
APA lagi agaknya yang dimahukan oleh sebuah grup yang mampu mencatat penjualan album lebih dari 125 juta, tampil di lebih daripada 2700 buah konsert di lebih dari 50 negara di depan lebih dari 35 juta peminat?
Grup yang diberikan anugerah Ikon Gobal sewaktu acara Anugerah Muzik Eropah MTV ini sedang mencatat sejarah yang semakin baik dalam kehidupan bermuzik mereka. Bon Jovi, sebuah grup yang terus berjalan dalam kepuasan ciptaan mereka yang tersendiri. Jujurnya dalam penjelajahan itu cuma satu perkara yang diidamkan mereka.
Teringin untuk berehat dan menikmati kehidupan santai adalah impian yang sedang diulit Jon Bon Jovi (vokalis), Richie Sambora (gitaris), Tico Torres (dram dan David Bryan (pemain keyboard) untuk masa terdekat.
Sebelum sempat melabuhkan sosok mereka untuk beristirehat, terlebih dahulu mereka memberi buah tangan terbaru buat pencinta kumpulan yang ditubuhkan pada 1983 ini. Greatest Hits, album terisi 28 buah lagu mereka adalah sebuah persembahan kompilasi kedua khas buat para peminat. Ikuti perbualan bersama sang vokalis yang kekal kacak di usia 48 tahun, Jon Bon Jovi perihal kompilasi terbaru ini.
Kalian telah meluncurkan sebuah album koleksi hits pada tahun 1994, tidakkah kekok untuk membikin sebuah lagi album kompilasi?
Ia tidak membuat kami berasa kekok sebaliknya tua (ketawa). Saya sebenarnya telah menolak idea ini namun ia bertimbal balik kepada kompromi dan komitmen terhadap syarikat rakaman. Saya berada di Nashville beberapa tahun lalu dan saya berniat untuk membikin sebuah album country. Memandangkan kami merupakan sebuah grup yang diiktiraf, pihak penerbit kami mahu menyatakan keengganan tetapi Ketua Pegawai Eksekutif syarikat rakaman kami menyatakan bahawa mereka kehilangan berjuta dolar dan bertanya, tidak bolehkah Bon Jovi menimbangkan cadangan membuat sebuah album Greatest Hits?
Jadi awalnya kalian enggan keluar lagi dengan sebuah album kompilasi. Apa yang merubah pendirian kalian?
Berhadapan dengan pelbagai pertikaian. Pertama sekali, kami sudah lama tidak keluar dengan album kompilasi dalam durasi 16 tahun dan keduanya, ada generasi baru yang belum mendengar muzik kami. Album Greatest Hits ini merupakan satu pakej hasil terbaik kami. Pendengar setia kami juga akan mendengar lima buah lagu baru dalam album tersebut.
Bagaimana kalian membuat keputusan dalam susunan lagu-lagu dalam album tersebut? Kalian pasti mempunyai idea tentang bagaimana para peminat mendengar album tersebut.

Terdapat perbualan tentang perkara tersebut tetapi saya tidak terlalu memikirkan perkara tersebut. Lagu-lagu katalog kami
seperti Wanted Dead or Alive dan Livin' on a Prayer pastinya diletakkan di cd yang pertama. Lagu-lagu yang tidak begitu besar di Amerika Syarikat seperti Someday I'll Be Saturday Night dimasukkan ke cd yang kedua. Kami mempunyai pengalaman yang berbeza begitu juga pasaran. Segala kredit dan kritikan boleh ditujukan kepada saya dan saya sebenarnya mahu mendengarnya.
Kenapa dimasukkan lagu-lagu baru ke dalam album Greatest Hits ini?
Jujurnya, kami mahu peminat yang mempunyai album kami yang terdahulu mendapat sesuatu yang ekstra. Material baru ini perlu secocok dengan konsep album Greatest Hits ini yang mempamerkan kerja-kerja kalian setakat ini. When We Were Beautiful dan lagu-lagu baru yang lain ditulis khas untuk album ini. Ini adalah lagu-lagu rock paling antemik yang pernah mempamerkan siapa diri kami dan di mana kami berdiri. Lagu-lagu yang sangat optimistik dan memberi semangat.
Single What Do You Got merupakan klip video pertama kalian yang dirakamkan secara tiga dimensi (3D)!
Semuanya berlaku secara tidak sengaja. Saya mempunyai teman yang bekerja di syarikat Sony dan mereka teruja dengan teknolgi 3D dan menawarkan kami untuk membikin klip video. Setelah terbabit dengan 50 buah pembikinan klip video, saya fikir kami memerlukan sesuatu yang baru dan menarik.
Grup Bon Jovi sering mempunyai bunyi yang unik. Pernahkah kalian terfikir untuk membuat satu perubahan yang drastik?
Ada perkara yang boleh diberikan secara ekstrem seperti menuju ke Nashville untuk merakamkan album Lost Highway. Tetapi sebenarnya, kami melakukan perkara yang kami mahu lakukan. Kami berasa yakin bahawa selama ini muzik kami terlah berkembang dan semakin matang. Kami memberi kesedaran secara sosial dan dalam masa yang sama, tetap dengan pendirian kami. Ini adalah evolusi perjalanan tanpa terlalu mencuba. Khalayak melihat lagu-lagu boy bands, remaja, heavy metal, grunge dan rap datang dan pergi. Jika kita terus bertahan dengan pendirian dan jati diri kita serta mengembangkan bunyi sendiri, kita akan bertahan di situ.

Di mana sebenarnya mendapatkan inspirasi untuk lagu-lagu tulisan kamu?
Jika kamu membuka mata dan telinga, sebenarnya setiap hari ada sahaja lagu yang mahu dituliskan. Jika kalian memerhatikan pihak penyelamat lombong di Chile, pasti ada cerita yang mahu ditulis. Begitu juga jika kamu melihat kanak-kanak ke sekolah, itu juga sebuah penceritaan. Minggu yang sibuk adalah satu cerita. Setiap hari adalah sebuah peluang baru untuk membuahkan memori. Kadang kala tentang kamu dan terkadang tentang dunia di kelilingmu.
Instrumen yang digunakan ketika menulis lagu?
Keutamaan adalah gitar tetapi saya turut menulis beberapa lagu mengunakan piano. Kedua alat muzik tersebut memberikan rasa yang berbeza. Saya boleh katakan, beberap alagu yang lebih intimasi berasal daripada piano. Lagu-lagu rock pula lebih senang datang daripada gitar. Tetapi kini, saya banyak menggunakan gitar untuk menulis lagu.
Grup Bon Jovi mempunyai lima juta peminat di laman peminat Facebook kalian. Apa pendapat kalian tentang jaringan sosial dan adakah kalian sendiri kerap menggunakan Facebook atau Twitter?
Pernah terjadi, saya melihat anak perempuan saya sempat ber-SMS sambil menonton sesuatu di laman Youtube dan sekaligus menonton kaca tv. Saya bertanya anak saya, bagaimana dia melakukan tiga pekerjaan dalam satu masa. Dia melihat saya dan bertanya kembali, "Tidakkah anda dapat melakukannya dalam satu masa?". Saya menggeleng dan lantas membaca suratkhabar di bilik yang lain dan terasa seperti seorang lelaki yang tua. Saya tidak serba boleh dalam hal tersebut. Saya juga tidak 'tweet' di laman Twitter. Saya rasa umum tidak perlu tahu apa yang saya lakukan pada setiap masa. Laman Facebook kami juga dikendalikan oleh orang lain. Tapi sungguh menakjubkan apabila dapat mencecah lima juta peminat yang berminat dengan kalian dan hanya menekan satu butang untuk mempamerkan minat mereka. Perniagaan rakaman kini sudah berubah secara dramatik sebenarnya dan laman sosial adalah salah satu sebabnya.
Siri jelajah Asia kalian yang terakhir adalah pada 15 tahun lalu. Ada perancangan untuk kembali menemui peminat-peminat di Asia?
Kami sangat berminat tetapi kami ingin menjelajah dalam keadaan yang teratur dan tidak terlampau eksesif. Sejak siri jelajah Crush yang lalu, kami cuma untuk terlibat dalam seratus konsert setahun. Tetapi memandangkan sukses rangkaian konsert The Circle dan album kompilasi ini, kami telah memanjangkan lagi siri jelajah dengan penambahan 30 persembahan. Mungkin tahun depan baru kami dapat menjelajah Asia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: