KOREA Selatan dalam fikiran kita tentu sinonim dengan keunggulan drama bersiri Winter Sonata yang pernah popular sedikit masa dahulu serta kegilaan remaja hari ini dengan kekacakan penyanyi Rain.
Dalam masa yang sama peminat sukan mungkin masih terbayang kejayaan Korea Selatan menjadi tuan rumah ketika menganjurkan Sukan Asia pada tahun 1996 di Seoul dan di Busan enam tahun selepas itu.
Tetapi, jika anda berpeluang menjejakkan kaki ke negara itu hari ini, penerbangan enam jam dengan perkhidmatan AirAsia X sudah cukup membuatkan anda teruja melihat keindahan dari udara tatkala pesawat sedang mencari posisi untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon.
Ini kerana bandar Incheon yang terletak kira-kira 80 kilometer dari Barat Seoul itu merupakan tarikan terbaru Korea Selatan apabila kerajaan negara itu mahu menjadikannya sebagai bandar teknologi moden menjelang 2020.
Mengikut sejarahnya, Incehon yang terletak di pesisir Laut Kuning merupakan lokasi pendaratan tentera Amerika Syarikat ketika perang saudara melibatkan Korea Selatan dengan Korea Utara pada tahun 1950.
Bagaimanapun selepas 60 tahun peristiwa berdarah itu berlalu, Incheon dilihat sebagai destinasi baru tarikan pelancong pada masa akan datang apabila landskap serba moden dengan bangunan pencakar langit dibina.
Dijangka menjelang sukan Asia ke-17 yang akan disambut pada 2014, Korea Selatan yang sekali lagi menjadi tuan rumah akan memperlihatkan bandar moden Incheon itu kepada dunia.
Sekarang usaha membangunkan kawasan itu sedang dilakukan dengan giat.
Bermula dengan jambatan terpanjang (21.38 kilometer) di negara itu dan ketujuh di dunia, Incheon Bridge yang menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon dan Bandar Antarabangsa Songdho adalah mercu tanda yang cukup unik sebagai laluan pintu masuk ke Korea Selatan.
Ia tidak termasuk bangunan perniagaan yang pesat dibina apabila beberapa projek mega di atas laut yang ditambak turut dibangunkan dalam usaha memperlihatkan limpahan kemewahan negara itu sebelum dunia tertumpu kepada Sukan Asia ke-17 akan datang.
Kata seorang penduduk di daerah itu, berjalan di bandar Incheon tidak perlu gusar kerana tiada orang yang akan merompak walaupun selepas pukul 12 malam. Malah gadis-gadis juga usah khuatir kerana tiada orang yang akan mengganggu mereka.
Ia memperlihatkan bahawa bandar itu yang mempunyai 2,767,000 kepadatan penduduk dengan keluasan kira-kira 1,010 kilometer persegi termasuk 155 pulau-pulau kecil itu selamat untuk dilawati selain suasananya lebih damai berbanding Seoul yang agak sesak.
Sebelum melangkah kaki ke Seoul, elok rasanya memilih Incheon sebagai lokasi pertama percutian dengan melihat sendiri perancangan moden bandar itu termasuklah berkunjung ke Compact Smart City iaitu sebuah galeri perancangan pembangunan dan Tomorrow City yang menyediakan kemudahan penjagaan kesihatan, perniagaan dan juga pendidikan moden.
Menaiki teksi air adalah sesuatu kemestian kerana ia mampu membawa orang ramai melihat keindahan bandar perniagaan yang menarik di sebalik bangunan pencakar langit.
Tidak ketinggalan kawasan Chinatown turut mempamerkan keindahan landskap menarik dengan gabungan seni bina 100 tahun lalu dan terkini sepanjang jalan pekan itu.
Sementara itu ketika ketegangan Korea Selatan dan Korea Utara tercetus sejak 23 November lalu, Duta Besar Malaysia ke Republik Korea Selatan, Datuk Ramlan Ibrahim berkata, keadaan negara itu masih terkawal dan selamat untuk dilawati asalkan rakyat negara ini tidak berkunjung ke sempadan kedua-dua negara.
Untuk memudahkan percutian, AirAsia X yang memulakan laluan ke negara itu sejak 1 November lalu adalah pilihan terbaik kerana tambang murah dengan pakej Go Holidays yang diperkenalkan mampu dinikmati oleh semua rakyat Malaysia.
Eksekutif Pemasaran AirAsia X, Mohd. Fairus Abd. Majid berkata, sambutan pelancong negara ini ke Korea Selatan amat menggalakkan dengan jumlah tempahan meningkat secara mendadak selepas diperkenalkan termasuklah kemasukan pelancong negara itu.
“Kami mengjangkakan AirAsia X akan mendapat tempahan menggalakkan untuk penerbangan ke Korea Selatan kerana negara itu merupakan destinasi pilihan yang selamat dan terbaik untuk dilawati,” katanya.
Memperkenalkan pesawat Airbus A330 dengan 377 tempat duduk termasuk 12 tempat duduk kelas Premium, AirAsia X menyediakan perjalanan sekali setiap hari bermula pukul 1.55 petang dari Terminal Tambang Murah (LCCT), Kuala Lumpur dan penerbangan pulang pukul 11.20 malam dari Incheon.
Untuk maklumat lanjut mengenai kemuduhan penerbangan dan pakej menarik boleh lawati www.airasia.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: