Thursday, December 9, 2010

Kebangkitan baru Gary Chaw


GARA-GARA menghadapi tekanan, Gary pernah nekad untuk bersara daripada dunia seni yang amat diminatinya itu.


PENYANYI kelahiran Malaysia yang popular di Taiwan, Gary Chaw mengakui pernah terfikir untuk bersara daripada dunia seni gara-gara laporan negatif yang diberikan oleh media berhubung isu pergaduhannya di jalanan bersama penyanyi Justin Lo tahun lalu.

Katanya ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran album terbarunya yang berjudul Back In Control di Kuala Lumpur baru-baru ini, keputusan bersara pernah terlintas difikirannya.

Bagaimanapun, dia bernasib baik, sedang dia menghadapi saat paling getir dalam kerjaya nyanyiannya, dua orang teman daripada BMA Records dan Sony Music datang membantunya keluar daripada segala permasalahan dengan menawarkannya kontrak menerbitkan album.

“Tekanan yang diterima daripada laporan negatif secara meluas menyebabkan saya pernah buat keputusan untuk bersara kerana perkara itu cukup mengganggu ahli keluarga saya. Tetapi nasib baik saya masih menyanyi dengan bantuan daripada teman-teman yang tidak berhenti memberikan sokongan,” ujarnya.

Jelasnya lagi, setiap perkara yang berlaku ada hikmah sebaliknya, kini dia bukan lagi Gary Chaw yang dahulu kerana insiden itu mengajarnya menjadi orang yang lebih matang dan bertanggungjawab.

“Sebelum ini apa yang saya tahu hanyalah menyanyi dan bikin muzik. Saya tidak akan menghadiri sebarang mesyuarat bersama syarikat rakaman tetapi sekarang saya telah berubah.

“Saya melibatkan diri hampir 90 peratus dalam pembikinan album ini dan saya belajar selok-belok bagaimana mahu menghasilkan sebuah album bukan setakat membuat lagu sahaja.

“Saya seronok kerana dapat mempelajari perkara-perkara yang saya tidak ambil kisah sebelum ini,” tutur bapa kepada dua orang anak itu lagi.

Single pertamanya daripada album Back In Control berjudul Grandfather benar-benar memberi kesan yang mendalam kepadanya kerana dia mendapat inspirasi daripada pengalamannya sendiri.

“Semasa saya kecil, orang yang paling rapat dengan saya adalah datuk, jadi saya tujukan lagu ini khas untuknya.

“Penggambaran video muzik lagu ini cukup mencabar kerana sebelum masuk ke set penggambaran saya mampu menahan emosi tetapi apabila lagu dimainkan, saya terus menangis.

“Bagi saya, lagu ini cukup bermakna bukan sahaja buat saya tetapi semua orang yang mendengarnya. Ramai peminat yang mengucapkan terima kasih kerana lagu ini membuatkan mereka terkenangkan datuk mereka sendiri,” katanya yang juga merupakan seorang komposer terkenal.

Luah Gary lagi, dia bersyukur meskipun namanya telah tercalar dan dipandang serong oleh masyarakat tetapi dia masih diberi peluang untuk berkarya.

“Saya tidak sangka selepas apa yang berlaku, saya masih lagi berpeluang untuk melahirkan album, menerima anugerah dan menyanyi di atas pentas.

“Masyarakat menerima saya, jadi saya harus menjaga kepercayaan itu dan menjadi orang yang lebih bertanggungjawab dalam setiap perkara yang saya lakukan,” kata penyanyi kelahiran Sabah itu lagi.

Album Back In Control edaran Sony Music Malaysia itu mengandungi 10 buah lagu dan telah berada di pasaran sejak 30 November lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: