![]() |
| |
DEDAUN sakura sedang berubah rona, dari kuning bertukar keperangan. Hanya menunggu masa untuk luruh, membawa petanda jelas musim sejuk bakal menyapa bandar Osaka tidak lama lagi November antara waktu terbaik untuk melawat Jepun. Musim luruh dengan cuaca sederhana tidak terlalu sejuk dan tidak juga panas memudahkan perjalanan.
Suhu dingin pagi itu sekitar 15 hingga 17 C menyambut kedatangan rombongan kami yang terdiri daripada 10 wakil media. Turut mengiringi dua wakil daripada bahagian Pengiklanan dan Perhubungan Awam Sharp, iaitu Pengurus; Mohd. Aref Mohd. Ali dan Eksekutif; Sharif Surur Raihan.
Sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai, kami dibawa mendaftar diri di Swissotel Nankai. Berehat sebentar sebelum menikmati hidangan tengah hari di hotel, kami bertolak menaiki bas menuju destinasi pertama.
Mungkin sebagai sesi ‘memanaskan badan’ dengan perkara yang menyeronokkan, melawat Universal Studio Japan (USJ) menjadi program pertama yang diselitkan tengah hari itu.
Walaupun masih keletihan kerana menaiki penerbangan malam, perasaan teruja untuk meneroka taman fantasi terkemuka itu sukar ditepis. Apatah lagi ini kali pertama kunjungan penulis ke negara matahari terbit dan juga Universal Studio khususnya.
Sememangnya USJ sentiasa sesak dengan pengunjung. Ada sahaja yang bertandang untuk merasai sendiri kehebatan taman yang diinspirasi daripada filem-filem Hollywood terkemuka itu.
Rata-rata pengunjung terdiri daripada rakyat tempatan, ternyata industri pelancongan di Jepun tidak bergantung sepenuhnya kepada orang luar.
Menurut pemandu pelancong kami sepanjang di sana, Mariko, USJ tidak terlalu sesak hari itu kerana bukan hujung minggu. Maka dengan pantas, selepas mendapatkan tiket kami terus melangkah ke taman fantasi yang dibuka sejak 2001 itu.
USJ mengandungi sembilan kawasan berbeza termasuk melibatkan penunggangan, persembahan live dan juga persembahan berkonsep teater. Kebanyakan tarikan terletak dalam bangunan bertutup (indoor), justeru pengunjung boleh menikmatinya tidak kira dalam cuaca apa sekali pun.
Persembahan
Bangunan-bangunan seperti yang kita saksikan dalam filem gah menghiasi kiri dan kanan jalan. Selain menempatkan tarikan utama, kedai-kedai menjual cenderamata turut menjadi tumpuan.
Bermula dengan kawasan New York, persembahan Terminator 2 memukau dengan gabungan teknologi skrin tiga dimensi dan persembahan ala teater. Lengkap dengan sistem audio yang canggih, debaran penonton pasti terasa apatah lagi saat makhluk aneh seperti memandang tepat dan hampir menerpa pada wajah kita.
Cuma terasa ada yang ‘canggung’ bila hero utama, Arnold Schwazenegger tiba-tiba muncul berbahasa Jepun selepas berjaya menumpaskan musuh utama. Bagaimanapun, ia tetap tidak menjejaskan penghayatan penulis, apatah lagi saat bangku bergoyang dek letupan senjata musuh diikuti percikan air selepas hero berjaya menembak pesaingnya.
Selepas keluar dari panggung, perjalanan kami diteruskan ke destinasi seterusnya. Berjalan-jalan di USJ cukup mempesona. Selain kewujudan bangunan-bangunan dalam filem dan juga watak animasi di sana-sini, lagak para pengunjung turut mencuit pandangan.
Rakyat Jepun sememangnya terkenal dengan gaya rambut yang tersendiri di samping pilihan pakaian yang menarik. Ini menjadikan pengembaraan kami pada hari itu cukup lengkap, ibarat berada di dalam filem yang mempesona.
Destinasi seterusnya, kami ke lokasi filem WaterWorld, satu lagi produk Hollywood yang mendapat sambutan luar biasa.
Set pengambaran yang lengkap seperti dalam filem memudahkan penghayatan, biar pun sekali lagi soal bahasa menjadi halangan.
Persembahan yang awalnya agak hambar, bertukar panas apabila hero ‘Kevin Costner’ hadir menunggang jet ski dengan aksi yang memikat.
Satu demi satu musuh berjaya dihapuskan. Sebuah jet yang tiba-tiba masuk dari belakang set benar-benar tidak dijangka, apatah lagi saat ia terkandas di atas air. Diikuti letupan kuat selepas pelantar utama dibom, di mana hero hampir tumbang.
Namun sudah namanya hero, kebangkitannya yang kemudian berjaya menyelamatkan heroin mendapat tepukan gemuruh penonton. Ternyata aksi stunt mereka benar-benar menjadi.
Keluar dari set itu, keseronokan menyelusuri USJ semakin membara. Lokasi seterusnya kami menjelajah Almity Village di mana terletaknya lokasi filem Jaws.
Sebuah bot terbuka sedia menanti pengunjung untuk dibawa ke sekitar perkampungan itu. Agak mendebarkan apabila dua tiga ekor jerung besar mengiringi bot dan cuba menolak. Namun, pemandu yang pandai ‘beraksi’ berjaya membunuh kesemua makhluk ganas itu.
Beberapa pengembaraan yang melibatkan air tidak kami sertai seperti Jurassic Park. Juga pemanduan Back To The Future dan jet coaster yang agak ‘menggerunkan’ buat penulis. Maka selebihnya, penulis hanya mencuci mata melihat aksi pengunjung yang tidak kurang juga menghiburkan.
Gembira
Antara yang menarik tumpuan penulis adalah sekumpulan pengunjung yang terlantar sakit di atas kerusi roda atau katil (malah ada sesetengahnya sedang koma) dibawa bersiar-siar di sekitar taman fantasi itu. Mungkin pemandangan itu cukup luar biasa bagi kita di mana proses pemulihan bagi orang sakit masih terperap dengan cara lama iaitu di rumah atau hospital, tetapi tidak bagi masyarakat di sana. Biar pun tidak bermaya, mereka masih punya hak untuk bergembira!
Jam baru menunjukkan pukul 4.30 petang. Disebabkan matahari terbit awal di negara itu, maka cuaca gelap mula menyelubungi suasana.
Suhu pula semakin lama mula menyusuk hingga ke tulang membataskan langkah. Kerana kurang arif dengan cuaca, baju yang dipakai gagal mengawal kesejukan yang mencecah bawah 10 C.
Juga disebabkan masih diselubungi keletihan, kami mengambil keputusan untuk pulang lebih awal.
Sememangnya beberapa jam menghabiskan masa di USJ tidak mencukupi. Walaupun hanya seketika, namun kenangan menjejak kaki ke sana pasti tidak akan dilupakan.
Tarikan USJ:
1. Kawasan New York: Terminator2 (3D-teater) dan The Amazing Adventure of Spiderman.
2. Kawasan Hollywood: Persembahan Universal Monsters Live Rock and Roll (teater), Space Fantasy (tunggangan selama 10 minit), Animation Celebration (teater), Hollywood Dream (menaiki jet coaster selama tiga minit), Pengembaraan Shreck 4D (teater) dan Persembahan Sesame Street 4-D (teater).
3. Kawasan San Francisco
Pemanduan Back To The Future dan Backdraft (teater).
4. Kawasan Jurassic Park: Pengembaraan air Jurrasic Park
5. Perkampungan Amity: Menaiki bot di lokasi filem Jaws.
6. Kawasan Studio Snoopy: Taman Permainan Snoopy (kawasan permainan outdoor termasuk luncur air) dan Pengembaraan Snoopy’s Sound Stage (kawasan indoor termasuk Perlumbaan Hebat Snoopy menaiki roller coaster)
7. Kawasan Land of Oz:
Persembahan Toto & Friends dan persembahan muzikal Magical Oz-Go-Round
8. Kawasan WaterWorld: persembahan skala besar dengan aksi stunt.
9. Taman Air: Peter Pan's Neverland - persembahan malam.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: