HUTAN hujan terbesar dunia yang masih kekal, hutan Amazon membuktikan reputasinya sebagai 'bintang' biodiversiti sejak 10 tahun lalu. Ia berdasarkan laporan terkini yang dikeluarkan pada 26 Oktober lalu oleh kumpulan pemuliharaan Tabung Hidupan Liar (WWF).
Di antara tahun 1999 hingga 2009, para saintis mengumpulkan lebih 1,200 spesies tumbuhan dan haiwan di Amazon. Antaranya termasuklah ular anakonda sepanjang empat meter, burung kakak tua berwarna pelangi yang botak dan ikan keli merah yang kecil serta buta.
Himpunan penemuan tersebut menunjukkan spesies baru ditemui di hutan Amazon setiap kira-kira tiga hari selama satu dekad.
WWF membentangkan laporan bertajuk Amazon Alive! pada persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kali ke-10 untuk konvensyen biologikal diversiti di Nagoya, Jepun.
Perwakilan kerajaan dari serata dunia bertemu untuk membincangkan sasaran baru untuk mengatasi kemerosotan biodiversiti dunia berdasarkan kegagalan mencapai sasaran yang ditetapkan sebelum ini pada mesyuarat tersebut.
"Laporan itu dilakukan adalah bagi membuatkan masyarakat teruja terhadap kehebatan Amazon, malah untuk menarik perhatian mengenai hak Amazon untuk menjadi fokus terhadap usaha pemuliharaan," kata Pengarah Urusan WWF untuk Amazon, Meg Symington.
Hutan Amazon ialah rumah kepada satu daripada 10 spesies darat di bumi yang kebanyakannya tidak ditemui lagi di kawasan lain di dunia ini.
"Kita perlu berhati-hati dengan kemusnahan habitat. Dengan keadaan seperti sekarang, kita mungkin akan kehilangan banyak spesies sekiranya kita tidak bertindak sekarang," kata Symington.
Symington berkata, organisasinya bekerja dengan pembuat polisi di seluruh negara yang berkongsi hutan Amazon. Ia penting kerana rantau itu yang dianggarkan mempunyai keluasan kira-kira 6.7 juta kilometer persegi dan mempunyai 600 jenis habitat tanah dan air yang berbeza.
Negara-negara yang berkongsi hutan Amazon ialah Brazil yang menguasai 60 peratus hutan, Bolivia, Peru, Ecuador, Colombia, Venezuela, Guyana, Surinam dan French Guiana.
Dalam pada itu, walaupun sebahagian besar hutan Amazon kekal misteri dan tidak disentuh manusia sejak berabad lamanya, dalam masa 50 tahun lalu lebih 17 peratus pokok-pokok Amazon telah ditebang untuk tujuan pertanian dan perladangan.
Berdasarkan laporan WWF, secara kasarnya 80 peratus tanah yang dibangunkan kini menjadi tempat pembiakan lembu.
Bagaimanapun Symington berkata, kerajaan di rantau berkenaan telah mengambil tindakan serius dalam membina kawasan yang dilindungi sekali gus berjaya mengurangkan pencerobohan Amazon di Brazil.
"Tetapi sebahagian daripada punca penurunan itu adalah ekoran kegawatan ekonomi. Apabila harga komoditi meningkat, terdapat tekanan untuk mengubah bentuk tanah penternakan itu," katanya.
Selain membekalkan keperluan asas kepada lebih 30 juta penduduk Amerika Selatan, laporan berkenaan menggesa masyarakat seluruh dunia mengambil bahagian ke atas usaha mempertahankan hutan hujan berkenaan.
Tumbuhan dan pokok-pokok hutan Amazon menyimpan antara 90 hingga 140 bilion tan karbon. Walaupun sekiranya sebahagian karbon itu dikorbankan melalui penebangan hutan pada masa depan, laporan itu memberi amaran bahawa ia bakal menyebabkan peningkatan gas rumah hijau di atmosfera sekali gus menyumbang kepada pemanasan global.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: