Friday, November 5, 2010

Lauren Booth dapat hidayat di Iran


Lauren Booth antara yang lantang mengkritik dasar berat sebelah barat dalam isu Palestin sejak belum memeluk Islam lagi.


APABILA adik ipar bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair, Lauren Booth, 43, memeluk Islam, pelbagai tuduhan dilemparkan terhadapnya dan Islam itu sendiri, semuanya sangat menyakitkan.

Ini termasuklah kononnya tekanan kerajaan Iran yang memaksa Booth memeluk Islam jika ingin berada dan bertugas lebih lama di negara itu sebagai wartawan.

Malah tidak kurang yang menuduh Booth sebenarnya bercakap di bawah pengaruh dadah yang kononnya mudah di dapati di Iran ketika mengumumkan beliau memeluk Islam baru-baru ini.

Apabila di laman-laman web disiarkan gambar Lauren bersama suami, Craig Darby 42, dan dua anak perempuan mereka, Alexandra dan Holly misalnya, maka timbul persoalan yang begitu prejudis dan anti Islam.

Adakah Booth akan mendidik anak-anak perempuannya itu menjadi jihadis atau lebih tepat pengganas sebagaimana yang mereka fobia pada hari ini?

Walaupun tanpa dapat dikenalpasti pengislamannya secara rasmi tetapi diyakini bahawa wanita cekal ini benar-benar ikhlas memeluk Islam.

Ini kerana Islam kepada wanita ini bukan perkara yang baru. Malah beliau sangat mengenali Islam dan masyarakat yang menganutnya.

Sebelum bergelar Muslimah lagi, Booth sudah lantang mempertahankan Islam, memperjuangkan hak-hak orang Islam, mengecam dan mengutuk sebarang tindakan penindasan terhadap umat Islam dan sentiasa berada di barisan hadapan membela umat itu.

Terutama apabila bercakap soal Islam di Palestin, Iraq, Afghanistan, lokasi-lokasi konflik yang di mana Barat campur tangan secara tidak adil dan tidak berperikemanusiaan.

Abang iparnya, antara yang sering dikritik pedas oleh Booth atas dasar-dasar pentadbiran Blair terhadap soal ketenteraan, kewangan dan sebagainya terhadap krisis-krisis Asia Barat.

Namun 'pengalaman suci' ketika berada di Iran baru-baru ini adalah faktor serta merta Booth memeluk Islam.

Kisahnya, ketika melawat sebuah makam suci Fatimah al Maksumah@al Masumeh (saudara perempuan Imam Ali Ibn Musa Rida) di bandar Qom, Iran.

"Pada petang Khamis itu saya duduk berdekatan makam tersebut. Tiba-tiba saya bagai disuntik sejuta ketenangan yang sukar untuk saya ungkap melalui kata-kata.

"Tidak pernah saya rasa setenang ini. Bukan sahaja minda malah jiwa saya terasa bagai ada air sejuk yang mengalir dan sekembali saya semula ke Britain terus saya memeluk Islam secara rasmi," kata Booth dalam temuramahnya di akhbar The Mail.

Sejak itu, Booth terus melaksanakan tanggungjawabnya sebagai umat Islam. Belajar menutup aurat, sembahyang lima kali sehari semalam di masjid dan tentu sekali juga, membaca al-Quran.

"Saya sudah membaca sehingga muka surat 60 sekarang ini," ujarnya gembira.

Beliau juga terus meninggalkan minuman keras yang menjadi kegemaran beliau selama ini.

"Sehingga hari ini merupakan hari yang ke 45 saya tidak menyentuh arak, iaitu satu tempoh paling lama sejak 25 tahun meminumnya.

"Perkara ini sangat menghairankan sejak saya memeluk Islam sedangkan dahulunya sekurang-kurangnya setiap hari saya pasti meneguk arak sekurang-kurangnya satu atau dua gelas sehari," katanya jujur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: