Tuesday, December 7, 2010

Dunia Salji Lebih Realistik Di Snow Walk

Eu Hong Chew (kiri) dan Ki-Choon Lee (kanan) memerhatikan pengukir ais Harbin, Sing Chea Fong mengukir pagar ais untuk Pusat Budaya Zodiak di Snow Walk, I-City.

SELAGI bumi Malaysia yang dipijak, maka mustahil untuk kita merasa kesejukan suhu di bawah takat beku apatah lagi mendapat peluang bermain salji.

Andai tidak terbang ke negara-negara Eropah yang cukup terkenal dengan timbunan saljinya, simpan sahaja angan-angan untuk menyentuh salji dan merasai pengalaman bersejuk bersama ahli keluarga atau teman-teman.

Sedang salji asyik meruntuh apabila tiba musimnya di negara-negara seperti Switzerland, Jepun atau Rusia pada zaman moden hari ini, sebenarnya kita tidak lagi perlu bimbang atau berkira-kira untuk menempah tiket ke sana semata-mata untuk melihat salji.

Apa yang perlu dilakukan hanyalah berkunjung ke bandar digital i-City di Shah Alam, membayar sejumlah wang yang tentunya lebih murah berbanding kos penerbangan ke negara-negara bersalji, seterusnya merasai sendiri nikmat bergembira di Snow Walk, sebuah taman tema salji yang akan dibuka tidak lama lagi.

Di kawasan seluas 50,000 kaki persegi yang bakal dipenuhi salji memutih, teknologi akan menjadikan Snow Walk sebagai taman tema salji terunggul yang menawarkan keriangan kepada pengunjungnya.

“Teknologi kini membolehkan rakyat Malaysia melihat runtuhan salji, menyentuhnya dan bermain-main di kawasan bersalji tanpa perlu berkunjung ke luar negara,” kata Ketua Pegawai Eksekutif i-Berhad, Eu Hong Chew kepada Mingguan mStar.

Pengukir ais dari Harbin, sedang menjalankan kerja-kerja mengukir di pusat budaya zodiak di Snow Walk.

Menurut Hong Chew, Snow Walk yang dijangka dibuka kepada orang ramai pada Januari ini tidak hanya gah dengan kawasan luas tetapi turut unik kerana menggunakan teknologi dari Korea dan tenaga pakar dari China.

“Teknologi pembuatan salji tiruan dari Korea bakal mencetuskan pengalaman baru buat pengunjung terutama yang belum pernah melihat dan menyentuh salji.

“Kita juga menjemput pasukan pengukir ais dari China untuk menghasilkan ukiran-ukiran unik untuk tatapan rakyat Malaysia,” katanya yang optimis dengan sambutan orang ramai terhadap projek ini kelak.

Snow Walk yang telah 30 peratus siap dibina membolehkan orang ramai meneroka ‘dunia bersalji’, melakukan aktiviti tertentu dan melihat pameran ukiran ais.

Pencahayaan dan kesan khas yang diguna pakai untuk projek ini menjadikan dunia salji ciptaan manusia tampil realistik.

Selain memberikan keriangan, taman tema yang melibatkan pelauran bernilai RM10 juta itu juga mampu menjadi lokasi untuk membuka minda dan memberi pengetahuan baru terutama kepada pelajar.

Salji dari Korea

SAMA sekali berbeza dengan salji tiruan yang mungkin pernah dirasai sebelum ini, salji yang menyelubungi Snow Walk dikatakan 90 peratus menyamai salji semulajadi.

Hal ini diakui Pengarah Syarikat BK Korea, Ki-Choon Lee yang baru-baru ini terbang ke Malaysia untuk meninjau kawasan Snow Walk yang sedang dalam proses pembikinan.

Melihat kawasan Snow Walk dan progres pembinaannya beliau berpuas hati dan akan datang semula untuk proses pemasangan mesin.

Snow Walk yang sedang dalam pembinaan dijangka akan dibuka kepada orang ramai pada Januari depan.

“Saya mendapati i-City begitu indah dengan lampu-lampunya dan menjadi salah satu lokasi menarik di dunia.

“Seharusnya anda perlu melawat kedua-duanya, i-City dan Snow Walk apabila ia dibuka nanti,” katanya.

Pemilik syarikat pengeluar mesin salji terkemuka dunia itu berkata, bagi merealisasikan impian rakyat negara ini secara khususnya yang belum pernah bermain salji, sebanyak tiga buah mesin akan dibawa masuk.

Mesin yang telah dipatenkan atas nama syarikatnya itu mampu menghasilkan 1.2 hingga 1.5 tan salji segera dalam sehari.

“Tidak seperti salji tiruan yang pernah anda lihat di tempat lain, salji ini lebih halus, lembut dan ringan,” katanya sambil memberitahu salji bertekstur kasar dan keras lebih sesuai untuk permainan luncur salji.

Lee Choon yang berpengalaman dalam bidang ini selama 13 tahun sebelum ini pernah membawa masuk salji buatan syarikatnya ke Vietnam, Filipina, Singapura, Indonesia, Dubai, Afrika Selatan, Brazil dan Thailand.

Beliau mendapat ilham untuk mempelopori bidang ini selepas melihat sejenis makanan yang diperbuat daripada ais yang dikisar ketika melawat Filipina 13 tahun dulu.

Ukiran ais mengagumkan

TIDAK cukup dengan timbunan salji dan salji yang runtuh lalu menyentuh kulit pengunjung Snow Walk, pameran ukiran ais juga bakal membuatkan pengunjung kagum.

Ukiran ais pelbagai bentuk ini mendapat sentuhan kreatif pasukan pengukir ais dari Harbin, China yang ‘berkampung’ di Malaysia selama dua bulan.

Salah satu ukiran ais yang dijangka menarik perhatian pengunjung.

Pasukan pengukir seramai 30 orang itu kini sedang giat menjalankan kerja-kerja mengukir di Snow walk.

Seorang pengukir ais sepenuh masa, Sing Xie Fung berkata ukiran ais yang sarat dengan kesenian ini dapat dilaksanakan dengan kemajuan teknologi masa kini.

“Ukiran tak tahan lama jika suhu sejuk tidak dikekalkan. Teknologi yang ada mampu mencetuskan suhu sehingga -5 darjah celcius,” katanya yang berpengalaman mengukir selama 17 tahun.

Menerusi projek ini, beliau dan rakan-rakanya akan menghasilkan ukiran yang dicipta khas untuk pengunjung Snow Walk.

“Kami perlu mengangkat tema seni dan budaya masyarakat Malaysia dalam menghasilkan ukiran. Antara ukiran yang telah siap termasuklah ukiran berbentuk Kuala Lumpur City Centre (KLCC), bentuk haiwan dan banyak lagi,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: