Sunday, November 7, 2010

Miley mahu 'panas'


Anak-anak anda tetap akan buat silap sama ada saya berbuat baik mahupun sebaliknya. Inilah yang dinamakan kehidupan - MILEY


DI sudut hati terdalam, selebriti muda bernama Miley Cyrus, 17, tidak pernah terfikir untuk meniupkan angin kontroversi. Awal melangkah kaki dalam dunia seni sejak sedekad lalu, dia sekadar menginginkan bakat lakonan dan nyanyiannya dikongsi bersama para pengikut.

Pada waktu sama, anak jati Tennessee, Amerika Syarikat (AS) itu belajar daripada kesilapan setelah merobah imej gadis manisnya kepada nakal dan liar.

Buktinya, atmosfera itu jelas terlihat sewaktu dia mengadakan persembahan pada Teen Choice Awards beberapa bulan lalu.

Di sebalik usia sedang meranum, ikon pujaan kanak-kanak di AS itu benar-benar mengejutkan peminat dengan lagaknya mengulit tiang tidak ubah seperti penari lucah tatkala mendendangkan Party In The U.S.A. pada majlis anugerah itu.

Dikenali menerusi siri televisyen popular, Hannah Montana sejak tahun 2006, imej Miley dianggap tidak setara dengan personaliti diterajui dalam karya yang ditayangkan di saluran Walt Disney tersebut. Tidak hanya itu, ada sejumlah pihak mula mempersoalkan tindak tanduknya.

Tahu diri dibidik bertalu-talu dengan kritikan pedas, Miley terus membenarkan masyarakat melepaskan pendapat masing-masing.

Dia bersikap terbuka. Baginya, itu hanya persembahan energetik di atas pentas tanpa punya maksud terselindung termasuk naluri remajanya yang memberontak.

Dalam nada perlahan menuturkan bicara, akui Miley: "Tanggungjawab saya berada dalam bidang ini untuk bergelar ikon. Ini yang saya mahu sejak kecil lagi.

"Tetapi paling pasti, tugas saya bukan sebagai ibu bapa yang menasihati anak-anak terhadap apa yang boleh atau tidak boleh mereka lakukan.

"Saya membaiki diri sendiri dari semasa ke semasa. Umur saya masih muda, justeru, tidak adil untuk 'merampas' hak saya dalam membuat keputusan.

"Anak-anak anda tetap akan buat silap sama ada saya berbuat baik mahupun sebaliknya. Inilah yang dinamakan realiti kehidupan."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: