Thursday, December 9, 2010

Khabar buruk buat kriket Mumbai


DUA orang pemain kriket berteduh di bawah pokok di tepi padang.


KEDATANGAN bulan September dan Oktober seolah-olah mengalu-alukan permulaan musim kriket di India sebaik selepas bulan tengkujuh.

Di padang kriket Oval, di Mumbai, India beberapa batang penggolek diletakkan berhampiran dengan tali-tali yang mengepung padang kriket. Sementara itu pemain-pemain pula berehat selepas makan tengah hari sambil bersandar di bawah bayangan pokok-pokok kelapa.

Mereka baru sahaja selesai memotong rumput di padang subur itu. Pada hujung minggu, kawasan padang berhadapan Mahkamah Tinggi Mumbai dan perpustakaan dengan seni bina gotik di Universiti Mumbai dipenuhi pemain-pemain kelab kriket dari sekitar bandar raya itu.

Pelajar lelaki dan perempuan dari sekolah serta kolej berhampiran sering kelihatan berkumpul sepanjang hujung minggu. Semuanya kerana mahu bermain untuk pasukan-pasukan yang membayar yuran khas bagi menggunakan kemudahan-kemudahan di situ.

Pemandangan yang hampir serupa dapat dilihat di padang Cross yang dekat dengan lokasi bagi lapan buah kelab. Padang kriket Azad pula adalah padang yang mengumpulkan 22 kelab termasuk pemain lelaki tempatan Tendulkar dan Vinod Kambli yang pernah sama-sama mencatatkan 664 larian dalam satu pertandingan peringkat sekolah pada tahun 1988.

Korban pembangunan

Bagaimanapun, kini kesemua padang kriket itu sedang berdepan dengan masa depan gelap. Walaupun ia menjadi lokasi yang telah mencungkil bakat dan kerjaya berdozen-dozen bintang pemain kriket popular India, termasuk pemukul bola utama Sunil Gavaskar and Sachin Tendulkar, pembangunan mungkin akan mengorbankan Oval, Cross dan Azad.

Rancangan untuk mentransformasikan tiga padang Oval, Cross dan Azad menjadi satu kawasan awam luas, sama seperti Central Park di New York atau Hyde Park di London, adalah khabar buruk buat peminat aktiviti sukan khususnya kriket.

"Ini ialah padang permainan yang melahirkan pemain-pemain kriket dunia," kata Setiausaha Kehormat Persatuan Kriket Mumbai (MCA), Rajput Lalchand. MCA mewakili 350 kelab-kelab gabungan yang meliputi kira-kira 10,500 pemain di bandar raya itu sahaja.

"Semua bintang terkenal Test telah bermain di padang ini. Antaranya ialah Sunil Gavaskar, Sachin Tendulkar, Dilip Vengsarkar dan Ravi Shastri," kata Rajput, antara pemain liga Test.

"Mengubah padang ini kepada taman bukan satu pilihan. Mumbai sudahpun dibelenggu masalah kekurangan tanah. Di mana lagi pemain boleh bermain?"

Tahun lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun, Harris Shieldmen, berjaya memukul 439 balingan ketika perlawanan hingga mendapat publisiti meluas merentasi India dengan gelaran 'Tendulkar Masa Depan'.


TENDULKAR ialah antara ramai pemain berbakat yang pernah menggilap nama di padang kriket Mumbai.


Sohail Dhorajiwala yang menjadi gurunya duduk di sebuah khemah besar bersempadan padang Oval. Dia mula mengajar di padang itu sejak lapan tahun lalu dan membabitkan 300 orang anak muda dalam sesi dua jam setiap kali latihan.

"Padang itu harus dikekalkan. Hanya terdapat beberapa tempat untuk menganjurkan perlawanan pitch. Ia tidak boleh di anjur di mana-mana tempat lain," katanya sambil dipersetujui dengan anggukan pemain-pemain di sekelilingnya.

Berkembang pesat

Mumbai seperti bandar raya lain di India berkembang dengan pesat, menjadi lebih padat, menarik lebih ramai kanak-kanak di sekitar untuk bermain kriket dan sukan-sukan lain.

Padang tersebut adalah antara kawasan terbuka yang mewarnai identiti bandar raya itu.

Begitupun, syarikat perundingan Ernst & Young mengeluarkan kenyataan memberitahu kemudahan sukan moden di bandar raya di Mumbai berada dalam keadaan yang sangat menyedihkan.

Pihak Penguatkuasaan Sukan India pula berkata, kurang daripada lima peratus rakyat di bandar raya itu mempunyai akses ke padang permainan untuk terlibat dalam sukan dengan sempurna.

Narinder Nayer, Pengerusi Bombay First iaitu organisasi bukan kerajaan yang meningkatkan kehidupan kota dan juga terlibat dalam transformasi padang itu walau bagaimanapun percaya pemain-pemain kriket bandar raya tidak perlu bimbang.

Baginya, kebimbangan pemain-pemain kriket itu sama sekali tidak berasas.

"Saya tidak akan menyokong sesuatu seperti menghapuskan kriket. Kami sedang berusaha mencipta sebuah bandar lebih baik, bukan melenyapkan apa yang dimiliki rakyat.

"Projek itu tidak bermaksud untuk mengubahnya kepada sebuah taman negara. Isu utama yang ingin disampaikan adalah terdapat banyak kegiatan yang dijalankan tanpa sistem yang tersusun.

"Oleh itu, idea sebenar adalah untuk membersihkan seluruh tempat itu agar ia menjadi lebih sistematik dengan kemudahan-kemudahan yang lebih baik," jelasnya.

Timbalan Setiausaha Sukan Kerajaan Negeri Maharastra, Seema Ukade pula berkata idea yang sedang dibincangkan adalah untuk mewujudkan 'Central Park' seperti New York atau 'Hyde Park' di London.

"Pandangan semua orang akan kami pertimbangkan dalam perkara ini."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: