Friday, December 10, 2010

BSK bantu leraikan kemelut nafkah


Rohani Yaacob bersama dua anaknya Mohd Aris Zul Ghafar (kiri) dan Siti Aishah Juliana (kanan) antara ibu tunggal yang menerima bantuan BSK Transit dari Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.


PERCERAIAN sememangnya sesuatu yang malang dalam sesebuah institusi keluarga. Namun ia jadi lebih menyedihkan apabila diikuti dengan 'drama-drama' kurang manis di kamar mahkamah daripada perebutan harta sepencarian, hak penjagaan anak hinggalah kepada kegagalan membayar nafkah anak.

Memang sukar untuk diterima akal apabila ada sebilangan bapa yang lepas tangan terhadap nafkah anak-anak dan membiarkan darah daging sendiri hidup dalam kesusahan selepas berlaku perceraian.

Hakikatnya, daripada segi hukum memang sudah jelas menyediakan nafkah anak adalah tanggungjawab bapa sama ada semasa tempoh perkahwinan mahupun selepas perceraian.

Sepatutnya tidak ada isu mengenai pemberian nafkah sehingga perlu ada campur tangan pihak lain (mahkamah syariah) untuk memerintahkan si bapa menyara anaknya sendiri.

Lebih malang biar sudah ada perintah nafkah yang dikeluarkan oleh mahkamah syariah ia masih tidak dipatuhi dan diabaikan sebagaimana yang banyak berlaku dalam masyarakat hari ini.

Keadaan ini menyebabkan perintah yang dikeluarkan tidak memberi apa-apa kesan serta tidak dapat melindungi kepentingan anak-anak yang masih di bawah tanggungan ibu.

Melihat keruncingan masalah pengabaian perintah mahkamah berkaitan pemberian nafkah, sekali lagi pihak berkuasa 'campur tangan' dengan menubuhkan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

BSK merupakan satu bahagian baru yang ditubuhkan rentetan daripada permasalahan, pelaksanaan dan penguatkuasaan perintah pembayaran nafkah.

Mula beroperasi sejak April 2009, bahagian ini memfokuskan tentang permasalahan nafkah anak yang tidak ditunaikan oleh bapa.

Setakat ini ia beroperasi melalui tiga unit utama iaitu Unit Penguatkuasaan dan Pelaksanaan Perintah (UPPP), Unit Khidmat Nasihat dan Perundangan (UKNP) dan Unit Pengurusan Dana (UPD). Ia berdasarkan saranan yang terkandung dalam sepotong hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: ''Bantulah saudara kamu yang menzalimi dan dizalimi."

Pengerusi Jawatan kuasa Kerja BSK, Datuk Kamilia Ibrahim berkata, bantuan kepada yang menzalimi merujuk kepada peranan agensi itu dalam memperbetulkan sikap bapa yang 'menzalimi' anak-anaknya dengan keengkaranya memberi nafkah.

Manakala bantuan bagi mereka yang dizalimi merujuk kepada peranan mengembalikan hak nafkah kepada golongan yang berhak.

"Matlamat kami di BSK ialah menjadi sebuah organisasi sokongan keluarga yang unggul bagi mewujudkan masyarakat penyayang, penduduk berkualiti dan bangsa yang progresif.

''Kami ingin memastikan kepentingan golongan yang berhak menerima nafkah melalui perintah nafkah yang dikeluarkan oleh mahkamah terpelihara.

''Pada masa sama kami juga cuba menyelesaikan dan mengenal pasti masalah pemiutang atau penghutang terutama yang melibatkan nafkah dan seumpamanya,'' kata Kamilia.

Beliau ditemui semasa majlis perasmian BSK Transit dan Munaqashah Bahagian Sokongan Keluarga bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kamilia menambah, objektif lain BSK ialah mengatasi isu kelewatan dalam pengendalian kes-kes penguatkuasaan perintah kehakiman serta memelihara hak dan tanggungjawab pihak-pihak yang terbabit dalam institusi kekeluargaan.

Lazimnya, pelanggan atau pengadu yang datang ke BSK akan terlebih dahulu dirujuk ke UKNP untuk sesi khidmat nasihat berhubung kes tuntutan nafkah anaknya.

Bagi pengadu yang telah memperoleh perintah nafkah anak daripada mana-mana mahkamah syariah di Malaysia, pegawai di UKNP akan membuat semakan ke atas perintah tersebut sama ada ia telah dipatuhi oleh bekas suami atau bapa kepada anak tersebut.

''Selain mengumpul maklumat daripada pihak pengadu dan status pelaksanaan perintah mahkamahnya, UKNP juga akan mengeluarkan notis untuk memanggil bekas suami atau bapa kepada anak tersebut agar hadir ke unit itu bagi tujuan siasatan tentang pematuhan perintah nafkah anak seperti yang telah diputuskan oleh mahkamah.

''Jika didapati bekas suami atau bapa kepada anak tersebut gagal untuk mematuhi perintah yang telah dikeluarkan, pegawai BSK di unit ini akan menjalankan satu proses perbincangan yang dinamakan mediasi.

''Dalam proses ini, pegawai BSK akan berusaha untuk mencari satu persetujuan antara kedua-dua pihak dalam pelaksanaan perintah nafkah yang telah pun diperintahkan oleh mahkamah.

"Sekiranya mereka mencapai satu persetujuan bagi memenuhi tuntutan untuk melaksanakan perintah tersebut maka satu perjanjian persetujuan akan disediakan untuk ditandatangani oleh kedua-dua pihak dan seterusnya akan disahkan di hadapan hakim syarie.

''Sekiranya tiada persetujuan dicapai, UKNP akan menyalurkan kes ini kepada UPPP.

"Sementara menunggu proses penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah dijalankan, pegawai BSK akan mencadangkan pembayaran pendahuluan nafkah anak dibayar mengikut kadar nafkah yang telah diperintahkan.

''Jika bekas suami tidak hadir pada sesi khidmat nasihat, UKNP akan menyalurkan kes tersebut kepada UPPP untuk proses penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah dijalankan,'' ujarnya.

Beliau menjelaskan, usaha menangani isu nafkah di kalangan isteri dan anak di Malaysia adalah satu usaha murni.

Tidak cukup dengan itu, BSK turut memperkenalkan BSK Transit yang merupakan bantuan perkhidmatan penginapan sementara yang disediakan khususnya kepada wanita yang menghadiri prosiding kes di mahkamah syariah.

Keutamaan diberikan kepada pihak-pihak yang tinggal jauh dari mahkamah dan tidak berkemampuan.

Pada masa ini penginapan sementara ini disediakan di Putrajaya, Tune Hotel Kuala Lumpur dan Darus Saadah. Kesemua penginapan ini selesa dengan prasarana yang lengkap.

''Wanita ini tidak perlu menumpang rumah saudara-mara atau kenalan kerana ini boleh menimbulkan rasa rendah diri.

"Kami mahu wanita yang akan hadir di mahkamah rasa tenang dan selesa. Saya juga berharap program transit ini dapat diperluas ke negeri-negeri lain demi mewujudkan keadilan," katanya.

Bagi tujuan perkhidmatan BSK Transit tersebut, pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan telah menyumbang RM100,000 kepada BSK sementara Bahagian Pengurusan Hartanah menyumbang dua unit apartmen di Putrajaya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: