tempoh program," katanya.

Komitmen guru, pelajar dan ibu bapa

Sementara itu, guru sekolah SK Sri Kelana, Nor Azimah memberitahu, sekolah berkenaan berjaya muncul juara hasil kerjasama semua pihak iaitu pelajar, guru dan ibu bapa. Selain itu, sekolah juga mempunyai resipi tersendiri bagi menggalakkan para pelajar menyertai aktiviti kitar semula.

"Sekolah akan memberi hadiah bulanan kepada kelas yang dapat mengumpul kotak minuman terpakai tertinggi iaitu wang tunai untuk kegunaan kelas sama ada untuk aktiviti rombongan atau parti," katanya.

Guru sekolah SK Cochrane Perkasa, Shahrul Nizam Mat Nor pula memberitahu, sekolahnya pertama kali mengambil bahagian bagi tahun 2010. Para guru memberi galakan yang tinggi kepada pelajar dengan mengadakan slot kesedaran alam sekitar pada setiap kali perhimpunan hari Isnin.

"Di sekolah para pelajar juga digalakkan mengitar semula barangan lain seperti plastik dan kaca, bukan hanya tertumpu kepada pengumpulan kotak minuman terpakai.

"Walaupun pada mulanya sukar mengajak para pelajar mengitar semula barangan terpakai, sambutan semakin meningkat apabila dua buah kelas yang berjaya mengumpul jumlah kutipan tertinggi mendapat hadiah kemenangan daripada pihak sekolah, sekali gus mencetus persaingan sihat," jelas beliau.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: