Monday, December 13, 2010

Akta Veteran ATM Beri Faedah Kepada Semua Bekas Anggota

KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Akta Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memberi faedah kepada semua anggota walaupun tempoh perkhidmatan mereka hanya sehari, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, akta yang telah diluluskan kabinet dan akan dibentangkan pada persidangan akan datang itu tidak mengenakan syarat yang ketat kecuali anggota perlu mendaftarkan diri sebagai veteran.

"Keprihatinan inilah yang saya berikan perhatian dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) juga memahami hasrat itu di mana kabinet telah meluluskan Akta Veteran ini pada mesyuarat Jemaah Menteri, Jumaat lalu.

"Saya fikir semua mereka yang berkhidmat termasuk mereka yang berkhidmat sehari sekalipun akan mendapat faedah melalui akta ini," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2011, Peringkat Jawatankuasa bagi kementerian itu pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari Isnin.

Antara faedah di bawah akta itu ialah kenaikan pencen minimum pesara, pencen terbitan isteri, bantuan sara hidup, faedah perubatan, pendidikan, peralatan pesakit, elaun pingat dan bantuan sosio ekonomi.

Selain itu, akta itu turut membabitkan penyelarasan pemberian elaun bulanan kepada pesara serta kemudahan skim perubatan termasuk diberi keutamaan mendapat rawatan pakar di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan di sini.

Pada masa ini daripada 458,000 bekas anggota tentera yang dikenal pasti, hanya 149,000 yang direkodkan telah mendaftar dengan Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) sementara kira-kira 100,000 lagi telah meninggal dunia.

Ahmad Zahid berkata, akta itu bukanlah satu keistimewaan kepada pesara tentera sebaliknya merupakan hak kepada semua anggota tentera yang telah setia berkorban untuk negara.

"Untuk memperoleh hak ini, mereka akan diminta untuk mendaftarkan diri sebagai veteran supaya tidak ada lagi permasalahan yang timbul sepertimana yang berlaku sebelum ini," katanya.

Mengenai kes kematian Mohammad Naim Mustaqim, pelajar tingkatan empat Maktab Tentera Diraja (MTD) Sungai Besi pada Jun lepas, yang dikatakan akibat dibuli dan didera oleh pelajar senior maktab itu, Ahmad Zahid berkata, kes tersebut masih dibicarakan di mahkamah terbuka.

Sementara itu, pihak kementerian tidak terkecuali menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada keluarga Mohammad Naim dengan membina sebuah rumah untuk keluarga itu.

Ahmad Zahid menjawab celahan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (PAS-Bukit Gantang) yang ingin tahu tindakan lanjut kementerian terhadap kes itu.

Berhubung dakwaan Mohammad Nizar bahawa tindakan menukar Komandan MTD tidak akan menjamin kes itu daripada berulang, Ahmad Zahid berkata, tindakan kementerian tidak terbatas setakat itu.

Beberapa langkah baru telah diperkenalkan termasuk rondaan keselamatan 24 jam di kem serta menambah program penerangan kepada tenaga pengajar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: